Top Ad 728x90

Smart Consumer mudahkan pengguna semak harga

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam melancarkan portal Smart Consumer bagi memudahkan pengguna membuat semakan dan perbandingan harga 50 jenis barang sebelum mengunjungi pasar raya besar, pasar raya serta pasar basah di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata portal yang dikemas kini setiap hari dengan kerjasama 1,600 ahli pasukan pemantau harga itu akan membantu pengguna merancang dan menjimatkan perbelanjaan harian kerana boleh membeli barang pada harga lebih rendah.

Antara barang yang disenaraikan ialah beras, daging, ayam, ikan, sayur-sayuran, telur, bawang merah, cili kering, bihun kering, bahan minuman, jem, marjerin, mentega, sos, kicap, minyak, susu sejat dan tepung gandum.

"Pengguna yang ingin membuat semakan dan perbandingan harga boleh mengunjungi laman interaktif `Pricewatch' di portal www.smartconsumer.my kerana maklumat yang tertera dikemas kini setiap hari oleh pasukan pemantau harga supaya pengguna boleh membuat perbandingan harga mengikut lokasi masing-masing," katanya selepas melancarkan portal itu di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri, Datuk Tan Lian Hoe dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zin Mohd Dom.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, portal berkenaan juga menyediakan pelbagai ruangan untuk memudahkan pengguna menyalurkan pandangan, berkongsi maklumat dan aduan mengenai isu kepenggunaan dalam suasana tidak formal.

"Kementerian berharap portal ini dapat dijadikan pusat sehenti pelbagai portal kepenggunaan, selain sebagai sumber rujukan isu serta kempen kepenggunaan, kedai pilihan pengguna dan persatuan pengguna," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan beras Super Tempatan 15 Peratus (ST15) di pasaran, beliau berkata, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Padiberas Nasional Berhad (Bernas) tidak bernaung di bawah kementerian ini tetapi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Bagaimanapun, kita mengalu-alukan sebarang aduan oleh pengguna menerusi e-aduan dan portal kementerian supaya masalah ini boleh dikemukakan kepada kementerian berkaitan," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90