Bujang terlajak, andartu kian bertambah
Membujang sehingga lewat usia. Jika lelaki, ramai yang menggelar 'bujang terlajak' manakala gelaran yang popular untuk wanita pula ialah 'anak dara tua' (andartu). Meskipun ia hanya gelaran digunakan kebanyakan orang tetapi jelas cukup popular tambahan pula apabila jumlah kelompok itu semakin hari semakin bertambah.
Mungkin ramai yang tidak ambil peduli jika ada lelaki membujang sampai ke tua tetapi kebiasaannya lain pula halnya jika ada wanita masih belum berkahwin walaupun usia belum pun sampai masuk angka 40-an.
Namun, merujuk Laporan Perangkaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2008 serta Kajian Penduduk dan Kekeluargaan 2004 yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini, peratusan lelaki bujang dalam lingkungan usia 25 hingga 49 tahun lebih tinggi iaitu 59.6 peratus berbanding wanita (40.4 peratus).
Peratusan penduduk bujang berusia 40 hingga 49 tahun pula menunjukkan jumlah di kalangan wanita lebih tinggi berbanding lelaki. Ia sekali gus memberi gambaran wanita yang semakin berusia sukar mendapat pasangan berbanding lelaki. Ada juga kemungkinan wanita yang berusia lebih 40 tahun tidak akan berkahwin langsung.
Pendidikan menjadi salah satu faktor yang sering dikaitkan dengan isu perkahwinan lewat khususnya bagi mereka berpendidikan tinggi. Statistik menunjukkan wanita bujang berpendidikan tinggi lebih ramai iaitu 34.7 peratus berbanding lelaki (25.7 peratus).
Merujuk kepada jenis pekerjaan pula, didapati peratusan wanita bujang melebihi lelaki bujang dalam kumpulan pekerjaan yang memerlukan tahap kemahiran tinggi seperti penggubal undang-undang, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu.
Sebaliknya peratusan lelaki bujang lebih tinggi dalam kumpulan pekerjaan yang tidak memerlukan kelulusan tinggi seperti pekerja pertanian dan perikanan; pekerja pertukangan; operator loji dan mesin; pekerjaan asas serta tentera.
Berdasarkan pendapatan bulanan pula menunjukkan purata pendapatan wanita bujang adalah sebanyak RM1,547 berbanding hanya RM1,240 bagi lelaki bujang. Pendapatan wanita bujang yang melebihi RM3,000 juga lebih tinggi berbanding lelaki bujang.
Apabila ditanya kepada golongan bujang, 48.3 peratus daripada mereka berpendapat lelaki terus membujang kerana masalah kewangan, 19.1 peratus berpendapat kerana terlalu pentingkan kerjaya dan belum bersedia untuk memikul tanggungjawab (lapan peratus).
Di pihak wanita bujang pula, 24.7 peratus berpendapat wanita terus membujang lantaran terlalu memilih, terlalu mementingkan kerjaya (23.8 peratus) serta sukar mencari pasangan sesuai (19.5 peratus).
Ada pelbagai persepsi mengenai berapakah umur dianggap sebagai lewat berkahwin bagi lelaki dan wanita. Secara keseluruhan, 36.5 peratus daripada penduduk bujang berpendapat umur kahwin lewat bagi lelaki ialah 40 tahun ke atas. Bagaimanapun, secara purata, umur kahwin lewat bagi lelaki ialah 36.2 tahun manakala wanita pula dianggap lewat berkahwin selepas berusia 31.3 tahun.
Pada masa dulu, ramai orang berkahwin pada usia muda iaitu sebelum menjangkau 20 tahun, malah berdasarkan perangkaan hampir 12 peratus wanita berusia antara 15 hingga 19 tahun sudah berkahwin ketika bancian dibuat pada 1980. Namun, peratusan itu merosot ketika bancian pada 2000 di mana hanya empat peratus wanita dalam kumpulan usia itu sudah berkahwin.
Berdasarkan kaji selidik yang dibuat di kalangan penduduk bujang, purata umur yang sesuai bagi lelaki untuk berkahwin ialah ketika berusia 28.4 tahun manakala bagi wanita pula di bawah 25 tahun.
Secara keseluruhan kajian mendapati tiga sebab utama penduduk bujang enggan berumahtangga adalah kerana tiada calon yang sesuai (22.9 peratus), diikuti dengan mempunyai masalah kewangan (18.3 peratus) dan berasa lebih selesa hidup bersendiri (17.4 peratus).
Rumusan daripada sebab utama itu juga mendapati mereka yang berusia 40 tahun ke atas lebih suka bersendiri kerana pada ketika itu, isu perkahwinan bukan lagi perkara penting bagi mereka seterusnya mendorong kepada keputusan untuk terus membujang.
Seperti yang sudah diketahui umum bilangan pelajar wanita lebih ramai berbanding lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT), malah sehingga kini, jumlah pelajar wanita di IPT hampir dua kali ganda pelajar lelaki.
Justeru, timbul persoalan sama ada wanita bujang berpendidikan tinggi sanggup mengahwini lelaki yang lebih rendah tahap pendidikannya. Seramai 68.1 peratus lelaki bujang bersedia untuk mengahwini wanita yang lebih tinggi tahap pendidikannya manakala 71.7 peratus wanita bujang pula bersetuju untuk mengahwini lelaki yang lebih rendah tahap pendidikannya.
Bagaimanapun apabila merujuk kepada isu pendapatan, hanya 57 peratus wanita bujang sanggup mengahwini lelaki yang lebih rendah pendapatannya berbanding 70 peratus lelaki bujang yang bersedia untuk mengahwini wanita yang lebih tinggi pendapatannya.
Melihat kepada semua hasil kajian yang dibuat itu memberi gambaran yang lebih kritikal pada masa akan datang sekiranya isu perkahwinan lewat tidak ditangani dengan berhemah. Ini kerana, berdasarkan fakta terkini, jumlah profesional di kalangan wanita yang semakin bertambah akan berkemungkinan meramaikan lagi jumlah mereka yang terus membujang di kalangan mereka.
Meskipun ketika ini, jumlah pelajar jurusan kedoktoran di kalangan lelaki lebih ramai tetapi angka yang ditunjukkan bagi kursus sarjana dan sarjana muda menunjukkan jurang yang sangat ketara apabila lebih 50 peratus daripadanya dipenuhi pelajar wanita.
Senario tidak berkahwin di kalangan wanita juga dilihat bakal lebih ketara pada masa akan datang apabila kajian menunjukkan jangka hayat lelaki lebih pendek berbanding wanita sedangkan pertambahan di kalangan wanita terus meningkat setiap tahun.
- BERITA HARIAN