Syanie selamat dibedah

Pelakon, Syanie, 35, yang menjalani pembedahan pintasan perut (gastric bypass) bagi memendekkan usus besarnya Khamis lalu kini berada dalam keadaan selamat dan stabil.

Malah apa yang menggembirakan pelakon tersebut ialah pembedahan selama lima jam itu berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.

Menurut Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham, dia mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan itu selepas dinasihati doktornya.

Apatah lagi, dengan berat badannya yang semakin meningkat itu boleh menjerumus dirinya untuk menghidap penyakit kronik seperti lemah jantung dan penyakit lain.

"Doktor tidak menggalakkan saya berdiet kerana risiko untuk berat badan bertambah lebih daripada yang asal adalah tinggi.

"Saya pernah berdiet untuk menurunkan berat badan dan berjaya turun sehingga 50 kilogram. Namun ia tidak kekal lama kerana kemudian berat badan saya naik kembali sehingga 70 kilogram.

"Oleh itu, dia mencadangkan agar saya menjalani pembedahan ini untuk menurunkan berat badan saya sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat," ujarnya ketika ditemui yang sedang berehat di Hospital Pakar Damansara di sini hari ini.

Menurut Syanie yang ditemani ibunya yang juga penerbit filem dan drama, Ruhani Abdul Rahman, dia sedar akan risiko tinggi yang perlu ditempuhinya menerusi pembedahan itu.

"Doktor juga memberitahu saya tentang peluang untuk usus mengalami kebocoran itu tetap ada sekiranya ia tidak mampu bertahan dan perlu menjalani pembedahan kedua.

"Tetapi syukur Alhamdulillah kerana semuanya dalam keadaan yang baik," katanya dalam nada gembira.

Dalam pada itu, Syanie tidak mahu ada pihak yang menyalahertikan pembedahan yang dilakukannya itu kerana apa yang dilakukannya bukanlah untuk kecantikan semata-mata tetapi lebih kepada menjaga kesihatannya.

Selepas pembedahan, Syanie dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Jika keadaan kesihatannya mengizinkan dan berada dalam tahap yang baik, dia dibenarkan pulang dalam tempoh seminggu lagi.

Namun atas arahan doktor, dia perlu berehat selama dua bulan sebelum mampu melakukan kerja berat dan aktif seperti sedia kala.

Ditanya tentang jaminan doktor terhadap pembedahan yang menelan belanja puluhan ribu ringgit itu, Syani memberitahu, mereka memberinya tempoh dua tahun sebelum dia mampu memiliki berat badan seimbang.

"Sekarang pun doktor suruh saya banyak berehat dan saya hanya akan kembali meneruskan karier seni selepas benar-benar sihat serta berat badan menurun," jelasnya yang masih mampu tersenyum meskipun sedang berehat.

Sebelum menjalani pembedahan itu katanya, dia juga aktif berlakon namun menetapkan syarat kepada penerbit dan pengarah untuk tidak melibatkan dirinya dalam adegan yang memerlukannya berlari mahupun duduk di atas lantai.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url