Hayati 1Malaysia - Yang di-Pertuan Agong


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu segenap lapisan rakyat menghayati konsep 1Malaysia yang telah diketengahkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional yang telah disemai sejak lebih 50 tahun kemerdekaan negara.

“Semua rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal ini kerana mereka yang akan menentukan jatuh bangun, maju mundur dan jaya gagalnya sesebuah negara itu,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, berkongsi rahmat dan tanggungjawab terhadap tanah air yang berdaulat, kerana ia merupakan keunikan dan sumber kekuatan negara.

“Beta amat sukacita kerana rakyat telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa dan etnik yang menganuti agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang berbagai juga dapat hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling menghormati,” titah Seri Paduka sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Negara di sini, hari ini.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa sukacita terhadap konsep 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berprinsipkan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Seri Paduka berangkat ke istiadat mengarak panji-panji

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pagi ini berangkat ke istiadat mengarak panji-panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka di sini.

Istiadat sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong itu diadakan sebagai sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada baginda selaku pemerintah tertinggi angkatan itu.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu tepat pada pukul 8 pagi disambut dengan lagu Negaraku dan 21 das tembakan meriam.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Seri Paduka Baginda kemudian menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Pada masa sama lima helikopter milik ATM yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang di ruang udara di atas Dataran Merdeka untuk upacara lintas hormat.

Seri Paduka kemudiannya memeriksa perbarisan terdiri daripada 22 pegawai dan 546 anggota lain- lain pangkat diiringi Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Ketua Perbarisan, Leftenan Kolonel Nazim Mohd. Alim.

Sebaik selesai pemeriksaan perbarisan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM diketuai Kapten Mohd. Rizal Mohd. Noor masuk membuka medan sekali gus memulakan istiadat mengarak panji-panji dalam tempo kawad perlahan dan cepat.

Panji-panji yang diarak telah dianugerahkan oleh Seri Paduka kepada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Kor Armor Diraja pada 1963, TLDM (1966), TUDM (1967) serta Rejimen Renjer Diraja (1992).

Laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di Dataran Merdeka pada penghujung istiadat mengarak panji-panji itu.

Tuanku Mizan kemudian sekali lagi menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan dan lintas hormat oleh kelima-lima helikopter ATM itu.

Iringan muzik lagu-lagu patriotik yang dimainkan Gabungan Pancaragam Pusat ATM oleh anggota daripada TDM, TLDM dan TUDM, sepanjang istiadat itu berlangsung, menyerikan lagi majlis penuh warna-warni itu.

Turut hadir ke istiadat itu ialah menteri-menteri Kabinet, pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, atase pertahanan beberapa kedutaan serta suruhanjaya tinggi di negara ini dan orang ramai.

Istiadat yang berakhir pada pukul 9.05 pagi turut disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • faizalnizam
    faizalnizam Ahad, 7 Jun 2009 pada 2:15:00 PTG SGT

    daulat tuanku..hebat blog saudara..jika tidak keberatan, bolehlah kita menjalin persaudaraan sebagai blogger :)

    http://fyzals-territory.blogspot.com

Add Comment
comment url