Jamaludin Duta Malaysia ke Amerika

Bekas menteri, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis, 58, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baru berkuat kuasa esok, kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Anggota Parlimen Rompin itu yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, akan memegang jawatan itu dengan taraf menteri.

Beliau dijadual menerima watikah pelantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin esok.

Dr. Jamaludin, yang memegang ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan elektrik pengkhususan sistem kuasa dari McGill University, Kanada, menyertai Kabinet sebagai Menteri Kewangan Kedua pada November 2002.

Dalam rombakan Kabinet secara kecil-kecilan pada Januari 2004, beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kira-kira tiga bulan kemudian sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, jawatan yang dipegangnya sehingga Mac tahun lepas.

Beliau berkahwin dengan Dr. Kalsom Ismail, lulusan doktor pergigian, dan mereka mempunyai empat cahaya mata.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url