Top Ad 728x90

, ,

Renungan Terhadap UMNO dan PAS: Kita Tidak Ikhlas Berpolitik

Oleh NIZAM MAT SAARI

Sudah banyak kita membicarakan tentang politik. Saban waktu, saban hari, di mana saja tanpa mengira tempat kita berpolitik [dan yang tidak berpolitik pula--tidak berparti] diasak dan didesak untuk turut sama berpolitik tujuh hari seminggu, 24 jam sehari.

Sudah terlalu lama, kita [bangsa Melayu] sebenarnya tidak banyak berubah dalam cara gaya kita berpolitik. Kita membiasakan budaya fitnah-memfitnah, bohong-membohongi dan buruk-memburukkan di antara satu sama lain baik di antara ahli sesama parti, lebih-lebih lagi di antara parti yang berlainan.

Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) dan siri-siri pilihanraya kecil yang diadakan kemudiannya barangkali hanya menunjukkan kematangan rakyat berpolitik sebaliknya ahli-ahli parti politik kita masih kekal cara berpolitiknya yang kuno dan tidak bertamadun dan tidak pernah matang pun walaupun dari mulut pemimpin parti-parti politik itulah keluarnya laungan dan suruhan mengejar kemajuan, pembangunan, kejayaan dan kecemerlangan.

Hakikatnya politik kita tidak pernah maju, tidak pernah membangun dan tidak pernah cemerlang pun. Kenapa? Sebab kita tidak ikhlas dalam berpolitik. Kita tidak ada rasa bertuhan dalam berpolitik. Kita tidak berpegang kepada agama dalam berpolitik walaupun ada parti politik kita yang meletakkan nama agama di hadapannya.

Kita kekal berpolitik hasad dan dengki, kita kekal berpolitik dendam-mendendam, kita kekal berpolitik musuh-memusuhi dan kita kekal berpolitik lawan-melawan serta cantas-mencantas. Kita akan bermati-matian “memaksumkan” parti politik kita dan “mengharamkan” parti politik yang kita anggap tidak sealiran dengan kita. Begitu mudah kuasa menghukum berada di tangan kita seolah-olah kitalah tuhan.

Kita akan bermati-matian untuk mengatakan pandangan, tafsiran dan fahaman kitalah yang paling betul dan benar dan kita akan bermati-matian untuk mengatakan pandangan, tafsiran dan fahaman orang lain adalah sangat salah, silap, tidak betul, palsu dan buruk belaka.

Demikianlah cara gaya kita berpolitik! Kita berpolitik tanpa pedoman, hilang panduan seolah-olah tidak ada hari akhirat. Kita berpolitik seolah-olah kita tidak akan mati, seolah-olah kita tidak dihisab akan pahala dan dosa, seolah-olah tidak ada syurga dan neraka.

Kita seolah-olah lupa apa yang difirmankan Allah (mafhumnya): “Maka sesiapa berbuat kebajikan meskipun seberat zarah, nescaya akan diberi balasan di akhirat. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan, meskipun seberat timbangan zarah, akan diberi balasan di akhirat.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

Apakah kita terlupa bahawa kita mengikrarkan diri pada setiap subuh dengan ungkapan [dalam doa iftitah] (mafhumnya): “Sesungguhnya solatku, ibadatku, cara hidupku dan matiku, semuanya dilakukan untuk Allah, Tuhan sekelian alam.”

Atau apakah solat kita sebenarnya sudah menjadi ritual yang biasa-biasa saja tetapi “roh solat” itu sudah tidak ada sehingga solat tidak lagi menjadi pendinding yang menghalang kita melakukan maksiat [dan jenayah akhlak dalam cara gaya kita berpolitik].

Kita berpolitik tanpa kesepaduan agama malah sebaliknya menunjukkan kita cinta dunia, cinta kuasa dan tahta dan juga cinta akan harta. Semua itu menjadikan cara kita berpolitik adalah politik yang tidak punya akhlak, politik yang tidak punya etika, politik yang tidak adab dan politik yang tidak punya integriti.

Sudahlah cara dan gaya kita berpolitik adalah begitu, wajah politik kita semakin buruk dan hodoh apabila ia dibumbui pula oleh istilah-istilah yang buruk dan hodoh seperti rasuah, politik wang, nepotisme, kronisme dan sebagainya. Ya, kita kata politik kita ialah politik perjuangan, namun apakah yang kita perjuangkan sebenarnya?

Dan, bolehkah perjuangan itu [kalau betul namanya perjuangan demi agama, bangsa dan negara] kita bumbui perjuangan itu secara tidak berakhlak, secara pembohongan, secara fitnah-memfitnah, secara hasad dengki dan penuh hawa nafsu?

Kita sebenarnya “tidak cukup Islam”. Kita bercakap tentang mengislamkan orang yang belum memeluk Islam, tetapi kita lupa untuk “mengislamkan orang Islam”. Diri kita, kita mengaku kita sebagai orang Islam tetapi kita seringkali lupa mengislamkan diri kita sendiri! Islam sebenarnya tidak mendarah-daging dalam batang tubuh kita. Kita cuma Islam dari segi kulit, dan sarungnya sahaja, baik kita UMNO dan juga PAS walaupun kita menamakan parti kita dengan nama Islam.

Kita hanya Islam pada nama tetapi tidak pada akhlak dan tindakan, tidak Islam pada tingkah-laku dan perbuatan. Sebagai pemakai gelaran pemimpin [apatah lagi dengan mendakwa khalifah di bumi] tahap sahsiah atau peribadi, ketinggian akhlak dan kepakaran pemimpin kita mestilah berada pada suatu takah yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang hendak dipimpinnya.

Natijahnya, dengan cara gaya kita berpolitik seperti yang disebutkan di atas, itu menunjukkan kita bangsa yang tidak pernah boleh bersatu. Seterusnya ia menjadikan kita bangsa yang sentiasa bergaduh dan terpisah kerana dihalang oleh sempadan politik yang ekstrem dan taksub.

Kita tidak mampu mewujudkan politik perkongsian yang pintar antara parti-parti politik Melayu, malah apakah kita juga akan menutup pintu untuk mewujudkan suatu “politik persaingan yang sihat”? Kita sebenarnya memilih untuk berbeza dan bersengketa dalam semua hal walaupun sebenarnya ada perkara yang boleh kita bersama dan minimakan demi merapatkan jurang perbezaan dan pertelingkahan.

Kerana pilihan kita itulah dan disebabkan kita tidak mahu untuk bersama dalam hal yang boleh bersamalah maka Allah juga tidak mahu menolong menyatupadukan bangsa kita dalam politik.

Ya, bersatu bukanlah maknanya dalam satu parti, bersatu dalam konteks lebih luas ialah mengurangkan persengketaan, membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah.

Sesungguhnya itulah kerugian dan kebodohan politik kita yang nyata dengan cara kita berpolitik yang seperti itu.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah kerana kita memiliki hati yang kotor dan tidak ikhlas. Kita memimpin dan berpolitik dengan memikulnya sebagai suatu habuan dan bukannya sebagai beban iaitu beban memikul amanah dan tanggungjawab. Ya, amanah dan tanggungjawab yang kelak nantinya akan dihisab dan dipersoalkan di akhirat kelak!

Firman Allah SWT yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib (keadaan) sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada di dalam diri mereka (Ar Ra’d: ayat 11).

Apa yang hendak diubah ialah apa yang ada di dalam diri manusia itu: hati!

http://nizammatsaari.com/

2 Comment:

  1. Salam buat MY ADHA MALAYSIA

    Syabas dan tahniah atas renungan yang tuan paparkan....

    Kita perlu muhasabah diri atas satu satu insiden yang kita cipta secara sedar atau tidak...

    Mencari PUNCA dan SEBAB ...dan membuat kaji selidik atas sifat POLITIK yang kita ajukan

    Sesungguhnya POLITIK itu tidak KOTOR yang mengotori ialah "POLITICIAN" itu sendiri

    Dan saya bersetuju atas statement tuan yang akhir sekali 100%

    Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui

    Wallah Hualam

    BalasPadam
  2. Apa yang berlaku pada politik hari ini amat memalukan.Mana landasan Islam kita apa bila politician kita berhujah.
    Mereka memaki hamun, fitnah dan tiada hormat diri.
    Sebagai potician yang waras mereka harus berhujah memajukan rakyat, memberi perlindungan rakyat , tanam sifat murni Islam sebaliknya apa yang kita lihat sekarang.

    Di mana kejujaran mereka...kadangkala ugama di peralatkan dan bangsa di gadaikan....

    Mari kita ambil masa fikir apa kebaikan yang kita terima apabila ini berlaku.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90