Keharmonian Asia dalam pesawat
Seawal 6 pagi Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang sudah mula dipenuhi para penumpang yang bakal memulakan perjalanan ke pelbagai destinasi seperti Thailand, Indonesia, Singapura, China malah Australia dan United Kingdom (UK).
Namun di sebalik hiruk-pikuk di ruang pelepasan domestik dan antarabangsa berkenaan, ratusan krew penerbangan sudah mula bersiap sedia lengkap dengan pakaian seragam masing-masing untuk menghadapi 'cabaran' yang menanti.
Wartawan dan jurugambar MEGA yang diberi peluang mengikuti rutin harian sebuah krew penerbangan ke Tawau, Sabah baru-baru ini berkesempatan melihat sendiri beratnya tugas dan tanggung jawab mereka.
Keunikan juga jelas ketara apabila pramugari dan pramugara dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Korea, Hong Kong, China dan Singapura bergaul sehingga sukar membezakan mereka. Semua kelihatan segak dan kemas berpakaian seragam rasmi AirAsia.
Rambut siap didandan, wajah disolek rapi tanpa mengira lelaki dan wanita semuanya berkejar-kejaran membuat persediaan sebelum menerima penumpang atas pesawat.
Dalam kesibukan itu semangat kerjasama dan kemesraan jelas kelihatan, lebih-lebih lagi apabila mereka beramai-ramai menaiki lif kecil dan usang untuk pergi ke ibu pejabat bagi mendaftar secara online serta mendapatkan jadual penerbangan untuk hari tersebut.
Beberapa minit kemudian, kumpulan demi kumpulan krew penerbangan memenuhi ruang taklimat untuk menajamkan pengetahuan dan kemahiran dari aspek keselamatan sekiranya berlaku kecemasan di atas pesawat.
Kira-kira pukul 7 pagi barulah krew penerbangan dengan diketuai dua juruterbang memasuki perut pesawat dan melakukan pemeriksaan rutin seperti memeriksa bekalan air, oksigen, audio, peralatan keselamatan dan kebersihan.
Hampir 10 minit kemudian, barulah para penumpang menaiki pesawat dengan bermacam-macam ragam termasuk membawa beg dan kotak besar juga kebingitan suara bayi serta kanak-kanak kecil yang enggan duduk di tempat sendiri.
Bagi krew penerbangan yang bertugas, inilah waktu yang amat menguji kesabaran emosi dan mental mereka. Bayangkan berada di dalam pesawat dengan situasi yang sama (sempit, panas dan bising) untuk sepanjang hari.
Bagaimanapun suasana positif yang diterapkan dalam setiap kakitangan Air Asia berjaya memantapkan minda dan emosi mereka dalam mengendalikan para penumpang dengan mesra.
Antaranya, Sasiwan Nakate, 25, salah seorang pramugari penerbangan (FA) junior dari Bangkok, Thailand yang baru menamatkan pengajian di Akademi Air Asia, awal bulan ini.
"Ini merupakan penerbangan solo kedua saya. Pada mulanya memang agak cemas dan gementar tetapi sebaik bertemu rakan-rakan FA lain barulah saya yakin dapat melakukan tugas dengan baik.
"Mereka sambut saya dengan senyuman dan kata-kata nasihat agar sama-sama saling tolong-menolong antara satu sama lain," katanya yang juga antara penerima anugerah Pelajar Terbaik pada Majlis Konvokesyen Krew Penerbangan Asean Pertama Akademi AirAsia, baru-baru ini.
Pun begitu, Sasiwan yang pernah bekerja sebagai peragawati sambilan di Bangkok sebelum ini masih berusaha mempertingkatkan kemahiran Bahasa Inggerisnya di samping belum mampu menguasai Bahasa Malaysia.
Jelasnya, dia perlu berdepan cabaran ketika berinteraksi dengan penumpang lebih-lebih lagi masih terikat pada penerbangan domestik dan perlu melayani majoriti penumpang Malaysia.
"Ada kalanya saya tidak faham apa yang diperkatakan namun saya cuba melayani mereka sebaik mungkin dan siapa tahu mungkin saya akan mahir berbahasa Malaysia tidak lama lagi!," ujarnya.
Sebelum bergelar FA, para pelatih perlu mengikuti kursus latihan selama tiga bulan di Akademi Air Asia melibatkan aspek keselamatan, mengendalikan situasi kecemasan selain terminologi penerbangan, kemahiran bersopan dan berbudi bahasa ketika melayani penumpang.
Di samping itu, mereka harus melalui latihan intensif bagi menguji tahap pengetahuan, kreativiti dan kesungguhan untuk memberi layanan mesra dengan sentuhan tersendiri kepada penumpang.
Bagi Ethan Bada Anggat, 28, dari Kuching, Sarawak pula, walaupun sukar tetapi kerjaya terbang di awan biru menjadi impian sejak kecil apatah lagi kini jenama Air Asia memang cukup terkenal di seluruh dunia.
"Seperti ramai rakan-rakan dari negara asing, saya juga terpaksa meninggalkan keluarga di Sarawak demi mengejar cita-cita dan mengharumkan nama Air Asia.
"Selama enam bulan bersama Air Asia, saya benar-benar gembira kerana dapat membantu para penumpang lebih-lebih lagi ramai di antara mereka pertama kali menaiki pesawat dan kurang faham peraturan," katanya sambil tersenyum.
Sepanjang penerbangan ke Tawau, Ethan diberi tugas membuat pengumuman oleh FA senior. Awalnya, suara Ethan agak perlahan dan terketar-ketar tetapi sewaktu penerbangan pulang, dia sudah mampu melakukannya dengan jelas dan berkeyakinan.
Menurut Zuhaizah Isah, 29, dari Kota Kinabalu, Sabah, mengendalikan sekumpulan krew yang masih junior sebenarnya agak mencabar memandangkan mereka masih baru dan sedang membiasakan diri dengan rutin penerbangan.
Bekas pramugari syarikat penerbangan nasional itu bagaimanapun sentiasa mengingatkan rakan-rakan yang lebih muda supaya tidak lupa menjaga penampilan diri walaupun AirAsia tidak mempunyai garis panduan yang ketat berhubung perkara itu.
"Kami juga diberi kebebasan memilih gaya rambut sendiri dan tidak perlu mengenakan seragam terlalu ketat kerana ia boleh mengehadkan pergerakan terutama ketika kes kecemasan.
"Mungkin itu merupakan antara penarik ramai orang khasnya yang mempunyai pengalaman sebagai juruterbang, jurutera dan krew penerbangan menyertai AirAsia," ujarnya yang mempunyai pengalaman lima tahun sebagai pramugari.
Walaupun tanpa peraturan ketat, katanya, setiap individu bertanggung jawab di atas prestasi kerja masing-masing dan penampilan diri kerana krew penerbangan AirAsia mencerminkan imej syarikat itu di mata para penumpang yang datang dari seluruh dunia.
Oleh itu, kata Zuhaizah, sesekali dia cuba menampilkan kelainan dengan mengadakan kuiz, pertandingan nyanyian dan cabutan bertuah untuk menceriakan para penumpang terutama ketika penerbangan jauh.
- UTUSAN