Top Ad 728x90

,

TUDM peroleh Eurocopter 2011

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka memperoleh beberapa helikopter EC725 keluaran Eurocopter sebelum 2011 bagi menggantikan pesawat Nuri S61A-4 yang digunakan perkhidmatan itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembelian itu boleh disegerakan jika kementerian berjaya mengusulkan pakej pembelian yang tidak membebankan kerajaan.

Justeru, katanya, kementerian itu akan mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Perbendaharaan bagi mengemukakan pakej pembelian terbaik buat kerajaan.

"Kami akan berbincang dengan EPU dan Perbendaharaan mengenai langkah lanjut yang akan dilakukan kerana TUDM amat memerlukan aset ini (Eurocopter) bagi menggantikan aset lama.

"Bagaimanapun, kami faham kesukaran ekonomi sekarang dan akan usulkan pakej pembelian tanpa membebankan kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas melawat sekitar Pangkalan TUDM Subang di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai surat hasrat (LOI) kerajaan mengenai pembelian 12 unit helikopter itu kepada Eurocopter yang akan luput pada Ogos ini.

Menurut Ahmad Zahid, kementeriannya dan kerajaan sentiasa menghormati LOI itu dan keputusan memperbaharuinya akan dibuat selepas perbincangan dengan EPU dan Perbendaharaan dilaksanakan.

September lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberitahu kerajaan telah menghantar LOI kepada Eurocopter untuk pembelian 12 unit pesawat tersebut.

Namun, sebulan selepas itu, Abdullah yang juga bekas Menteri Pertahanan mengumumkan kerajaan terpaksa menunda pembelian tersebut akibat krisis kewangan dunia dan memberitahu perolehannya akan dibuat paling awal pada 2011.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid menjelaskan, pembelian aset-aset baru amat penting bagi TUDM mengawal ruang udara negara ini yang berkeluasan kira-kira 300,000 kilometer persegi.

"Aset-aset ini penting demi persaingan TUDM di rantau ini di samping ia berupaya meningkatkan moral para anggota dan pegawai perkhidmatan ini," tegasnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90