Top Ad 728x90

,

Batalkan polisi jika dipaksa beli produk insurans lain: PIAM

Pembeli insurans kenderaan yang 'dipaksa' membeli produk perlindungan atau perkhidmatan lain boleh membatalkan polisinya dan mendapat semula premium yang sudah dibayar daripada syarikat insurans.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), berkata ia menerima beberapa aduan pemilik kenderaan bahawa mereka ‘dipaksa’ membeli produk insurans lain antaranya, perlindungan kemalangan diri sebagai syarat untuk membeli insurans kenderaan.

Katanya, PIAM tidak akan membiarkan mana-mana pihak mengamalkan ‘paksaan’ pembelian sebarang produk insurans atau perkhidmatan.

“Jika berlaku perkara seperti paksaan pembelian dibuat, syarikat insurans dikehendaki membatalkan perlindungan itu dan menyediakan pembayaran balik sepenuhnya premium kepada pengadu,” tegas PIAM dalam satu kenyataan semalam.

Persatuan itu menambah, jika terdapat ejen yang berdegil, tindakan boleh diambil termasuk menggantung dan menamatkan tugasnya serta menarik balik semua komisyen yang diterima daripada pelaksanaan urus niaga seumpama itu.

Katanya, ia sudah menetapkan garis panduan jelas bagi membolehkan tindakan diambil ke atas ejen dan syarikat insurans yang terbabit dalam jualan paksa perlindungan insurans.

“Walaupun syarikat insurans dan ejen masing-masing boleh merayu atau menggalakkan pembeli polisi perlindungan kenderaan untuk mengambil polisi bukan permotoran, dalam apa juga keadaan mereka tidak boleh memaksa pembeli membeli polisi bukan permotoran,” tambah kenyataan itu.

Sebarang aduan berhubung syarikat dan ejen insurans berkaitan jualan ‘paksa’, boleh diajukan kepada Biro Tindakan Aduan, Persatuan Insurans Am Malaysia, Tingkat 3, Wisma PIAM, 150 Jalan Tun Sambanthan, 50470 Kuala Lumpur atau di 03-22747399

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90