2 Ahli Parlimen BN Terengganu nafi letak jawatan
Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan Dungun menyangkal desas-desus bahawa kedua-dua wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) itu telah memutuskan untuk meletakkan jawatan masing-masing.
Mereka didakwa melepaskan jawatan masing-masing atas alasan masalah dalaman.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider di ibu negara hari ini, kedua-dua wakil rakyat itu, Mohd Nor Othman dari Hulu Terengganu dan Matulidi Jusoh dari Dungun dengan ketawa besar menganggap khabar angin terbaru ini sebagai “maklumat nakal” semata-mata.
Semasa dihubungi kedua-dua wakil rakyat itu menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Matulidi memberitahu beliau telah diminta agar melepaskan jawatan sebagai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, jawatan yang disandang sejak selepas persidangan perwakilan bahagian Dungun hujung tahun lalu.
Beliau juga penyelaras DUN Paka.
Matulidi telah diminta memegang jawatan itu ekoran masalah dalaman di bahagian tersebut yang tercetus tahun lalu.
“Baru-baru ini saya telah diminta agar melepaskan kerusi ini oleh Pengerusi Perhubungan Negeri Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Jawatan ini akan disandang oleh ketua Umno Bahagian selepas ini. Saya tidak kecewa, saya terima keputusan ini,” kata beliau.
Pada pilihan raya umum lalu Matulidi Jusoh memperoleh 29,264 undi untuk menewaskan Shamsul Iskandar Yusri Mohd Akin dari PKR dengan perbezaan 4,994 undi.
Dalam pada itu, Mohd Nor pula berkata khabar angin bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen juga tidak benar.
“Tidak benar, tidak benar... tak logik, tak logik... tiada alasan. Ia maklumat lama,” kata beliau sambil menambah tidak mendengar khabar angin sedemikian itu.
“Ini baru saya dengar berita ini,” kata Mohd Nor yang memperoleh 27,784 undi untuk menewaskan Kamaruzaman Abdullah dari PAS. Kamaruzaman memperoleh 17,324 undi.
- THE MALAYSIAN INSIDER
wah .. menarik entry ni.. thanks sharing