Pilih kasih dalam Sehati Berdansa?
Oleh ABD. AZIZ ITAR
Setiap minggu pasangan peserta yang bersaing pada pertandingan program realiti televisyen, Sehati Berdansa 3 akan mempersembahkan pelbagai jenis tarian yang berbeza-beza.
Ada tarian yang boleh dikatakan mudah untuk dipelajari, tetapi tidak kurang juga yang sukar hingga memaksa setiap pasangan peserta berhempas pulas berlatih bersama guru tari masing-masing.
Malah, kesukaran menghayati sesetengah tarian juga dikatakan boleh menjadi punca sesebuah tarian itu kelihatan sumbang dan mengurangkan undian juri mahupun khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton ke atas peserta terbabit.
Minggu kelima Sehati Berdansa 3 misalnya, menyaksikan enam peserta yang bersaing menarikan tarian Latin yang antara lain menampilkan elemen mencabar seperti aksi-aksi akrobatik.
Meskipun tarian Latin dianggap sedikit sukar dipelajari, namun Oshin dan pasangannya, Firdaus, 27, tidak menganggap ia sebagai punca mereka tersingkir daripada pertandingan tersebut.
Sebaliknya, pasangan yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga itu menganggap ia sebagai ketentuan takdir selepas mencuba menari dengan sedaya upaya mereka.
"Kami sudah pun mencuba dengan sedaya upaya kami. Bukan setakat tarian Latin, malah sejak dari minggu pertama lagi kami sudah mula menghadapi masalah untuk menari. Ini kerana, saya dan suami saya bukannya penari.
"Saya seorang penyanyi, manakala suami saya pula bekerja di pejabat. Namun, tidak dinafikan minggu ini cabarannya paling teruk. Kami cuma ada masa belajar dan berlatih tarian Latin dalam masa tiga hari," katanya kepada Hits ketika ditemui selepas berakhirnya minggu ketiga program itu di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada pertandingan minggu kelima itu, Oshin dan pasangannya menerima undian SMS paling rendah iaitu 49 peratus tertinggal di belakang lima lagi pasangan peserta pertandingan itu.
Pasangan Isma dan Zul menerima undian SMS sebanyak 54.9 peratus, Sein dan Nana (54.5 peratus), Sazzy dan Nazril (53 peratus), Didie dan Nor Isham (51 peratus) serta Dira dan Ash (51 peratus).
Selain kesukaran untuk menghayati serta menari tarian Latin, penyanyi kumpulan trio, Lips itu juga menafikan bahawa kesilapan dalam gerak tarinya lebih banyak dilakukan oleh Firdaus.
Malah, Oshin atau nama sebenarnya Nurul Huda Md. Nasir menyifatkan penyingkirannya dan Firdaus merupakan suatu takdir yang harus mereka terima dengan hati yang terbuka.
"Dalam hal ini, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana ini adalah sebuah program realiti TV. Saya dan Firdaus sudah melakukan sedaya upaya kami. Ini adalah takdir kami.
"Sepanjang berada dalam program ini, kami juga tidak menetapkan bilakah kami sepatutnya akan disingkirkan. Jadi, apabila kami terkeluar pada minggu ini kami sudah bersedia dan menerimanya dengan seadanya," ujarnya.
Meskipun pasangan itu menyatakan bahawa mereka menerima penyingkiran tersebut dengan hati terbuka tetapi Oshin dilihat menitiskan air mata saat namanya diumumkan oleh pengacara Awal Ashaari tersingkir daripada program itu.
Sebaliknya, Oshin menjelaskan, dia tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh menitis apabila terkenangkan saat-saat manis bersama para peserta lain sepanjang berada dalam program terbitan Astro Ria itu.
"Banyak pengalaman manis yang kami lalui sepanjang berada dalam program ini dan hubungan kami ibarat satu keluarga. Contohnya, saya amat rapat dengan Didie.
"Boleh dikatakan pada setiap minggu kami akan meraikan pasangan peserta yang tersingkir daripada program ini. Sebelum ini misalnya, kami meraikan Enot dan pasangannya. Kami sentiasa bertukar-tukar tempat atau rumah untuk meraikan bersama-sama peserta tersingkir.
"Kami juga menonton beramai-ramai setiap episod yang memaparkan aksi kami menari di kaca televisyen. Selain itu, saya juga berasa gembira apabila usaha kami ini dapat menyumbang RM5,000 kepada badan amal yang kami wakili," ujarnya.
Dengan penyingkiran Oshin dan pasangannya itu, mereka menerima wang tunai RM5,000 yang kemudiannya disumbangkan kepada wakil Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia iaitu Lesley Hoh Chee Wai.
Pasangan Oshin yang dilatih oleh guru tari mereka iaitu Muslimah Saptuang atau Lilly, 25, pada masa sama menafikan dakwaan berlakunya unsur favouritisme atau pilih kasih terutamanya juri tetap Sehati Berdansa 3 iaitu Joseph Gonzales dalam memberi komen kepada para pesertanya.
"Joseph mungkin lebih tahu sebab dia terbabit dalam program ini sejak dari awal lagi. Saya tidak rasa ada unsur favouritisme dalam program ini. Sebaliknya, pada setiap minggu dia memberi semangat kepada kami melalui komen-komennya itu," katanya.
Bagaimanapun, sebagai sebuah program realiti televisyen segala-galanya boleh berlaku dan berubah-ubah apatah lagi undian turut banyak dipengaruhi oleh undian SMS para penonton.
Senario yang agak memualkan berlaku apabila ada kalangan juri termasuk Joseph sendiri yang begitu memberi komen keterlaluan mengikut pandangannya daripada segi teknik dan latar belakang sesebuah tarian yang dipersembahkan oleh para pesertanya.
Namun, guru tari itu mungkin sedikit terlupa akan soal penghayatan yang jelas ketara kurang menyakinkan menerusi persembahan segelintir pasangan terbabit, contohnya pasangan Isma dan Zul yang kelihatan terlalu yakin.
Sayangnya, Joseph begitu beria-ia sambil menafikan senario yang sering dilalui oleh pasangan Isma dan Zul itu, apatah lagi apabila ia diperkuatkan dengan undian SMS tertinggi yang diterima oleh pasangan itu setakat ini.
Malah, boleh dipertikaikan juga apabila pada minggu-minggu sebelum ini ada di kalangan juri jemputan yang memberi markah 100 peratus kepada pasangan yang mereka sukai.
Dalam erti kata lain, jumlah itu menunjukkan pasangan peserta tersebut cukup sempurna dalam setiap gerak tari yang telah mereka persembahkan!
Baik Joseph, para juri undangan dan juga pihak Astro, mereka haruslah realistik supaya janganlah terlampau memperlihatkan gimik keterlaluan demi membuat percaturan bagi meningkatkan lagi jumlah undian SMS pada pertandingan tersebut.
Ini kerana, sepanjang tiga musim Sehati Berdansa dianjurkan para penonton termasuklah media massa yang membuat liputan pertandingan itu seakan-akan dapat mengagak siapakah pasangan yang akan berentap di final kelak.
Ramai juga yang faham dan mengetahui sumbangan sekitar RM5,000 peserta tersingkir kepada badan-badan amal amat sedikit jumlahnya berbanding keuntungan berlipat kali ganda yang dikaut oleh Astro melalui undian SMS para penonton pada setiap minggu!
Berdasarkan populariti, konsistensi dan faktor-faktor lain, pasangan Sazzy dan Nazril serta pasangan Sein dan Nana diramalkan mampu menerjah persaingan mereka bagi merebut gelaran juara program itu.
Selaku peserta Sehati Berdansa 3, Oshin turut memilih pasangan Sazzy dan Nazril mampu meneruskan saingan mereka bagi mengungguli pertandingan akhir itu yang akan diadakan pada bulan depan.
"Pilihan saya untuk ke final ialah pasangan Sazzy dan Nazril. Bagi saya mereka merupakan pasangan yang serasi dan ikhlas dalam pergaulan sewaktu kami semua berada dalam pertandingan itu," komennya.
Selepas penyingkiran Oshin dan Firdaus, Sehati Berdansa 3 akan diteruskan oleh lima pasangan terbabit pada Sabtu ini pukul 9 malam dengan diacarakan oleh Fahrin Ahmad dan Scha Al-Yahya.
- UTUSAN