Mengapa bukan Mohd. Isa?
Menjelang Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini, UMNO nampaknya kini berada di persimpangan dalam soal pemilihan calonnya untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN).
Calon BN difahamkan akan diumumkan sendiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Port Dickson pada 29 September ini. Namun, soal kriteria calon masih menjadi isu utama yang diperdebatkan khususnya di kalangan pimpinan UMNO, pemerhati politik dan juga ahli-ahli parti.
Ia menjadi polemik apabila sebelum ini Jawatankuasa UMNO Bahagian serta Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian telah sebulat suara menamakan ketua bahagian, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calon tunggal untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan.
Sebanyak 12 Cawangan UMNO, 13 Cawangan MIC dan empat cawangan MCA juga membuat keputusan yang sama mahukan Mohd Isa. Tetapi keputusan yang memihak secara mutlak kepada Mohd. Isa itu tidak disenangi segelintir pihak.
Ramai pemimpin UMNO yang secara terang-terangan mahu pun tidak langsung membuat kenyataan terbuka meminta supaya UMNO meletakkan calon lain selain Mohd. Isa. Ini termasuk kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang percaya bahawa pemilihan Mohd. Isa sebagai calon hanya akan membuatkan parti semakin dijauhi oleh ahli-ahli dan rakyat kerana memilih orang yang pernah terlibat dengan kes politik wang.
Bukan sekali malah beberapa kali Dr. Mahathir menegaskan peringatan demikian. Sebagai negarawan, sudah pasti kenyataan beliau segera mendapat respons pihak yang menyokong amaran Dr. Mahathir itu termasuk beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) terutama ketika UMNO begitu serius membersihkan parti daripada barah politik wang.
Bagaimanapun pada masa sama terdapat juga sebahagian pemimpin UMNO dan pemerhati politik memihak kepada Mohd. Isa yang memiliki kekuatan di peringkat akar umbi, supaya kemenangan lebih terjamin selepas BN mengalami enam kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.
Memang benar UMNO kini sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membanteras politik wang malah ia begitu ketara sejak beberapa tahun lalu termasuk pada tahun 2005 parti itu telah memperlihatkan ketegasan dengan menggantung keahlian Mohd. Isa dan menggugurkan jawatan Naib Presiden yang disandangnya.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun itu juga terpaksa melepaskan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan ekoran kes tersebut. Bagaimanapun beliau menerima dengan akur, taat dan insaf keputusan parti itu dan mengharungi hukuman yang dikenakan dengan tabah, bukannya melatah.
Untuk memberi keadilan kepada Mohd. Isa dan juga mengambil kira pandangan pihak-pihak yang tidak senang jika beliau dicalonkan di Bagan Pinang, maka adalah wajar kita merungkai persoalan “Mengapa tidak Mohd Isa yang menjadi calon?”