Kerajaan tidak tunduk desakan demonstrasi jalanan - Hishamuddin

Kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan melalui demonstrasi jalanan kerana ia dilakukan hanya untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini dapat dilihat melalui laungan yang dibuat ketika demonstrasi di ibu negara hari ini yang langsung tidak ada kaitan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

''Saya tidak nampak tujuan mereka berhimpun untuk menghapuskan atau menyokong ISA. Mungkin ada kumpulan tertentu yang menggunakan platform ini untuk tujuan dan matlamat lain.

''Selepas kita kaji dan teliti sebenarnya, apa yang mereka laungkan itu tidak ada langsung kena-mengena dengan ISA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rasah di Nilai Spring Resort Hotel di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan tunduk dengan sebarang desakan melalui demonstrasi itu kerana ia hanya bermotifkan politik semata-mata.

''Saya rasa rakyat boleh menilai dengan apa yang berlaku hari ini. Saya difahamkan hanya sekitar 6,000 orang yang berhimpun dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di Kuala Lumpur," jelas beliau.

Tegasnya, kerajaan sentiasa konsisten dalam menangani isu ISA kerana ada perkara yang tidak boleh dikompromi melalui demonstrasi jalanan khususnya berkaitan Perlembagaan, undang-undang negara dan institusi yang sedia ada untuk menjamin keselamatan negara.

Beliau menegaskan, memang kementeriannya sedang mengkaji akta berkenaan dan kerangkanya pun sudah digubal.

''Yang penting ia hendaklah selari dengan pucuk kepimpinan negara. Kita perlu berbincang dengan Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) termasuklah mereka yang mempunyai kepentingan dalam perkara ini.

''Biarlah kita duduk dalam suasana yang kondusif kerana kita hendak membincangkan satu perkara yang penting berkaitan ISA. Bagaimana kita hendak berbincang kalau asyik terpekik dan menjerit di jalanan. Itu bukan perbincangan yang kondusif. Ini akta yang penting," tegas beliau.

Sehubungan itu, Hishammuddin menjelaskan, adalah menjadi harapan beliau agar semakan dan pindaan berhubung akta berkenaan dapat dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, bagaimanapun ia bergantung dengan persetujuan yang dicapai oleh mereka yang sama-sama duduk untuk menggubalnya.

Mengulas demonstrasi yang dilakukan hari ini serta ditunjangi pembangkang, Hishammuddin menegaskan, memang sudah ada penahanan yang dilakukan ke atas individu yang ingkar dengan arahan pihak berkuasa supaya tidak melakukan perhimpunan haram.

''Kita ambil tindakan kepada mereka yang menyalahi undang-undang. Kita lakukan tanpa memilih sesiapa. Mereka kenalah berhadapan dengan proses mahkamah," katanya.

Mengenai tindakan pihak tertentu yang semakin berani mencabar undang-undang negara walaupun sudah diberi amaran agar tidak melakukan perhimpunan haram dan demonstrasi, Hishammuddin menegaskan, kerajaan mempunyai banyak peruntukan undang-undang untuk dikenakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ditanya sama ada ISA wajar digantikan dengan istilah baru, beliau berkata, bukan nama yang menjadi persoalan tetapi pengisian dalam akta berkenaan yang sedang dikaji.

''Ketika ini pun di negara Barat, akta yang sama telah pun diperkenalkan dan diguna pakai seperti akta anti pengganas yang bertujuan memastikan keselamatan negara mereka terjamin. Jadi di sebalik demonstrasi ini ada hikmahnya, kita dapat melihat pihak tertentu sengaja mengambil kesempatan dalam agenda mereka," jelas beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url