Komentar - Penanti menentang angin

Oleh ZUKRI AKSAH

Kempen Pilihanraya Kecil DUN Penanti sekarang ini sedang berjalan, rancak atau tidak rancak saya kurang maklum, tetapi mengikutinya macam makan nasi tanpa lauk. Pertandingannya PKR lawan tiga orang calon bebas, sejak bila orang “bebas” suka bertanding dalam pilihanraya kecil di semenanjung ini tidaklah pula saya tahu, kalau Sabah dan Sarawak tu lain pula ceritanya.

PKR di DUN Penanti sudah seperti melawan angin, sesetengah angin itu kadang-kadang mengasyikkan, mendamaikan, bukan membimbang dan mengerikan. Jadi PKR mungkin sedang bergembira bertanding melawan angin kali ini. Angin yang paling kuat pun mungkin datang dari Aminah, sebab si bebas ini dulunya sekelambu juga dengan PKR.

PKR mungkin merasa agak selamat kerana tiada badai, tiada ribut dalam pilihanraya kecil kali ini. Namun begitu, di sebalik lembut angin yang mempersonakan ini, kadang-kadang PKR boleh jadi khayal. Asyik sangat menikmatinya, PKR mungkin akan sampai terjingkit-jingkit kaki. Dalam kedudukan yang tidak stabil ini, jika tiba-tibalah Aminah naik angin, deruannya walaupun tidak kuat, boleh jatuh juga PKR kalau tidak disangga.

Itu dari Aminah, calon-calon bebas lain, walaupun langsung tidak kuat angin yang dibawanya, perlu diperhatikan juga oleh PKR. Mungkin benar calon-calon ini tidak ditaja oleh Umno dan Barisan Nasional, tetapi Umno dan Barisan Nasional boleh sahaja menghantar “santau angin” kepada PKR menerusi calon-calon bebas ini. Ingat! Walaupun anginnya lembut, walaupun mendamaikan, ia mungkin lembut dan damai yang beracun.

Politik tetap politik, satu pihak akan sentiasa cuba mengatasi musuh politiknya, satu pihak akan sentiasa cuba mengalahkan musuh politiknya, walaupun bukan di medan perang pilihanraya.

Umno dan Barisan Nasional boleh sahaja melancarkan busurnya dari dalam kubu, sementara bagi PKR yang sedang terdedah di medan, sudah siap siagakah dengan perisainya? Anak panah boleh muncul dengan lajunya dari mana-mana arah sekalipun, kadang-kadang ia tidak terjangka.

Bayangkan jika PKR boleh tertewas di medan tanpa kehadiran musuh yang nyata, alangkah malunya! Manakan tidak, selama ini barisan hadapan PKR dikenal sebagai hebat-hebat, gagah-gagah, muda-belia belaka, apalagi pertempuran (ada pertempuran ke?) kali ini berlaku di wilayah dalam kekuasaan Anwar Ibrahim.

Dalam keghairahan meredah medan pertandingan, hanya berdepan dengan angin yang dirasa tidak menghalang langsung perjalanan dan pergerakan, macam mana kalau tiba-tiba rebah tersembam tersedut angin “beracun”?

Kaedah peperangan sudah semakin berubah. Kalau dahulu, untuk berlakunya peperangan, dua ketumbukan perlu berhadapan satu sama lain di medan yang sama, hari ini tidak perlu lagi.

Sekarang sudah ada “peluru berpandu jarak jauh,” maka ketakutan Israel kepada Iran adalah kerana itu. Apakah Umno dan Narisan Nasional sudah mempunyai “peluru berpandu jarak jauh” yang berupa “santau angin yang lembut tetapi beracun” dalam strategi berhadapan dengan musuh politiknya? Sehingga untuk sesetengah medan pertandingan, Umno dan Barisan Nasional tidak perlu turun ke gelanggang untuk berlawan.

Saya tidak yakin yang Umno dan Barisan Nasional sudah hilang minat untuk berkempen. Saya juga kurang percaya yang Umno dan Barisan Nasional sudah hilang keghairahan untuk menunjukkan kekuatan armadanya di medan pertandingan.

Dari segi kemudahan fizikal dan material, Umno dan Barisan Nasional mempunyai hampir segalanya untuk menundukkan PKR dan Pakatan Rakyat.

Ketika belajar di universiti dahulu, dalam cuti semester saya pernah bekerja sebagai jurujual rumah ke rumah. Saya di ajar kalau kita gagal menjual di rumah pertama, kedua, ketiga dan keempat, belum tentu kita gagal di rumah kelima.

Kalau seorang individu kerdil bergelar jurujual boleh punya iltizam sehebat itu, apalagilah buat organisasi sebesar dan sekuat Umno serta Barisan Nasional.

Kali ini saya cuba mengelak untuk mengatakan Umno dan Barisan Nasional takut dengan kekalahan selepas kekalahan berterusan dalam pilihanraya kecil sebelum ini. Saya juga cuba mengelak dari menganggap Umno dan Barisan Nasional takut untuk “berperang” di medan yang berada dalam wilayah kekuasaan Anwar Ibrahim.

Tetapi saya juga tidak begitu menerima alasan Umno dan Barisan Nasional bahawa keengganan mereka bertanding dalam Pilihanraya Kecil DUN Penanti adalah kerana kekosongan kerusi itu akibat permainan politik PKR.

Ini kerana pilihanraya adalah bab politik, pesertanya adalah parti politik dan permainannya adalah permainan politik, maka tidak kiralah parti mana, Umno, PKR, Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, bila berhadapan dengan pilihanraya, semuanya akan bermain politik, tiada siapa terkecuali, termasuklah PAS.

Saya berandaian bahawa Umno dan Barisan Nasional masih terlibat secara efektif dalam Pilihanraya Kecil DUN Penanti ini, walaupun tidak secara kemunculan fizikal, lebih kepada apa yang saya perkatakan di awal penulisan ini, “menghantar santau angin,” melontar batu, sembunyi tangan.

Strateginya bila PKR berjaya dikalahkan, mana-mana calon bebas akan ditawar untuk bersekutu dengan Barisan Nasional, tetapi jika PKR menang, Umno dan Barisan Nasional boleh mengelak aib buat kesekian kalinya.

Tetapi, secara peribadi saya lebih suka jika di tengah tempoh kempen ini, Umno dan Barisan Nasional mengambil pendirian untuk berpihak. Tidak salah dari segi moral untuk Umno dan Barisan Nasional menaja mana-mana calon bebas yang bertanding jika dibuat secara terbuka. Umno dan Barisan Nasional boleh sahaja berkata bahawa, “kami telah mengundur setapak sebelum ini, tetapi hari ini kami akan melangkah seribu tapak ke hadapan.”

Sekurang-kurangnya ia boleh membina persepsi awal yang Umno dan Barisan Nasional sedang bangun dari kekecewaan dan kembali berjuang dengan garang.

Keberanian ini mungkin boleh mengejutkan rakyat dan membuatkan mereka kembali “melihat” Umno dan Barisan Nasional.

Saya tidak pasti apakah Penanti memang kawasan berangin atau tidak, tetapi membiarkan PKR berlawan dengan angin adalah sesuatu yang tidak bagus buat Umno dan Barisan Nasional, apalagi kalau Umno dan Barisan Nasional tiada strategi “santau angin” atau mengambil pendirian berpihak seperti yang diandai dan dicadangkan saya.

Dalam keadaan ini PKR bukan sahaja akan menang dengan mudah, tetapi kecenderungan pilihanraya kecil mutakhir ini juga menyaksikan munculnya ramai calon bebas.

Pada awalnya kehadiran mereka mungkin tidak mengesankan, hilang wang pertaruhan, tetapi percayalah, perkara yang berulang akhirnya akan menjadi dominan juga.

Ketika itu, Umno dan Barisan Nasional bukan hanya perlu berhadapan dengan Pakatan Rakyat, tetapi akan mempunyai sekumpulan lagi musuh politik mereka, iaitu gerombolan calon-calon bebas.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url