Dua warga Jerman kes keempat dan kelima H1N1 di Malaysia
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kedua-dua mereka tiba di negara ini semalam, melalui penerbangan AirAsia AK702 dari Singapura pukul 1.55 tengah hari.
Beliau berkata mereka sebelum itu menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ45 dari Jerman dan tiba di Singapura pada Isnin lalu.
"Kedua-dua kes mula mengalami demam semasa berada di Kuala Lumpur dan pergi ke Hospital Gleneagles untuk mendapatkan rawatan dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur pukul 1.40 awal pagi tadi.
"Kedua-duanya disahkan menghidap jangkitan Influenza A (H1N1) pukul 3 petang tadi melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Perubatan Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Liow berkata kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan rawatan antiviral turut dimulakan.
Beliau berkata kementerian juga sedang mengesan kontak kes-kes tersebut termasuk penumpang dan krew penerbangan AK702 yang dinaiki kedua-dua kes tersebut untuk mendapatkan maklumat dan memaklumkan kejadian kes serta keperluan mereka untuk pengawasan jangkitan Influenza A (H1N1).
"Kementerian Kesihatan memohon kerjasama penumpang dan anak kapal yang terlibat untuk menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk membolehkan kami memberi nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin rumah," katanya.
Beliau berkata walaupun kes-kes import Influenza A (H1N1) tidak dapat dielak kerana tidak semua kes dapat dikesan di lapangan terbang, apa yang lebih penting adalah untuk mengawal kes-kes tersebut supaya tidak berlaku sebarang penularan tempatan.
"Semua prosedur pengesanan, pengasingan dan rawatan kita jalankan dengan cepat untuk pastikan bahawa kita tiada penularan tempatan. Kita tak boleh biarkan ada peluang berlaku penularan tempatan," katanya.
Terdahulu hari ini, Malaysia merekodkan kes ketiga Influenza A (H1N1), yang merupakan seorang pelajar Malaysia berusia 23 tahun yang pulang bercuti dari Amerika Syarikat Isnin lepas.
Kes pertama dan kedua wabak itu disahkan pada 15 dan 16 Mei lalu, kedua-duanya merupakan pelajar berusia 21 tahun yang baru kembali dari Amerika Syarikat pada 13 Mei.
Kedua-dua mereka dibenarkan keluar dari hospital pada 20 dan 22 Mei lalu setelah disahkan sihat.
Liow turut menasihati orang ramai yang mengalami batuk dan selesema agar memakai topeng muka jenis tiga lapis untuk mengelak jangkitan kepada orang lain terutama ketika berada di tempat yang sesak manakala mereka yang mengalami demam, batuk dan selesema dinasihati agar tidak melakukan perjalanan keluar negara atau dari luar negara untuk pulang ke Malaysia bagi mengurangkan risiko jangkitan pernafasan kepada orang lain.
"Kementerian juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil perhatian terhadap situasi semasa penyakit ini dan mendapatkan maklumat terkini dan tepat daripada kementerian melalui laman web www.moh.gov.my dan pengumuman melalui media dari semasa ke semasa," katanya.
Terdahulu, Liow yang menerima kunjungan hormat daripada Presiden Majlis Optometri Sedunia (WCO) Robert Chappell berkata persidangan optometris anjuran WCO dengan kerjasama Persatuan Optometri Malaysia akan diadakan di Melaka selama dua hari bermula Sabtu.
Beliau berkata penceramah terkemuka dunia akan berkongsi kepakaran masing-masing dengan menumpukan isu berkaitan cabaran dalam pendidikan optometri, skop pengamalan optometri global dan masa depan bidang optometri.
- BERNAMA