Penjenamaan semula STPM
Sebagai contoh, berbanding 81,142 calon STPM pada 2005, jumlah itu berkurangan kepada 73,691 pada tahun seterusnya, 66,048 ( 2007), 53,655 (2008) dan 55,426 tahun ini.
Pelajar yang berada di Tingkatan Enam ini pula bukan semuanya benar-benar ingin memanfaatkan pengajian peringkat prauniversiti itu sebagai batu loncatan melayakkan diri ke program ijazah universiti sebahagiannya sekadar menjadikannya pilihan terakhir kerana gagal mendapat tawaran lain.
Keadaan ini jauh berbeza pada sekitar 1970-an dan 80-an, apabila tawaran ke Tingkatan Enam menjadi rebutan dan dianggap ekslusif kerana ia satu-satunya saluran alternatif bagi pelajar melayakkan diri mengikuti pengajian peringkat ijazah serta tempat terhad kerana tidak banyak sekolah menawarkannya.
Apatah lagi status kelayakan itu yang dulu dikenali Higher School Certificate atau Sijil Tinggi Pelajaran adalah setaraf A-Level dan ia dilaksana dengan kerjasama badan peperiksaan ternama di United Kingdom iaitu Cambridge Assessment.
Senario sambutan terhadap Tingkatan Enam ini boleh diibaratkan seperti teori ekonomi mengenai permintaan dan penawaran iaitu apabila permintaan sesuatu produk melebihi bekalan ia dianggap bagus dan sebaliknya.
Dengan jumlah pelajar semakin merosot dan lambakan kekosongan tempat di 767 sekolah menengah kebangsaan dan swasta yang menawarkannya, Tingkatan Enam kini dianggap tidak popular dan tidak relevan sebagai saluran kedua ke pengajian tinggi.
Kebanjiran institusi pengajian tinggi swasta dan saluran alternatif lain seperti matrikulasi, pusat asasi, politeknik dan diploma dikaitkan sebagai punca utama tawaran ke tingkatan enam semakin dipandang sepi.
Kelebihan sebagai saluran alternatif terpantas dengan tempoh pengajian satu setengah tahun dan termurah kerana mengikut kadar yuran sekolah tidak lagi menjadi tarikan utama bagi Tingkatan Enam kerana kini bantuan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, biasiswa Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam mudah didapati.
Namun alasan ‘mangsa keadaan’ terhadap perkembangan semasa ini bukan satu-satunya faktor penolak bagi lepasan SPM memilih Tingkatan Enam, sebaliknya sistem pembelajaran seperti persekolahan menengah juga membuatkan ia tidak cukup menarik untuk diikuti.
Selain masih wajib mengenakan pakaian seragam sekolah, aktiviti kokurikulum mereka juga sama dengan pelajar menengah rendah seperti menidakkan kematangan pelajar sudah 11 tahun melalui zaman persekolahan.
Perbezaan paling ketara apabila Tingkatan Enam satu-satunya pengajian peringkat prauniversiti yang tidak menggunapakai sistem semester sebaliknya sistem terminal yang dianggap membebankan kerana pelajar perlu mengingati fakta yang dipelajari selama satu setengah tahun dari tingkatan enam bawah hingga enam atas.
Akur dengan kelemahan sistem sedia ada, kerajaan mula mengambil langkah penjenamaan semula Tingkatan Enam dengan sasaran mewujudkan persekitaran berbeza dan lebih kondusif.
Langkah menetapkan guru dengan gred minimum DG44 mengajar pelajar Tingkatan Enam seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini dilihat langkah awal bagi membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya dan mengurangkan beban tugas kerana sebelumnya ada guru yang mengajar Tingkatan Enam perlu mengajar pelajar menengah rendah.
Ketua Eksekutif MPM, Omar Abu Bakar, berkata penyelarasan itu memberi peluang guru meningkatkan kemahiran serta mutu pengajaran pelbagai kaedah termasuk menyediakan perbincangan serta perbahasan dalam sesuatu topik yang dikemukakan menerusi aktiviti seperti kolokium.
“Dengan perubahan sistem dan menjalani latihan dalam perkhidmatan, guru dapat memainkan peranan sebagai fasilitator dan tutor, bukan sekadar guru saja supaya pelajar lebih berdikari termasuk mendapatkan bahan rujukan dan bacaan tambahan,” katanya.
Perubahan daripada sistem terminal kepada modular/semester yang dijangka bermula pada 2011 juga diyakini mampu mengurangkan beban pelajar, malah guru juga boleh memberi lebih fokus dalam perancangan pengajaran mereka.
Kaedah taksiran modular yang akan dilaksanakan itu, kata Omar mengambil kira empat komponen iaitu penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa, projek sekolah, kerja amali dan ujian berasaskan sistem peperiksaan `open book'.
"Menerusi sistem modular, pelajar perlu mengikuti pengajian selama tiga semester sebelum menduduki peperiksaan STPM dan aktiviti baru seperti penyelidikan, kolokium, tutorial diperkenal bagi membiasakan pelajar dengan amalan di universiti itu.
"Sistem baru ini juga menilai pencapaian pelajar berdasarkan prestasi mereka mengikut semester sekali gus mengurangkan beban ulang kaji pelajar serta membolehkan mereka lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum bersesuaian dengan kematangan umur,” katanya.
Aspek fizikal katanya, turut dalam pertimbangan kerajaan, khususnya perbezaan dari segi pakaian seragam sekolah dan blok khas bagi menempatkan pelajar Tingkatan Enam sesuai status mereka sebagai pelajar dewasa dan paling senior di sekolah.
- BERITA HARIAN