Bayar guna telefon bimbit
Menggunakan telefon bimbit untuk membayar sama ada barangan atau perkhidmatan kini sudah menjadi realiti apabila Maxis Communications Bhd (Maxis) yang menjalin kerjasama dengan beberapa rakan niaga memperkenalkan Maxis FastTap.
Ia menjadikan Malaysia melakar sejarah pertama di dunia menikmati penyepaduan pelbagai perkhidmatan bayaran menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC) di dalam telefon bimbit.
Teknologi NFC mengetengahkan standard perhubungan tanpa wayar jarak dekat yang ditanam dalam telefon bimbit untuk membolehkan pengguna membuat bayaran tanpa wang tunai fizikal.
Ia adalah teknologi tanpa wayar yang membolehkan komunikasi berlaku di antara perkakasan sama ada cara bersentuh atau hampir bersentuh pada jarak sekurang-kurangnya lima sentimeter.
Ia bergerak menerusi aruhan (induksi) medan magnet dan beroperasi di atas jalur frekuensi radio tidak berlesen.
Sistem ini juga berasaskan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang serasi dengan kebanyakan rumusan aplikasi pembayaran elektronik yang digunakan di seluruh dunia.
`Tags' atau cip khas ditanam dalam peranti mudah alih termasuk telefon bimbit, pembantu peribadi digital (PDA), terminal NFC seperti sistem pertiketan atau mesin pendaftar tunai.
NFC berpotensi besar untuk diketengahkan kerana kesediaannya bersepadu dengan semua telefon bimbit di dunia. Dengan menyepadukan teknologi itu ke dalam telefon bimbit, pengguna boleh mendapat pelbagai perkhidmatan baru.
Ia juga mudah digunakan kerana pengguna hanya perlu mendekatkan telefon bimbit mereka dengan terminal pembaca.
Lebih 80 peratus penduduk negara ini kini memiliki telefon bimbit dan pelbagai perkhidmatan tambah nilai berjaya diwujudkan oleh penyedia rangkaian daripada hanya perkhidmatan berasaskan suara.
Untuk melaksanakan inisiatif ini di Malaysia, Maxis berkerjasama dengan Nokia, Visa, Maybank dan Touch 'n Go.
Pelanggan hari ini amat bergantung kepada peranti mudah alih dalam kehidupan harian mereka.
Mereka menjangkakan teknologi dan perkhidmatan yang akan memenuhi keperluan menerusi pendekatan baru dan inovatif.
Oleh itu bayaran mudah alih menggunakan telefon bimbit akan memperkayakan pengalaman, menyediakan perkhidmatan tambah nilai di samping menambah pilihan untuk membayar.
Dengan pelancaran Maxis FastTap ini, pelanggan berdaftar dengan perkhidmatan ini boleh menggunakan telefon bimbit Nokia 6212 untuk membayar di lebih 1,800 lokasi pedagang yang dilengkapi peranti Visa payWave, begitu juga untuk membayar tol, pengangkutan, tempat letak kereta dan taman tema di lebih 3,000 pusat Touch 'n Go di seluruh negara.
Pengguna hanya perlu hulurkan telefon bimbit ke terminal khas Visa payWave atau Touch 'n Go.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das, berkata kejayaan sesuatu teknologi itu bergantung kepada kesediaan lengkap ekosistem ketika diperkenalkan.
"Atas dasar itulah Maxis berkerjasama dengan Nokia, Visa, Maybank dan Touch 'n Go yang kesemuanya adalah peneraju industri untuk membangunkannya dari peringkat konsep, ujian dan kini ia direalisasikan sebagai yang pertama di dunia menyepadukan perkhidmatan kad kredit dan bayaran pengangkutan," katanya.
"Bagi Maxis, pelancaran Maxis FastTap adalah bukti pencapaian usaha berterusan untuk membawa inovasi yang secara positifnya memberi impak kepada pengguna mudah alih di Malaysia," katanya lagi.
Mengenai tahap keselamatannya, menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Bahagian Strategi dan Perniagaan Baru, Maxis, Dr Nikolai Dobberstein, pengguna tidak perlu bimbang kerana teknologi keselamatan dianggap paling canggih serta tidak mudah diceroboh.
"Faktor keselamatannya tidak diabaikan kerana pengguna perlu mendekatkan atau menyentuh telefon bimbit mereka dengan terminal bayaran untuk mengaktifkan perkhidmatan."
"Kod laluan merupakan salah satu ciri keselamatannya. Pengguna dikehendaki memasukkan kod laluan itu untuk pengesahan dan membolehkan bayaran diluluskan. Bagaimanapun ada pilihan sekiranya hendak membuat bayaran tiket pengangkutan sama ada menggunakan kod atau tidak," katanya lagi.
Setiap peranti NFC juga memiliki beberapa tahap keselamatan untuk memastikan ia tidak disalahgunakan.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Pembangunan, Ahli Majlis Kumpulan Eksekutif, Nokia Inc, Mary T McDowell, berkata bagaimanapun telefon bimbit yang menyokong teknologi NFC masih terhad.
"Bagaimanapun pada masa depan Nokia akan memperkenalkan lebih banyak model NFC ke pasaran sejajar dengan hala tuju dan persekitaran pasaran semasa. Dari masa ke semasa ia pasti memasuki pasaran," katanya lagi pada persidangan Nokia Connections 2009 di Singapura baru-baru ini.
Pada 2011, dijangkakan satu daripada tiga telefon bimbit akan berupaya NFC.
Persatuan GSM pernah mengunjurkan pada 2012 iaitu empat tahun selepas pengenalannya di seluruh dunia, akan terdapat 250 juta pengguna NFC di seluruh dunia, sekali gus memacu perolehan sehingga RM7.7 bilion.
Dalam pada itu, Maxis juga dijangka mengembangkan aplikasi NFC ke beberapa bidang perkhidmatan lain yang membolehkan telefon bimbit membaca `poster pintar' yang dilengkapi tag (cip) berupaya NFC.
Pengguna hanya perlu menyentuh atau mendekatkan telefon bimbit ke poster terbabit yang mana ia akan membuka saluran baru untuk mencapai maklumat seperti jadual laluan sistem pengangkutan awam, tawaran istimewa (iklan), kupon dan sebagainya menggunakan telefon bimbit.
Sementara itu, Pengurus Negara Malaysia, Visa, Stuart Tomlinson, berkata pelanggan di Malaysia akan terus menikmati manfaat yang sama untuk kepantasan dan kemudahan, sama dengan kad Visa payWave di dalam telefon bimbit.
Katanya, perkhidmatan ini adalah sesuatu yang kita angankan pada masa lalu, sedangkan kini menjadi kenyataan dengan membuat bayaran menggunakan telefon bimbit.
Touch 'n Go pula komited untuk menambah gaya guna kepada pelanggan sekali gus meningkatkan nilai proposisi syarikat itu dalam usahanya menarik minat lebih ramai pengguna.
Pengarah Urusannya, Hasni Zarina Mohamed Khan, berkata dengan aplikasi yang ada, pengguna akan mendapat terminal tambah nilai berperibadi terbina di dalam telefon bimbit Nokia 6212.
"Kelak ia akan membolehkan tambah nilai mobiliti tanpa sentuhan dan segerak dengan hanya satu sentuhan hujung jari," katanya lagi.
>Fakta:
> Maxis FastTap adalah perkhidmatan komersial pertama di dunia menyepadukan aplikasi berbilang NFC untuk pembayaran kad kredit tanpa sentuhan;
> Maxis FastTap adalah perkhidmatan komersial global pertama menggunakan Visa payWave menerusi telefon bimbit berupaya NFC;
> Maxis FastTap adalah pelancaran pertama di dunia menyepadukan kad kredit dengan aplikasi bayaran sistem pengangkutan di atas peranti Nokia 6212; dan
> Maxis FastTap adalah perkhidmatan NFC komersial pertama di dunia bercirikan keperibadian tanpa sentuhan bagi maklumat kad kredit menerusi rangkaian penyedia perkhidmatan mudah alih menggunakan antaramuka Trusted Service Manager.
- HARIAN METRO