Pinda ISA supaya tidak lapuk - Dr. M

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dipinda supaya undang-undang itu kekal relevan dan tidak lapuk.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan seharusnya meminda beberapa peruntukan dalam ISA supaya bersesuaian dengan keadaan semasa.

''Bukan soal saya setuju atau tidak (untuk pinda ISA). Saya kata semua undang-undang tidak boleh jadi lapuk. Kalau lapuk dan tidak sesuai dengan masa, kita kena kaji.

''Jika kita kekal dengan undang-undang abad ke-18 dulu, ia tidak sesuai dengan keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sejenak Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran Majlis Bekas Wakil-wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula ISA selepas mendapatkan maklum balas daripada semua pihak.

Dr. Mahathir berkata, kajian semula terhadap undang-undang bukan hanya tertumpu kepada ISA sebaliknya kepada semua akta supaya ia tidak ketinggalan zaman.

Beliau memberitahu, usaha untuk meminda ISA pernah dilakukan ketika beliau menjadi Perdana Menteri tetapi ia tidak dapat diteruskan kerana faktor tertentu.

''Kita (kerajaan sebelum ini) telah buat kajian semula (mengenai ISA), dah lama dah, tetapi oleh kerana keadaan tertentu, kita tidak buat pindaan," katanya.

Mengulas demonstrasi di Kuala Lumpur semalam, Dr. Mahathir menegaskan, budaya sedemikian diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengamalkan politik jalanan.

Tegasnya, rakyat perlu sedar bahawa pendekatan tersebut bukan cara terbaik untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi mengubah akta itu.

''Untuk menekan kerajaan dengan membuat demonstrasi, itu bukan budaya kita, ini budaya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan budaya politik jalanan.

''Saya tidak setuju dengan cara itu, ada cara lain boleh menjayakan sesuatu perjuangan," jelasnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url