Iran iktiraf Ahmadinejad

Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam dengan rasminya mengesahkan Mahmoud Ahmadinejad sebagai Presiden bagi penggal baru selama empat tahun ketika kemelut politik di republik Islam berterusan.
Majlis itu tidak dihadiri pemimpin pembangkang, satu petanda permusuhan antara kedua-dua pihak bertelagah belum berakhir, walaupun Ahmadinejad sudah terpilih.
"Pemimpin agung melantik Mahmoud Ahmadinejad sebagai Presiden Republik Islam bagi penggal kedua," lapor televisyen berbahasa Arab, Al-Alam.
Antara mereka yang tidak hadir adalah calon lawan Ahmadinejad yang tewas, Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi, Akbar Hashemi Rafsanjani dan bekas presiden reformis, Mohammad Khatami.
Ahmadinejad, 52, dijangka mengangkat sumpah di Parlimen esok berikutan kemenangannya pada pilihan raya 12 Jun lalu, walaupun menghadapi kecaman penyokongnya sendiri ketika ini kerana mempertikaikan kesetiaannya kepada Khamenei.
Ahmadinejad, bagaimanapun, menolak wujud sebarang perselisihan dengan Khamenei dan menyifatkan perhubungan mereka umpama 'anak dengan bapa.'
Pengisytiharan kemenangan besar Ahmadinejad disambut dengan bantahan beramai-ramai di jalan raya dan pihak pembangkang menuduh kononnya berlaku penipuan dalam undian.
Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan beberapa ribu lagi ditahan, termasuk tokoh perubahan terkenal dan wartawan.
Sabtu lalu, kira-kira 100 orang dibicarakan di mahkamah revolusi, langkah yang dikecam oleh pembangkang.
Khamenei menyokong kuat Ahmadinejad dan menolak tuduhan penipuan dalam pengundian serta mengecam kerajaan Barat, khususnya Britain, kerana cuba menghasut kekacauan.
London menolak tuduhan itu disusuli ketegangan dengan Teheran apabila Iran menahan sembilan kakitangan tempatan yang berkhidmat di kedutaan Britain atas tuduhan menghasut rusuhan. Mereka sudah dibebaskan.
Tindakan Iran terhadap penunjuk perasaan menarik perhatian masyarakat antarabangsa yang mengecamnya, termasuk musuh ketatnya, Amerika Syarikat.
Selepas tiga dekad tanpa hubungan diplomatik dengan Iran, Amerika cuba mengendurkan ketegangan itu pada tahun ini dengan mencadangkan agar diadakan perbincangan mengenai pertikaian yang sudah berlarutan lama di antara kedua-dua negara termasuk isu nuklear.
- AFP

