Penganalisis politik berbeza pendapat isu mansuh ISA

Penganalisis politik dan badan bukan kerajaan (NGO) berbeza pandangan dalam isu pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada demonstrasi jalanan di ibu negara, kelmarin.

Sebilangan mereka berpendapat akta itu masih relevan ketika negara di dunia termasuk Malaysia berdepan pelbagai ancaman seperti pengganas yang boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan negara.

Bagaimanapun terdapat pihak yang mahu akta baru digubal bagi menggantikan ISA yang kini sudah berusia hampir setengah abad dengan harapan undang-undang baru itu menjadi serampang dua mata iaitu menjamin keselamatan negara dan hak asasi tahanan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata dalam konteks hari ini, ISA tidak wajar dimansuhkan kerana undang-undang yang digubal sejak 48 tahun lalu itu 'payung' ketika negara berdepan dengan anasir yang boleh menjejas keselamatan dalam negara.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa termasuk di peringkat global, musibah atau tindakan daripada kumpulan pengganas, fanatik tidak dapat diduga.

"ISA ibarat kerajaan menyediakan `payung sebelum hujan' dan apa yang saya lihat, pemimpin pembangkang dan NGO membantah ISA bukan kerana mereka tidak percaya bahawa ISA boleh menjadi payung, sebaliknya mereka tidak percaya pada orang yang diamanahkan untuk menggunakan payung itu.

"Langkah terbaik adalah meminda ISA bagi memastikan akta itu bersesuaian dengan keadaan semasa disebabkan rakyat semakin cerdik dan berpelajaran tinggi. Oleh itu kaedah yang digunakan dulu untuk melayan orang cerdik yang ditahan tidak lagi sesuai dilaksanakan pada hari ini," katanya.

Presiden International Movement for a Just World (Just), Dr Chandra Muzaffar, berkata undang-undang baru perlu digubal dengan mengambil kira matlamat menjamin hak dan kebebasan tahanan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan pengisytiharan hak asasi manusia sejagat serta kepentingan menjaga keselamatan negara.

Beliau berkata, tindakan meminda tidak akan menyelesaikan rasa tidak puas hati dan tanggapan negatif masyarakat yang akan berterusan mengaitkan ISA yang dilihat sebagai undang-undang yang sudah tercemar.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata ISA perlu dikekalkan demi kelangsungan perjuangan dan kepentingan orang Melayu, Raja-raja Melayu, Islam dan bahasa Melayu.

Katanya, mustahil untuk memansuhkan akta yang diibaratkan segelintir pihak sebagai keris Taming Sari orang Melayu,

"Jangan terlalu mengikut kehendak parti pembangkang kerana mereka mempunyai matlamat politik sendiri yang dipengaruhi negara luar. Kerajaan perlu meneliti beberapa pindaan yang boleh menjamin hak asasi seseorang tahanan termasuk mengurangkan tempoh tahanan dan dibenarkan untuk diwakili peguam," katanya.

Penasihat Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Zulkifli Ahmad, berkata ISA tidak lagi relevan hari ini kerana ia digubal sebagai satu alat khusus untuk menentang ancaman komunis.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url