Top Ad 728x90

Sultan Selangor ucap terima kasih kepada seluruh rakyat


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mengadakan solat hajat dan mendoakan kesihatan baginda sehingga selamat menjalani pembedahan jantung di Standford University Medical Centre, California, Amerika Syarikat (AS), 2 Mei lalu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, buat masa ini baginda dinasihatkan oleh doktor supaya berehat dan tidak menjalankan tugas-tugas rasmi serta aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan selama tiga bulan.

''Tuanku berjanji apabila kesihatan baginda pulih seperti sediakala, baginda akan memberikan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan negeri Selangor dan rakyatnya bertambah maju ke tahap yang lebih cemerlang dan berkualiti.

''Tuanku turut mendoakan semoga seluruh rakyat khasnya rakyat negeri Selangor sentiasa diberkati Allah dan hidup dengan penuh muhibbah, harmoni, bersatu-padu, aman dan makmur," katanya.

Baginda kembali ke tanah air pada pukul 3.40 petang ini di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Baginda yang berjaket coklat dan berseluar hitam kelihatan sihat dan boleh berjalan sendiri disambut oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid membacakan doa kesyukuran sebaik baginda tiba di pekarangan kompleks itu.

Baginda turut bersalaman dengan tetamu lain yang hadir menyambut kepulangan baginda.

Sementara itu, Pakar Perubatan Peribadi Sultan Selangor merangkap Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Dr. Anuar Masduki berkata, baginda akan mendapatkan rawatan susulan di hospital pakar di sini tanpa perlu ke luar negara lagi.

''Tuanku kini boleh makan, berjalan dan bersiram sendiri tetapi masih dalam jagaan dari segi ubat-ubatan yang diperlukan seperti ubat untuk mencairkan darah serta ubat untuk membantu Tuanku sembuh kembali.

''Rawatan susulan akan diberikan sebagaimana pesakit jantung lain setelah menjalani pembedahan," katanya.

Pada 29 April lalu, Sultan Sharafuddin berlepas ke California untuk menjalani pembedahan injap jantung.

Pada 2 Mei, Sultan Sharafuddin Idris Shah berjaya menjalani pembedahan injap jantung selama sembilan jam di pusat perubatan berkenaan.

Pembedahan itu dijalankan oleh dua doktor di pusat perubatan berkenaan iaitu pakar kardiologi Prof. Dr. Alan Yeung dan pakar mitral valve, Dr. Miller.

Selepas pembedahan, baginda dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut dan dimasukkan ke wad biasa dua hari kemudian.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90