3 projek mega di Terengganu dipantau
Gambar fail (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum keruntuhan bumbung)
Bimbang dengan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam berulang, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan kerja Raya (JKR) memberi perhatian ke atas tahap keselamatan beberapa projek mega yang baru siap di negeri ini.
Tiga projek yang tahap keselamatannya menjadi persoalan sekarang adalah terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Berikutan itu, hari ini, arahan dikeluarkan kepada JKR supaya memeriksa tahap keselamatan tiga bangunan baru tersebut bagi mengelak kejadian semalam berulang.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mengeluarkan arahan itu berkata, pemeriksaan perlu menjurus kepada aspek teknikal dan reka bentuk serta sama ada pembinaan tiga projek itu mengikut spesifikasi atau tidak.
Ahmad memberi contoh, ada kepingan atap bangunan LTSM yang sudah tercabut menyebabkan berlaku kebocoran yang memerlukan tindakan dilakukan.
''Tidak tahulah sama ada bumbung tercabut dipukul ribut, tapi kita kena tengok takut ada masalah lain. Kita bimbang juga sebab semua bangunan ini baru belaka.
''Mungkin buatannya kasar sangat atau ada perkara yang tidak betul. Arkitek sepatutnya mengambil kira faktor cuaca. Terengganu berada di tepi pantai, angin monsun bertiup kuat dan ini akan membebankan struktur bangunan. Sepatutnya binaan mesti lebih kukuh," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau menolak anggapan bahawa arahan serta kebimbangan itu disebabkan faktor pembinaan bangunan-bangunan itu disegerakan untuk penganjuran kejohanan tertentu di negeri ini.
Menurutnya, pembinaan semua bangunan itu mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), malah ada yang mengambil lebih masa untuk disiapkan.
Jelasnya, kerajaan negeri tidak menetapkan tempoh masa untuk pemeriksaan tersebut agar supaya kajian terperinci dapat dilakukan dan hasilnya tidak akan dipersoalkan kelak.
Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.
Bangunan terminal LTSM bernilai RM123 juta yang pembinaannya bermula tahun 2004 sepatutnya siap pada Ogos 2007, namun tertangguh hingga April 2008.
Struktur bumbung lemah dikesan sejak Sukma
Kelemahan struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak telah dikesan sejak perasmian pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) 2008, namun tiada tindakan segera dari Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung perkara itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mendedahkan perkara itu berkata, apabila hal itu dirujuk kepada JKR, jabatan berkenaan memberi jaminan akan mengarahkan kontraktor mengambil tindakan selepas Sukan Malaysia (Sukma) 2008 berlangsung.
''Mesyuarat sudah diadakan, namun tiada tindakan. Tiga minggu lepas saya hubungi lagi timbalan pengarah JKR negeri minta hal itu disegerakan kerana bimbang tempoh jaminan akan habis.
''Dua minggu lepas JKR tulis surat kepada kontraktor untuk mengambil tindakan terhadap masalah itu," ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menurut Ahmad, struktur bumbung yang lemah dikesan apabila ia bergegar ketika pasukan komando mahu memasang tali untuk pertunjukan 'abseiling' sempena perasmian stadium itu oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Jelasnya, disebabkan tidak yakin dengan kekuatan struktur bumbung stadium, pertunjukan 'abseiling' anggota komando dilakukan menggunakan helikopter.
Bagaimanapun, enggan menuding jari kepada mana-mana pihak tegasnya, kerajaan negeri menerima kenyataan bahawa kejadian runtuhan itu telah berlaku dan akan melantik konsultan luar untuk melakukan siasatan selain konsultan yang dilantik oleh JKR.
''Jadi, ada dua konsultan yang akan mencari punca kejadian ini. Kita tidak mahu bergantung kepada satu pandangan sahaja supaya lebih selamat," ujarnya.
Beliau berkata, pengesahan keselamatan stadium itu sebelum ini sepatutnya dilakukan oleh JKR, bukannya konsultan yang dilantik oleh kontraktor.
''Saya kadang-kadang terkilan dengan konsultan, kerja tiga empat tahun sudah mahu jadi konsultan. Dahulu ada pengalaman 20 hingga 30 tahun baru tubuhkan syarikat konsultan," ujarnya.
Beliau mencadangkan supaya JKR menetapkan standard untuk menubuhkan syarikat konsultan perlu mempunyai pengalaman sekurang- kurangnya 15 tahun.
Ditanya kemungkinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu tegasnya, beliau sedia memberi kerjasama penuh jika ia boleh membersihkan nama kerajaan negeri.
Kontraktor tidak sempat periksa
Kakitangan penyenggara syarikat kontraktor dari Korea yang bertanggungjawab memasang bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini, dilihat memasuki stadium itu beberapa minit sebelum bumbungnya runtuh semalam.
Salah seorang pengurus Kompleks Sukan Negeri, Khairol Azmi berkata, kakitangan syarikat kontraktor itu berada di stadium berkenaan untuk memeriksa keadaan bumbungnya.
''Berdasarkan buku rekod di pondok keselamatan di pintu masuk utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, mereka mendaftar masuk beberapa minit sebelum runtuhan berlaku.
''Mereka tidak sempat periksa bumbung stadium. Mereka terus pulang selepas kejadian itu berlaku," katanya ketika ditemui di stadium berkenaan di sini hari ini.
Khairol berkata, kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung stadium tersebut belum dijalankan kerana menunggu kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
''Kebenaran untuk membersihkan stadium dijangka dikeluarkan selepas dipastikan semua struktur sudah selamat," ujarnya.
Justeru, katanya, empat pejabat iaitu pengurusan, keselamatan, boling dan penyenggaraan berpindah ke stadium tertutup yang terletak bersebelahan.
''Hari ini, semua pihak yang berpejabat di sini telah memindahkan barangan mereka seperti dokumen penting ke pejabat sementara di stadium tertutup," katanya.
Rancang dibaiki selepas pesta
Kerosakan pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu sebenarnya sudah diketahui sebelum kejadian runtuh yang berlaku pagi semalam.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Senator Datuk Roslan Awang Chik bagaimanapun berkata, kerosakan itu difahamkan hanya akan dibaiki selepas Pesta Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kali Ke-34 yang bermula 4 hingga 13 Jun ini.
Jelasnya, sebuah syarikat dari Korea yang diberi tanggungjawab untuk membaiki bumbung itu juga sebenarnya sudah berada di Terengganu untuk prosedur pemantauan dan membetulkan kerosakan.
''Memang ada sedikit 'tidak elok' pada struktur bumbungnya dan syarikat bertanggungjawab dari Korea juga sebenarnya akan memulakan proses pembaikan selepas satu kejohanan sukan bulan ini.
''Malangnya kejadian runtuh ini berlaku sebelum proses pembaikan bermula namun nasib baik kerana tiada nyawa yang menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau mengulas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh yang menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.
Runtuhan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku kira-kira setahun stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.
Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).
Kata Roslan, pembinaan stadium yang dipertanggungjawabkan kepada Konsortium Anak-anak Terengganu itu merupakan sebuah projek usahasama dengan beberapa syarikat kontraktor di luar negara.
Tambahnya, kegagalan sebuah syarikat dari Korea untuk menyiapkan rekaan bumbung mengikut spesifikasi dilihat menjadi faktor kejadian itu berlaku.
''Projek stadium itu diberi kepada Konsortium Anak-anak Terengganu bersama beberapa syarikat luar yang sudah diiktiraf.
''Kegagalan syarikat berkenaan untuk mengikut spesifikasi bumbung seperti rekaan asal sudah diketahui dan mereka juga sebenarnya sudah berada di negeri ini untuk membetulkannya,'' ujarnya.
Sehubungan itu katanya, kejadian runtuh yang berlaku itu sekali gus menjelaskan imej perusahaan industri negara di mata dunia.
''Imej terkenal kontraktor negara sedikit tercalar dengan kejadian ini. Nama baik perusahaan industri negara juga terjejas dengan runtuhan ini,'' jelasnya.
Tambah Roslan, kerajaan perlu segera mewujudkan sebuah konsultan bebas untuk menyiasat kejadian bumbung runtuh yang berlaku.
''Tubuhkan konsultan dan selidik apa sebenarnya yang berlaku. Rakyat seharusnya didedahkan dan perlu tahu punca kejadian yang memalukan negara ini berlaku,'' katanya.
Tidak ada Sijil Siap Kerja JKR
Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh semalam tidak mendapat Sijil Siap Kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Timbalan Pengarah Kerja Raya negeri, Ir. Ghazali Hashim berkata, ia merupakan antara bahagian binaan di stadium berkenaan yang masih belum diberikan sijil berkenaan.
Jelasnya, apabila sesebuah projek kerajaan siap dibina, JKR akan mengeluarkan Sijil Siap Kerja dan dalam hal ini, hanya kemudahan trek, padang selain beberapa tempat di luar stadium telah diberikan sijil itu.
''Sijil berkenaan dikeluarkan untuk trek, padang dan beberapa kemudahan lain ketika penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2008.
''Bumbung stadium belum diberikan sijil berkenaan kerana ia masih dalam tempoh kecacatan (jaminan),'' katanya ketika ditemui selepas lawatan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini.
Beliau menambah, pihak jururunding yang dilantik sebelum ini memaklumkan kepada JKR bahawa bangunan stadium berkenaan sudah siap.
''Bagaimanapun kita masih menunggu komen daripada pihak kontraktor berhubung keupayaan struktur sebelum mengeluarkan sijil ini,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya hanya akan berurusan dengan kontraktor utama stadium berkenaan, bukannya kontraktor dari Korea yang bertanggungjawab melakukan pemasangan kerana syarikat asing itu merupakan subkontraktor.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, stadium berkenaan akan ditutup selama enam bulan bagi membolehkan siasatan berhubung kejadian runtuhan itu dijalankan.
''Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pembaikan stadium berkenaan juga tidak akan dijalankan,'' jelasnya.
- UTUSAN