Top Ad 728x90

,

Pertahan sistem kewangan Islam, elak krisis terbaru

Krisis kewangan yang melanda dunia ketika ini melibatkan kerugian terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah.

Pasaran modal dianggarkan kerugian sebanyak AS$30 hingga AS$35 trilion (RM105 hingga RM122.5 trilion), sektor hartanah sekitar AS$60 trilion (RM210 trilion) dan sektor kewangan AS$3 trilion (RM10.5 trilion).

Sebagai perbandingan kepada kerugian ini, kos untuk menampung bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, taufan dan sebagainya dari 1970 hingga 2007 hanya memerlukan AS$745 billion (RM2.6 trilion).

Pemenang Anugerah Nobel Ekonomi, Michael Spence dan pemegang Anugerah Ekonomi Islam Bank Pembangunan Islam, Muhammad Umer Chapra menyatakan, faktor utama krisis kewangan dunia disebabkan oleh instrumen terbitan (derivative) dan sekuriti.

Sementara pemenang Anugerah Antarabangsa Raja Faisal dalam Pengajian Islam, Muhammad Nejatullah Siddiqi berpendapat, eksploitasi pasaran dan instrumen kewangan melibatkan hutang berlebihan menyumbang kepada krisis kewangan.

Fenomena ini telah pun diramalkan oleh Warren Buffet, “guru” pelaburan dunia. Beliau menyatakan derivative merupakan senjata pemusnah besar-besaran kewangan. Pakar-pakar ekonomi dunia secara umumnya sepakat bahawa faktor utama krisis kewangan dunia diakibatkan oleh instrumen hutang berlebihan selain spekulasi kewangan melalui instrumen derivative dan sekuriti.

Secara idealnya, kewangan Islam dilihat mampu memberi harapan bagi mengelak krisis ekonomi. Berdasarkan prinsip-prinsip syariah yang menuntut keadilan seperti larangan riba, gharar, judi dan spekulasi berlebihan, telah menjanjikan penyelesaian kepada krisis kewangan.

Persoalannya, adakah kewangan Islam benar-benar bebas daripada segala bentuk krisis kewangan? Realitinya, terdapat kegagalan institusi Islam seperti Ihlas Finance di Turki dan skandal kewangan Bank Islam Dubai.

Terdapat banyak kritikan terhadap pelaksanaan kewangan Islam yang dikatakan meniru dan mengikut rentak institusi kewangan konvensional. Muhammad Nejatullah, Munzir Kahf, Muhammad Umer, Mahmud El Gamal dan ramai lagi cendekiawan mengkritik hebat kewangan Islam yang dilihat gagal melunaskan tanggungjawab sosial dan memenuhi tuntutan maqasid syariah atau objektif syariah.

Penulis membahagikan kritikan terhadap sektor kewangan Islam kepada tiga bahagian iaitu dari aspek struktur, sistemik dan operasi. Dari aspek struktur produk, instrumen kewangan Islam yang diamalkan di seluruh dunia didominasi oleh produk berasaskan hutang.

Ini termasuk tawarruq, bay al inah, murabahah dan istisna’ yang mewakili lebih 80 peratus produk yang dilanggani oleh pengguna di Malaysia.

Walaupun diakui tiada nas atau dalil yang menyatakan produk ini tidak boleh ditawarkan, namun implikasi ekonomi yang bakal disumbangkan melalui instrumen ini hampir sama dengan apa yang berlaku pada krisis kewangan.

Keghairahan sesetengah institusi kewangan Islam menawarkan produk derivative dan sekuriti juga menimbulkan tanda tanya sejauh manakah sektor ini akan bertahan dan mengelakkan krisis kewangan.

Daripada aspek sistemik, institusi kewangan Islam dilihat tidak mempunyai ruang lingkup tadbir urus korporat yang baik diikuti oleh kelemahan ruang lingkup perundangan.Hal yang sama berlaku daripada aspek operasi apabila institusi kewangan Islam tidak mempunyai ruang lingkup komprehensif untuk mengenal pasti, meminimum dan memantau risiko.

Walaupun kewangan Islam dilihat sebagai sistem yang mampu mengelak krisis ekonomi, namun realitinya, ia tidak akan dapat berfungsi dengan baik sekiranya pelaksanaan tidak menepati nilai-nilai Islam.

Institusi kewangan Islam perlu berhati-hati dalam menawarkan produk-produk kewangan Islam supaya ia bukan sahaja sah daripada segi hukum bahkan menepati kehendak maqasid syariah.

Ruang lingkup tadbir urus korporat, perundangan dan operasi perlu diberikan perhatian serius bagi mengelak fenomena yang sama berlaku kepada institusi kewangan konvensional. Sektor kewangan Islam yang dijangka mencecah AS$4 trilion (RM14 trilion) dalam masa lima tahun oleh Perkhidmatan Pelaburan Moody perlu dipertahankan agar tidak kecundang seperti sistem kewangan konvensional sedia ada.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90