Sinar FM takut dengan pujian

Sejak mula beroperasi pada tarikh 1 Mac 2004, Sinar FM sememangnya sudah mula mencuri perhatian ramai berikutan rangkaian lagu-lagu yang diputarkan begitu mengasyikkan dan menggamit memori pendengarnya.

Selama lima tahun memikat pendengar, Sinar FM juga tidak pernah terlepas daripada pujian dan kritikan malah pelbagai label juga diberikan kepada stesen radio berkenaan.

Namun, Sinar FM yang bernaung di bawah AMP Radio Networks milik Astro itu menjadikan semua itu sebagai satu cabaran untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai stesen radio yang diminati ramai.

Nah! Buktinya Sinar FM sudah berjaya meletakkan dirinya sebagai stesen radio nombor dua negara hanya di belakang Era FM dengan mencatatkan 3.82 juta pendengar hanya dalam tempoh setahun berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh AC Nielsen.

Bukan itu sahaja, siapa sangka Sinar FM yang selama ini dilabelkan sebagai stesen radio orang tua itu juga berjaya memintas kedudukan stesen radio milik Media Prima, Hot FM yang kini berada di kedudukan nombor tiga.

Sememangnya kejayaan itu cukup membanggakan dan mengejutkan apabila stesen radio yang terkenal dengan tagline Muzik Retro Terbaik itu sudah mula menjadi pilihan pendengar Malaysia.

Bertemu dengan Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said baru-baru ini, kejayaan itu membuktikan bahawa peminat dan pendengar di negara ini hakikatnya masih lagi mendambakan lagu-lagu lama dan malar segar.

Malah, apa yang membuatkan pihaknya gembira dan teruja apabila Sinar FM juga kini semakin diminati oleh golongan muda sekali gus membuktikan impak lagu-lagu retro bukannya sedikit.

Namun begitu, tegas Rostam, kejayaan itu tidak datang dari satu-satu pihak sahaja sebaliknya ia adalah kerjasama daripada semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang dikecapi Sinar FM hari ini.

Malah, Rostam atau lebih mesra disapa sebagai Pak Tam itu menjelaskan, Sinar FM enggan terus lalai dan leka dengan pujian sebaliknya, dia dan semua yang terlibat mahu terus memperkasakan kedudukan stesen retro itu.

"Kami akan terus memikirkan idea-idea yang baru dan menarik terutama dari segi seleksi lagu-lagunya dalam usaha kami untuk terus menarik perhatian pendengar.

"Apa yang buat kami puas hati adalah label stesen radio orang tua itu sedikit demi sedikit mula terhakis dan ia membuktikan pengaruh Sinar FM semakin luas serta diterima dengan baik," katanya penuh semangat.

Beliau ditemui pada sidang media Konsert R&R Rock & Retro Sinar FM yang berlangsung di Sooka Sentral, KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyambung bicara, Rostam memberitahu, Sinar FM bukanlah sebuah stesen radio untuk orang tua tetapi lebih untuk mereka yang matang dalam menikmati muzik dan lagu yang disiarkan.

Malah, maklum balas yang diterima daripada pendengar juga meningkat setiap hari dan Rostam menjelaskan, ia banyak membantu pihaknya untuk terus memperbaiki sekali gus meningkatkan mutu program Sinar FM.

Antara usaha yang dilakukan oleh pihak Sinar FM adalah dengan menyiarkan seleksi lagu-lagu yang jarang dimainkan sebelum ini dalam usaha mereka untuk memberi ilmu pengetahuan kepada pendengar mereka terutama golongan muda.

"Mungkin mereka hanya tahu lagu itu sahaja dan tidak penyanyinya. Selain itu juga, kami tidak mahu pendengar akan cepat berasa bosan dengan lagu-lagu yang dimainkan. Seperti mana yang kita tahu, pendengar hari ini sudah bijak dan cita rasa mereka juga berubah-rubah," ujarnya lagi.

Ditanya tentang prestasi penyampai-penyampai radionya, Rostam berkata, dia berpuas hati mutu serta hasil kerja barisan penyampai yang ada buat masa ini.

Sinar FM memiliki penyampai radio yang mempunyai pengaruh serta nama besar seperti Linda Onn, Abby Fana, Nila Kurnia, Najman Mohamad, Jamal Jamaluddin, Zaidi Zainal serta trio Sinar Pagi iaitu Salih Yaacob, Khairil Rashid dan Raja Azura.

Untuk itu, Konsert R&R Rock & Retro Sinar FM dianjurkan bagi menghargai peminat dan pendengar setia Sinar FM yang tidak pernah putus menyokong mereka.

Siri pertama konsert itu sudah pun berlangsung pada 1 Ogos lalu di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang dan mencatatkan jumlah kehadiran yang begitu menggalakkan.

Antara artis yang terlibat pada konsert pertama itu ialah Othman Hamzah, Ruhil Amani, Hattan, Rusty Blade, Ramlah Ram, Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim dan Wings.

Sementara itu, siri kedua Konsert R&R Rock & Retro Sinar FM pula akan diadakan pada 15 Ogos ini di Dataran MBPJ, Petaling Jaya, Selangor bermula pukul 8.30 malam.

Membariskan artis-artis yang sama terlibat dalam siri pertama kecuali Ramli Sarip yang tidak dapat melibatkan diri berikutan terikat dengan komitmen lain.

Bagi mengisi kekosongan itu, vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt dan kumpulan May akan membuat persembahan pada malam itu.

Konsert R&R Rock & Retro Sinar FM yang diadakan secara percuma itu dianjurkan bagi memberi ruang kepada artis senior untuk menghiburkan peminat mereka.

"Artis-artis ini juga mempunyai kelompok peminat yang tersendiri dan seperti mana yang kita tahu, status mereka kini begitu susah untuk mereka mendapat peluang membuat persembahan.

"Jadi, Sinar FM memberi platform kepada mereka kerana yakin dengan bakat dan kemampuan mereka di atas pentas yang masih lagi ampuh meskipun usia mereka sudah meningkat," jelas Rostam panjang lebar.

Orang ramai yang mahu memenangi dua keping pas VIP menonton Konsert R&R Rock & Retro Sinar FM ini bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi konti Sinar FM sebaik sahaja isyarat pemanggil di buka.

Dengan menjadi pemanggil pertama, apa yang harus anda lakukan adalah dengan menyanyikan satu lagu popular oleh artis yang membuat persembahan pada konsert itu nanti.

Hanya 100 keping pas VIP sahaja yang diberikan kepada pendengar bermula dari 3 hingga 14 Ogos ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url