Top Ad 728x90

TV3 sajikan konsert Sudirman sempena kemerdekaan negara

Hari Kemerdekaan, lagu-lagu patriotik 'Kenali Malaysia Cintai Malaysia', 'Tegakkan Bendera Kita' dan '31 Ogos' yang sering berkumandang di corong-corong radio dan televisyen bukan sahaja merupakan halwa telinga bahkan menyemarakkan patriotisme rakyat.

Penyanyinya tidak lain, tidak bukan adalah Allahyarham Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1954 - 22 Februari 1992), nama yang cukup gah di persada seni tanah air.

Malah, Allahyarham mendapat jolokan penghibur nombor satu Negara dan Elvis Malaysia. Bakat semulajadi sebagai penghibur versatile sudah sebati dalam dirinya malah dia juga terkenal sebagai penyanyi yang menerapkan nilai-nilai positif dan semangat patiriotik melalui dendangan lagu-lagunya.

Justeru untuk membangkitkan kenangan bersama bintang lagenda ini dan menerapkan semangat perpaduan ‘1Malaysia’, TV3 akan menyiarkan ‘Sudirman, One Thousand Million Smiles’ pada tanggal 31 Ogos 2009, jam 10.00 pagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, konsert terakhir Allahyarham Sudirman yang diadakan di Melaka, 9 Mac 1991 belum pernah ditunjukkan kepada umum mahupun disiarkan di mana-mana sebelum ini.

"Konsert yang diadakan sempena dengan Kemerdekaan ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan dan bakat beliau yang luar biasa malah beliau turut mempelawa penonton pelbagai kaum untuk bersama-sama naik ke pentas menjayakan konsert tersebut.

"Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh Allahyarham Sudirman amat sesuai sekali dipertontonkan kepada khalayak Malaysia sejajar dengan konsep ‘1Malaysia’ yang kini diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tayangan khas sempena Merdeka, "Sudirman, One Thousand Million Smiles" di Sri Pentas TV3, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Bersamamu TV3, kakak kepada Allahyarham, Datin Rodziah Arshad, Pengerusi Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Pengurus Besar EMI Records Malaysia, Hermond Cheng.

Farid memberitahu, setelah rundingan dilaksanakan, keluarga Allahyarham tidak keberatan membenarkan pihak kami menyiarkan konsert ini. "Selain daripada mengingati jasa dan bakat Allahyarham, ini juga merupakan inisiatif kami untuk meningkatkan hasil derma tujuan kemasyarakatan untuk disalurkan kepada golongan sasar.

"Pihak EMI, pemegang hakcipta lagu-lagu Sudirman bersedia mendermakan RM1 pendapatan dari jualan DVD dan VCD untuk dimasukkan ke dalam Tabung Bersamamu (TV3),” katanya.

Walaupun Allahyarham telah lama meninggalkan kita, Farid berkata, "Allahyarham tetap seorang bintang lagenda yang masih terpahat di fikiran kita semua. Arwah ialah ikon konsep One Malaysia selari dengan konsep dengan dibawa dalam konsert terakhirnya."

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90