Cerpen - Muqabalah
Kunjungan sehari sebelum perayaan hari kemerdekaan ke atas seorang pemimpin umur lama yang cukup marah bila dikatakan tua bagi tujuan persemukaan terhadap suatu isu yang mengelirukan pendukung dan penyokong parti agak tegang tetapi masih dalam rangka dan kerangka perdebatan secara sihat.
Ada peluh yang memercik di dahi pendebat dalam perdebatan lima lawan satu yang diadakan dalam bilik berhawa dingin yang mensalji dan pemimpin umur lama terpaksa pakai baju tiga lapis untuk menahan sejuk.
Pemimpin umur lama itu tersengih sinis kerana manggak dan riak.
Hidungnya kembang kempis.
Macam mana dia tak rasa manggak dan riak, gara-gara mahu mendapatkan persetujuannya, lima kepala, empat daripadanya kepala anak muda yang lahir selepas merdeka, terpaksa digunakan bagi memberi hujah dan mematahkan hujahnya.
Baginya kalau dia tidak hebat, kalau dia bukan intan terpilih pada abad ini, takkanlah sampai lima orang datang untuk memberi hujah dan membalas hujahnya, empat daripadanya adalah berkelulusan Ph.D dalam bidang sains politik dengan empat daripadanya membiarkan kepala botak tanda bijak masing-masing terdedah.
Kerana itu dia akan mengeksploitasi dan memanipulasi kehebatannya supaya dalam apa-apa maksud dan tujuan sebagai rangka dan kerangka jangka pendek dan juga jangka panjang parti yang didukung dan disokongnya, dia akan pastikan dia tidak akan dikesampingkan.
Sama ada soal kerajaan perpaduan mahu pun apa juga isu, dia akan pastikan buah fikiran dan pandangannya diambil kira, termasuk dalam soal yang berkaitan dengan perayaan hari kemerdekaan negara.
Malah dalam apa keadaan sekali pun dia akan pastikan dia akan dirujuk.
"Tujuan muzakarah…."
"Kalau muzakarah ana tak setuju" pintasnya sebelum ketua pengunjung sempat membuat penjelasan tujuan dia dan rombongan membuat kunjungan hormat.
Ketua pengunjung tergamam.
"Enta faham ke tidak apa itu muzakarah?" soalnya.
Ketua pengunjung menggelabah.
Diraba serban di kepalanya yang ekornya mencecah punggung. Lilitan serban itu melindungi bubus hampir-hampir botaknya. Kemudian ketua pengunjung merawa dan memintal-mintal janggutnya yang mencecah dada dan ada sedikit bau jebat. Dia merasakan pemimpin umur lama cuba memperlekeh dan mengaibkannya bila ditanya sama ada dia faham atau tidak apa itu muzakarah, soalan yang sepatutnya hanya diaju kepada budak sekolah.
Walaupun dia memiliki ijazah sarjana muda kelas dua bawah dalam bidang Usuludin, namun dia adalah lepasan sebuah universiti terkemuka di Timur Tengah, malah dia seuniversiti dengan pemimpin umur lama.
"Sebelum nak buat sesuatu, kena faham, kena reti dengan apa yang nak dibuat" bebel pemimpin umur lama. Muka dan nada suaranya serius.
Mulut ketua pengunjung terkunci oleh rasa terkedu hati dan terkoyak rabak perasaan oleh sindir sinis pemimpin umur lama.
Empat lagi anggota pengunjung saling berpandangan dan saling bercebih-tonye sesama sendiri. Ada pantulan cahaya lampu pada kepala botak masing-masing.
"Kita ni orang politik, pemimpin parti politik. Lawan kita juga orang politik dan pemimpin parti politik. Main politik ni kena cerdik" khutbah pemimpin umur lama.
"Jangan pula apa yang kita buat umpama kita memberi senapang kepada lawan untuk nantinya kepala kita yang bersepai kena tembak oleh senapang kita sendiri yang kita hulur pada lawan" syarah pemimpin umur lama.
Ketua pengunjung terkebil-kebil.
"Kalau kita menghunus keris, kena pastikan kita yang pegang ulu dan matanya kena terhunus ke arah lawan, bukannya kita hulurkan keris untuk lawan pegang ulunya dan matanya pula dihunus kepada kita. Kalau macam tu jadinya bermakna kita tidak cerdik bermain politik"
"Yang cerdik bermain politiknya macam mana?" soal seorang anggota pengunjung yang paling muda. Dia memberanikan diri membuka mulut apabila mendapati mulut ketua pengunjung yang cukup rapuh dan celupar ketika di pentas ceramah dan pada rapat-rapat umum terus terkunci berdepan dengan khutbah, hujah dan syarahan pemimpin umur lama yang serba selamba.
"Semolek-moleknya biar lawan yang hulur senapangnya kepada kita, biar lawan yang hulur keris dan kita pegang ulunya dengan mata dihunus ke arah lawan" balas pemimpin lama.
"Bukan mudah"
"Memang bukan mudah. Politik bukan satu permainan yang mudah. Bukan semua orang boleh bermain politik, apatah lagi untuk memimpin sesebuah parti politik yang mana pemimpinnya kena sentiasa lebih cerdik dari pimpinan parti lawan, malah dengan sesama pimpinan dalam parti sendiri"
Giliran anggota paling muda pula terkunci mulutnya dan terkebil-kebil oleh penangan hujah pemimpin umur lama.
"Kalau tak cerdik jangan dok ogeh nak jadi pemimpin. Lebih molek kalau pilih saja jadi penyokong"
"Jadinya?" ketua pengunjung membuka mulut setelah agak lama mulutnya terkunci. Dari mulut ada sedikit bau lembu punya taik kerana berkuan disebabkan agak lama tak buka mulut.
"Jangan muzakarah. Kalau tidak parti kita akan punah"
"Kenapa pula parti kita akan punah?"
"Muzakarah memerlukan kekuatan hujah dan penggulungan hujah serta keputusan atau rumusan"
"Ana setuju"
"Apa hujah yang kita ada untuk nantinya dari segi moralnya kemenangan akan berpihak kepada kita?"
"Itu yang ana berlima datang ni, nak dapatkan hujah-hujah enta untuk digunakan dalam muzakarah nanti"
"Apa tujuan enta mau bermuzakarah dengan pihak lawan?"
"Untuk perpaduan ummah, demi masa depan agama, bangsa dan negara. Setelah usia kemerdekaan mencecah lima puluh dua tahun, kita kena lebih profesional dan rasional dalam berpolitik, dalam bercanggah pendapat, ketidakseragaman pandangan dan juga pendekatan dalam berparti politik dan berpolitik".
"Maknanya dalam muzakarah itu nanti wakil parti kita yang dipilih untuk bermuzakarah mesti kena ada pelan, rangka dan kerangka perpaduan ummah"
"Ha ah"
"Apakah enta yakin antara kita sesama kita, antara kita dengan parti-parti pakatan kita sudah benar-benar berpadu?"
"Enta rasa?"
"Ana rasa kita tidak benar-benar bersepadu lagi. Muzakarah yang dicadangkan boleh mengundang pecah belah dalam pakatan kita jika kita kekal dalam keadaan sekarang"
Ketua pengunjung terkunci mulut lagi. Entah apa bau yang akan terhambur keluar bila dibuka mulutnya nanti, sukar untuk dipastikan. Dia adalah antara orang yang tidak akan berselera kalau makan nasi tanpa ulang petai, jering, kerdas atau paling komen pun kena berulamkan bawang putih dan bawang merah.
"Kalau sesama kita dan antara parti dengan parti sepakatan kita tidak benar-benar sepadu, macam mana boleh kita muzakarahkan tentang perpaduan ummah dengan parti lawan kita"
Ketua pengunjung tidak menyahut.
"Kerana itu ana tidak bersetuju muzakarah diadakan"
"Dulu enta juga yang beriya-iya mahu bermuzakarah dengan lawan kita" ketua pengunjung kembali bersuara.
"Itu dulu, ketika lawan tidak bersedia untuk bermuzakarah. Bila ana mau bermuzakarah sedangkan lawan tak mau, kemenangan moral akan berpihak kepada kita. Kerana itu ana kata nak bermain politik kena cerdik"
"Ana dan rakan-rakan rintis jalan ke arah diadakan muzakarah berpandukan kepada al-Quran dan hadis kerana itulah yang enta mahukan"
"Ketika ini muzakarah tidak sesuai, tidak banyak keuntungan politik yang parti kita dapat"
"Enta utamakan keuntungan politik dari kepentingan ummah?"
"Politik periuk nasi kita"
"Apakah kerana periuk nasi, kita kena kesampingkan kepentingan ummah?"
Pemimpin umur lama tidak menyahut.
"Lagi pun bukankah bila kita bertelagah sesama kita, sesama sefahaman agama, kita diminta menyelesaikannya melalui musyawarah?"
Pemimpin umur lama tetap tidak menyahut.
"Kalau kita membatalkan muzakarah, reputasi dan hemah parti kita akan tercalar. Dulu enta sebagai tokoh yang dianggap serba betul yang mahu bermuzakarah dengan parti lawan. Sekarang bila parti lawan sanggup bermuzakarah, enta tentang pula"
"Ana boleh bersetuju tetapi dengan syarat…"
"Apa pula syaratnya"
"Namanya ditukar"
"Maksud enta?"
"Jangan namakan muzakarah"
"Habis nak namakan apa?"
"Muqabalah"
"Muqabalah?"
"Ha ah. Muqabalah atau bersemuka yang tidak perlu ditamatkan dengan kesimpulan, rumusan dan resolusi. Muqabalah lebih bersifat santai"
Ketua pengunjung terkelu.
"Bagi ana muzakarah pun boleh muqabalah pun boleh. Yang tak bolehnya 'muka balah' kerana yang mahu diusahakan adalah penyatuan ummah, membendung sikap berpuak-puak, pecah belah, cebih-tonye, tunjuk siku balik dan tonggeng punggung sesama sendiri, sesama sebangsa, sesama seagama dan sesama sewarga negara" ngomel anggota pengunjung paling muda.
Sebenarnya dia cuak dengan sikap pemimpin umur lama yang mahu dianggap dia serba betul dan serba unggul belaka sehinggakan nama muzakarah yang telah dipersetujukan mahu ditukar dengan muqabalah walhal jisimnya sama seperti minyak petrol dipanggil minyak bensin sahaja.
Baginya pemimpin umur lama lebih utamakan populariti dan ketokohannya yang bersifat kepentingan peribadi melebihi kepentingan ummah yang sedang berkucah dan berkuca-wokyoh.
Demi kepentingan politik kepartian dan demi mempertahankan ketokohannya yang dilihat serba hebat, pemimpin umur lama boleh tidak bersetuju dengan cadangan muzakarah sedangkan ia adalah antara tatacara dan pendekatan yang amat digalakkan dalam Islam bila timbul sesuatu pertelingkahan.
"Ana anggap antara kami sebagai pengunjung dengan enta yang dikunjungi kini sedang bermuqabalah. Oleh itu bila ana beri pandangan, jangan pula enta marah"
"Pandangan apanya?" soal pemimpin umur lama dengan suara agak tinggi.
Dalam suaranya ada nada marah kerana jarang pendapat dan fatwanya disanggah.
"Bagi ana ketidakbersetujuan enta dengan muzakarah yang diatur oleh parti, lebih bersifat ingkar terhadap keputusan parti"
Ketua pengunjung cuba memberi isyarat supaya anggota pengunjung paling muda tidak cuba mengundang marah seranah pemimpin umur lama yang dianggap keramat dan bermukut masin oleh pendukung dan penyokong parti.
"Enta kena ingat parti kita bukan hak peribadi. Enta tak patut menentang apa yang telah diputuskan oleh parti dengan persetujuan majlis syura dan dewan ulamak dengan penentangan itu pula dihebah di media cetak dan elektronik" tokok pengunjung paling muda tanpa menghiraukan isyarat ketua pengunjung.
"Suara seorang tokoh tidak patut menjadi veto bagi menolak suara ramai" tingkah seorang lagi pengunjung, menyokong pandangan pengunjung paling muda.
"Betul" sokong seorang lagi anggota pengunjung.
"Zaman dah berubah. Cara kita berpolitik dan cara kita berfikir juga kena berubah" ngomel anggota pengunjung paling muda.
"Sama ada namanya muzakarah atau muqabalah, apa yang telah diputuskan oleh parti kena diteruskan. Kita kena bersihkan parti dari wabak veto seorang tokoh yang dianggap hebat dan merasakannya hebat menyebabkan keperluan parti mengikut keperluan dan peredaran zaman terencat. Tokoh yang kita anggap hebat dan dia merasakan dirinya hebat pun kerana kita sebagai pendukung dan penyokong parti yang melabelkannya hebat" tokok anggota pengunjung paling muda.
"Walhal dari segi sumbangan buah fikiran dan penyediaan rangka dan kerangka bagi kepentingan parti untuk jangka panjang khususnya, apatah lagi yang berkaitan dengan kepentingan agama, bangsa dan negara, belum tentu dia lebih hebat dari suara majoriti dalam parti" tokok pengunjung paling muda lagi.
Ketua pengunjung tunduk menguku.
Pemimpin umur lama menggelabah tetapi tidak boleh marah kerana pemimpin muda yang memberi hujah telah menegaskan bahawa dia bersama anggota pengunjung sedang bermuqabalah dengannya sebagai tokoh yang dikunjungi
Dia sebagai pemimpin umur lama sedang terkepung dalam muqabalah yang dicadangkannya sendiri bagi menggantikan muzakarah. Jauh di sudut hatinya dia mula memperakukan kesakanan ilmu anak-anak yang lahir dan menerima pendidikan selepas merdeka berbanding dengannya!