Limau Bali Jelapang Padi


Terdapat kira-kira 15 buah gerai menjual limau Bali di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Kampung Padang Halban, Changlun, Kedah.

Siapa yang tidak mengenali limau Tambun atau limau Bali yang begitu popular di Perak? Sudah menjadi satu kemestian bagi orang ramai yang singgah di Ipoh untuk membeli limau Bali sebagai buah tangan apabila berkunjung di bandar raya ini.

Namun, jangan terkejut jika limau Bali juga popular di negeri Kedah Darul Aman yang turut dikenali sebagai Jelapang Padi di Malaysia.

Jika anda melalui Lebuh Raya Utara- Selatan dari Bukit Kayu Hitam menghala ke bandar raya Alor Setar, Kedah, jangan lepaskan peluang berhenti sebentar di situ.

Ini kerana terdapat kira-kira 15 buah kedai menjual limau Bali di sepanjang lebuh raya itu di kampung berkenaan.

Anda juga tidak perlu risau tentang kebarangkalian buah limau Bali itu tidak dijual kerana ia berbuah sepanjang tahun dan tidak bermusim.

Menurut salah seorang penjual, Halijah Omar, 61, limau Bali dari negeri ini tidak kurang popularnya dalam kalangan pengunjung luar.

Katanya, faktor lokasi jualan yang terletak di laluan utama ke pulau Langkawi melalui jeti Kuala Perlis dan kewujudan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk Universiti Utara Malaysia menyebabkan kawasan gerai jualan limau Bali ini tidak putus-putus menerima kunjungan ramai.

"Biasanya, mereka yang baru balik dari Thailand akan singgah dahulu ke sini untuk membeli limau Bali. Ini kerana lokasi gerai jualan tersebut juga terletak berdekatan dengan pintu masuk utama ke negara jiran itu,'' katanya kepada Kosmo!.

Katanya, keadaan menjadi lebih meriah apabila tiba musim kemasukan pelajar baru di beberapa buah IPTA di sekitarnya.

Ini kerana, katanya, selepas keluarga menghantar anak-anak ke institusi berkenaan mereka pasti singgah di kedai menjual limau Bali tersebut.

Mengulas tentang rasa, Halijah memberitahu, terdapat dua jenis rasa iaitu manis serta masam dan ia dapat dibezakan mengikut warna isinya.

"Kalau suka rasa masam, isi limau Bali berwarna merah menjadi pilihan, manakala yang manis pula berwarna putih. Pengunjung boleh rasa dahulu sebelum membelinya," katanya.

Tambah beliau, kebiasaannya pemilik kebun limau Bali yang membekalkan buah itu kepada penjual akan mengasing-asingkan buah tersebut mengikut rasanya.

Ini, katanya dilakukan bagi mengelakkan penjual terkeliru apabila menjualnya kepada pengunjung.

"Tak perlu risau jika tersalah beli kerana dengan melihat kulit luar pun, kita boleh tahu yang mana satu isinya masam atau manis," ujarnya.

Dalam soal harga pula, menurutnya, limau Bali itu dijual mengikut saiz. Namun, katanya, ia masih murah jika dibandingkan dengan harga limau yang sama di kawasan lain.

Menurutnya, jika dibeli terus dari kebun, harganya akan lebih murah.

"Kalau besar, harga sebiji adalah RM6, sederhana besar RM10 untuk dua biji dan kecil RM10 untuk tiga biji," katanya.

Seorang lagi peniaga, Noraini Lebai Man, 41, berkata, buah limau Bali yang dijual itu diambil dari pemilik kebun orang tempatan dan bukannya dari negara luar.

"Terdapat banyak pekebun menanam buah limau Bali untuk tujuan komersial. Antaranya, pekebun dari Kuala Nerang, Kampung Darat dan sekitar Changlun," katanya.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url