Empat bank dilempar bom petrol


Empat bank di sekitar kawasan Seri Manjung, Sitiawan dan Kampung Koh di sini, kerugian ribuan ringgit akibat tindakan pihak tertentu melemparkan bom minyak atau molotov cocktail ke arah bank berkenaan awal pagi semalam.

Motif kumpulan itu masih dalam siasatan kerana bom berkenaan diketahui tidak mempunyai keupayaan tinggi untuk memecahkan mesin wang automatik (ATM) menyebabkan timbul persoalan sama ada kumpulan terbabit kurang pakar atau sengaja melakukan vandalisme terhadap bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata semua kejadian itu berlaku antara jam 1.20 pagi hingga 3.30 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan bom minyak atau molotov cocktail dipercayai diperbuat daripada minyak tanah atau petrol dan diletakkan sumbu di dalam botol sebelum melemparkannya ke arah bank dan mesin ATM berkenaan.

“Public Bank di Seri Manjung adalah bank yang paling teruk terjejas akibat letupan itu manakala tiga bank lain iaitu Maybank di Kamdar serta Kampung Koh dan AmBank di Sitiawan hanya mengalami kerosakan kecil di pintu saja

“Bagaimanapun, tindakan suspek meletupkan semua mesin ATM berkenaan tidak membuahkan hasil kerana tidak berjaya melarikan wang tunai yang ada di dalam mesin berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Jamil berkata, setakat ini, polis masih belum mengenal pasti jumlah mereka yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab untuk dibawa ke muka pengadilan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima dan bantuan kamera litar tertutup (CCTV), beliau yakin polis akan mendapat petunjuk seterusnya mengesan suspek sekali gus mengetahui motif mereka.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url