Kesan isu Natrah terhadap gejala murtad

Oleh Fatini Yaacob

Ada kalangan generasi muda bertanya saya, mengapa masih menulis tentang Natrah? Apakah masih ada yang tertinggal tentang Natrah sejak 20 tahun lalu?

Saya tergelak besar… saya menjawab barangkali ada, kerana dulu saya tenggelam dalam begitu banyak fakta tentang Natrah dan turut kabur dalam menganalisis fakta tentang isu-isu sekitar Natrah. Kini setelah 20 tahun berlalu saya semakin memahami isu Natrah dan kaitannya dengan orang Melayu.

Walaupun sekarang saya menulis hal ini namun saya berasa seolah-olah keseorangan padahal ini bukan isu saya secara peribadi. Ini adalah isu umat Melayu, isu kelemahan kita sekarang ini sebagai penganut Islam. Para sejarawan atau sesiapa sahaja yang prihatin sepatutnya mendahului saya membentangkan isu ini ataupun ikut memberi pandangan tentang penegasan baru yang saya bawa ini.

Bagi saya, walaupun Natrah telah meninggal, namanya akan tetap hidup selagi ada orang Melayu, selagi ada Islam. Tragedi rusuhan Natrah adalah lambang kehebatan kekuatan iman umat Melayu paling ramai dalam sejarah moden. Kelompok yang merusuh semasa itu dianggarkan menjangkau 3,000 orang. Orang Melayu datang sejauh Kelantan dan Perlis, untuk menunjukkan kekuatan penyatuan mereka kepada penjajah. Malah sebahagian mereka datang dengan berbasikal!

Bagi saya isu Natrah dan relevansinya kepada umat Islam akan tetap hidup zaman berzaman sekurang-kurang berasaskan tiga faktor utama ini:

Pertama: Pengorbanan nyawa yang begitu banyak walaupun Natrah hanyalah seorang budak kecil - 18 orang meninggal, 173 cedera dan beratus dipenjarakan. Di seluruh dunia rusuhan di Singapura tahun 1950 itu, dirujuk sebagai kes yang terpaksa dihormati kerana pengorbanan nyawa demi maruah dan harga diri, walaupun ada kalangan tempatan terutama orang-orang Melayu yang pro penjajah yang menyanggah erti pengorbanan ini.

Kedua: Isu murtad adalah isu yang relevan setiap masa. Pengorbanan orang Melayu kerana tidak sanggup Natrah dimurtadkan membuktikan kekuatan roh tauhid orang Melayu ketika itu. Pengorbanan jiwa yang tercerna dari kekuatan mengimani Allah ini akan tetap diangkat menjadi contoh setiap masa.

Kini setelah 59 tahun tragedi Natrah, adakah orang yang menangis seperti Natrah kerana tidak mahu dimurtadkan? Alangkah sayangnya pengorbanan orang Melayu dan tangisan Natrah, kerana setelah 59 tahun berlalu, perkara sebaliknya yang berlaku. Begitu ramai gadis-gadis Melayu yang menangis-nangis kerana berperang dengan keluarga untuk murtad!

Ketiga: Kes perbicaraannya di mahkamah menjadi teks wajib kuliah undang-undang Islam dan undang-undang perbandingan sivil dan Islam di universiti tempatan. Bagi sesiapa yang mengambil jurusan syariah atau undang-undang pasti terpaksa menghazami butir-butir pahit perbicaraan yang terpaksa dilalui oleh Natrah.

http://natrahfatini.blogspot.com
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url