Sabtu, Jun 27, 2009

Lagi pembantu rumah dakwa didera


Seorang lagi pembantu rumah warga Indonesia mendakwa didera majikannya.

Mangsa mendakwa ditumbuk di telinga setiap hari, malah hanya diberi makan sekali sehari dan tidak pernah diberi cuti dan gaji sepanjang 19 bulan bekerja di rumah majikannya.

Nasib malang yang menimpa Modesta Rengga Kaka ini seolah-olah berulang selang beberapa minggu selepas seorang pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hajar, 33, melarikan diri dari rumah majikannya akibat tidak tahan didera, awal bulan ini.

Modesta, 25, mendakwa, dia menjadi mangsa seksaan majikannya yang berusia lingkungan 30-an dan kini sedang hamil tujuh bulan.

“Saya dipukul dan ditumbuk di telinga setiap hari, tidak pernah dibayar gaji, diberi makan sekali sehari serta tidak pernah diberi cuti walau sehari pun bekerja,” rintih wanita itu yang mula berkhidmat di negara ini sejak 1 November 2007.

Modesta berasal dari Ngamba Deta, Indonesia sepatutnya menerima gaji sebanyak RM500 setiap bulan oleh majikannya yang tinggal di Kampung Baru Ampang di sini.

Namun, malang menimpanya apabila dia bukan sahaja tidak dibayar, sebaliknya hanya diberi makan roti atau kadang-kadang nasi basi yang telah dibuang.

“Saya hanya diberi masa selama tiga jam sahaja untuk tidur setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Besar Kedutaan Indonesia di sini malam ini.

Menceritakan detik bagaimana dia berjaya keluar dari ‘seksaan’ itu, wanita itu memberitahu;

“Kelmarin, ketika membasuh pakaian, majikan saya datang memukul saya sebelum menghalau keluar dari rumah.

“Sewaktu saya berdiri di luar pagar rumah, seorang jiran datang membantu dan membawa saya membuat laporan polis.”

Sementara itu, Menteri Kaunselor (Penerangan, Sosial dan Budaya) Republik Indonesia, Widyarka Ryananta memberitahu, pihaknya telah menerima laporan pemeriksaan kesihatan Modesta daripada Hospital Ampang.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts