Tragedi Kampar dan 'misteri' angka 3

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

Dalam tempoh seminggu, Kampar yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar raya Ipoh, Perak, tiba-tiba menjadi tumpuan ramai.

Bandar kecil yang biasanya sepi ini bertukar menjadi lubuk berita bagi orang ramai terutama para wartawan dan jurugambar.

Entah mengapa, sejak Isnin lalu, satu demi satu tragedi menyedihkan berlaku. Dan secara kebetulan pula, angka "tiga" mendominasi keadaan.

Bermula dengan tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang yang meragut tiga nyawa, ia berlarutan kepada kemalangan maut dan kisah tiga pelajar universiti dihanyut arus Air Terjun Batu Berangkai.

Ironinya, ketiga-tiga murid yang ditemui mati lemas di Kuala Dipang adalah berketurunan India dan tiga pelajar universiti itu pula, Cina.

Sementara itu, kemalangan ngeri di Kilometer 40.2 Jalan Ipoh-Teluk Intan yang berlaku pada malam Sabtu lalu menyaksikan seorang daripada tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah isteri kepada seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor berketurunan Melayu.

Angka "tiga" seolah-olah mengandungi rahsia yang belum terungkai walaupun ada mengatakan ia bermaksud "perkelahian" atau "kecelakaan".

Sekarang ini di mana-mana sahaja di Perak, orang akan bercakap tentang tragedi yang berlaku. Hujan lebat dan ribut petir yang berterusan, membawa kebimbangan bahawa tragedi mungkin akan berulang.

Sementelah, banyak tempat di Perak dibangunkan di atas kawasan bekas lombong. Walaupun rumah-rumah dan bangunan didirikan mengikut piawaian yang ditetapkan, namun, bidalan selalu menyebut "malang tidak berbau".

Kampar telah diisytiharkan sebagai daerah ke-10 negeri Perak pada 21 Mei lalu oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Nama tempat yang terdapat di dalam Kampar juga unik. Chenderiang, Temoh, Banir, Ayer Kuning, Mambang Di Awan, Kampung Kinjang, Malim Nawar dan Kuala Dipang adalah antaranya.

Gunung Bujang Melaka yang mempunyai ketinggian 1,242 meter pula terletak kira-kira 8 kilometer di timur laut Kampar.

Dua sungai yang menjadi nadi kawasan ini ialah Sungai Kampar dan Sungai Kinjang. Sungai-sungai mengalir deras ini akan terus membawa bersama seribu rahsia sepanjang perjalanannya menuju ke hilir.

Namun apa yang menarik, Kampar juga adalah tempat kelahiran bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang.

Mengapa Kampar menjadi pusat berlaku tragedi menyayat hati? Misteri ini masih sukar untuk dijawab.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url