Arak: Jangan cakap jika tidak faham

Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan mengenai hukum Islam jika tidak memahaminya secara mendalam.

Sambil mengaitkan soal penjualan minuman keras di Selangor beliau berkata, tindakan itu tidak harus dilakukan terutama oleh pihak bukan Islam kerana ia boleh mengundang rasa tidak puas hati umat Islam.

Kata beliau, sama ada bir atau minuman keras lain, ia tetap haram diminum oleh umat Islam tidak kira berapa peratus kandungan alkoholnya.

''Perkara ini jelas dinyatakan dalam al-Quran, tidak kira berapa kandungan alkoholnya. Oleh itu, saya menggesa supaya tidak ada pihak yang membuat kenyataan tentang hukum Islam jika tidak memahaminya dengan mendalam kerana ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di dalam laman blognya, http://iskandar56100.blogspot.com.

Semalam, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu dalam kenyataannya yang disiarkan sebuah akhbar tempatan menyatakan bahawa bir tidak boleh dikategorikan sebagai minuman keras kerana kandungan alkoholnya tidak tinggi.

Kenyataan Ronnie itu dibuat susulan tindakan Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang terpaksa memulangkan semula minuman beralkohol sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8 di sini Khamis lalu, setelah merampasnya dalam satu operasi yang dijalankan ke atas kedai itu sehari sebelumnya.

Rampasan itu dibuat setelah MBSA menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman tersebut kepada umat Islam.

Bagaimanapun menurut Ronnie, tindakan MBSA itu merupakan salah faham dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut tidak ada kuasa untuk merampas bir berkenaan tetapi hanya boleh berbuat demikian ke atas minuman keras lain yang dijual oleh peniaga tidak berlesen sahaja.

Dalam pada itu, Iskandar turut menyatakan tindakan MBSA merampas minuman keras berkenaan adalah untuk menghalang umat Islam daripada membeli minuman keras dengan mudah dan berdasarkan enakmen yang sedia ada, bukannya menyekat masyarakat bukan Islam membeli dan meminum minuman tersebut.

''Hak masyarakat bukan Islam tidak dinafikan sama sekali. Akan tetapi, jika tidak ada peraturan menghalang umat Islam membeli dan meminum minuman keras, maka hak umat Islam untuk dilindungi daripada bahaya minuman keras telah dinafikan.

''Menjual minuman keras di kawasan orang Islam tidak dirasakan sensitif, tetapi apabila hendak dihalang ia menjadi sensitif seolah-olah orang Islam ini tidak ada perasaan, tidak ada hak atau tidak ada nilai," jelasnya.

Kata beliau, jika kedai-kedai yang menjual minuman keras kepada orang Islam tidak diambil tindakan atau ditarik balik, masyarakat Islam akan mempersoalkan kepentingan mereka dipandang remeh dan moral kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas turut terjejas.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url