'Hadi beri idea salah' - Nik Aziz


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan idea penubuhan kerajaan perpaduan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai satu kesalahan terhadap ahli parti.

Beliau berkata, sebagai manusia, tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada melakukan kesalahan dalam hidup dan wajar mengakuinya serta menerima teguran apabila menyedari melakukan kesilapan.

Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan tindakan beliau menyifatkan pemimpin Pas yang mempertahankan idea kerajaan perpaduan sebagai boneka Umno adalah untuk memberi kesedaran kepada mereka, walaupun sedar tidak semua dapat menerima tegurannya.

"Tiada manusia yang tidak buat salah dalam hidup, ketua juga boleh jadi buat salah kepada anak buah. Apabila buat salah, ada kaedahnya (membetulkan kembali kesilapan). Yang pertamanya, saya nasihat.

"Kenyataan saya baru-baru ini mengenai mereka yang menyokong kerajaan perpaduan ini sebagai boneka Umno adalah nasihat kerana saya ada hujahnya tetapi saya tidak mahu memanjangkan (polemik) lagi... biarlah begitu. Kalau mereka tak mahu dengar (nasihat) biarlah, (setiap nasihat) tidak semestinya semua (orang) dengar," katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dan rombongannya di pejabatnya di Kota Darul Naim, di sini semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, kenyataannya mengenai pemimpin Pas hanya menjadi boneka Umno sudah cukup menggambarkan pendiriannya berhubung isu kerajaan perpaduan itu.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url