Ketika media pro-BN lumpuh

Oleh AMIN ISKANDAR

Pada 20 November lalu, genaplah 10 tahun usia Malaysiakini, antara laman web alternatif yang tertua di Malaysia. Gerakan Reformasi 1998 yang menyaksikan kebangkitan rakyat pelbagai bangsa dan agama pula antara faktor pendesak yang menyebabkan tertubuhnya portal berita popular ini.

Selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet Dr Mahathir Mohamad, internet telah menjadi medan untuk melawan propaganda pemerintah yang didukung oleh media arus perdana.

Pada ketika itu lahirlah laman-laman web seperti Anwar Online, Laman Reformasi, Mahazalim, Mahafiraun, Laman Marhaean dan, pada penghujung 1999, Malaysiakini.

Perbezaan ketara antara Malaysiakini dan laman-laman web tersebut, hanya portal berita itu yang benar-benar independen sedangkan laman web lain menyiarkan apa-apa sahaja meklumat untuk "menghentam" pemerintah.

Penguasaan regim Dr Mahathir terhadap media arus perdana telah menyebabkan rakyat dahagakan sumber maklumat alternatif, tambahan pula media arus perdana seringkali "menggelapkan" berita-berita mengenai penentangan terhadap regim Dr Mahathir.

Pada ketika itu, akhbar parti pembangkang seperti Harakah dan akhbar independen seperti Eksklusif memainkan peranan besar yang mendorong perubahan trend pengundian orang Melayu untuk menyokong Barisan Alternatif.

Perubahan ini menyebabkan regim Dr Mahathir memulakan tindakan "ganas" terhadap media yang menentangnya pada 2000 apabila Harakah dihadkan pengeluarannya kepada dua kali sebulan (daripada lapan kali). Mingguan Eksklusif pula ditamatkan permitnya bersama majalah Detik.

Selepas akhbar-akhbar lain digodam, hanya tinggal Malaysiakini untuk memberikan laporan berita yang bebas dan berimbang.

Tahun-tahun awal kewujudan Malaysiakini, saya masih lagi seorang mahasiswa yang turut terlibat dengan aktivisme pelajar melalui Universiti Bangsar Utama (UBU), wadah mahasiswa dan anak muda untuk melakukan kerja-kerja amal seperti "tuisyen percuma" dan juga medan mendiskusikan idea dan isu semasa.

UBU turut terlibat dengan gerakan mahasiswa pada ketika itu dan bersama-sama menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) pada 2001.

GMMI ditubuhkan oleh beberapa organisasi mahasiswa seperti Gamis, Dema, Karisma, JKMI dan beberapa kumpulan mahasiswa untuk membantah tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap aktivis Gerakan Reformasi dan pemimpin parti pembangkang.

Kemuncak aktiviti GMMI adalah menganjurkan demonstrasi pada 8 Jun 2001 di Masjid Negara yang berakhir dengan keganasan polis. Demonstrasi tersebut menyebabkan tujuh orang mahasiswa ditahan dan dibuang dari kampus selepas itu.

Malaysiakini antara media yang memberikan laporan meluas terhadap demonstrasi tersebut dan membuat susulan kes penangkapan mahasiswa sehinggalah perbicaraannya selesai pada pertengahan tahun ini.

Kebangkitan mahasiswa pada 2001 menyebabkan regim Dr Mahathir memulakan tindakan ganas mereka terhadap mahasiswa. ISA digunakan untuk menahan Mohd Fuad Ikhwan daripada Gamis dan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dari UBU.

Apabila Khairul Anuar ditahan, pejabat UBU digeledah dan banyak barang-barang seperti gambar, poster dan buku turut dirampas. Tanpa Malaysiakini, tidak mungkin maklumat mengenai penahanan aktivis UBU akan diketahui oleh masyarakat umum.

Dr Mahathir gali 'lubang kubur'

Faktor penting yang membolehkan BN memerintah Malaysia lebih daripada 50 tahun, antaranya, kerana selama ini mereka memonopoli maklumat dan berita.

Sebelum internet, rakyat Malaysia hanya menerima maklumat dari satu sumber sahaja, yakni media arus perdana.

Media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, The Star, RTM dan TV3 memainkan peranan sebagai jentera propaganda pemerintah. Penentang-penentang regim Dr Mahathir akan "dibelasah" melalui media ini.

Dr Mahathir ibarat menggali "lubang kubur" BN apabila menggesa rakyat cintakan teknologi maklumat (IT). Jika kita masih ingat, kempen Cinta IT ini begitu hebat sehinggalah penyanyi popular Siti Nurhaliza turut menyampaikan sebuah lagu Cinta IT yang seringkali dimainkan di TV dan radio.

Apabila internet menjadi popular di kalangan rakyat, perlahan-lahan hegemoni maklumat BN diruntuhkan. Rakyat sudah boleh mendapatkan maklumat pihak-pihak selain BN melalui laman-laman web alternatif seperti Malaysiakini.

Perkembangan media alternatif melahirkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang bergantung dan lebih percaya kepada laman-laman web alternatif berbanding media arus perdana. Ia dapat dibuktikan apabila berlakunya sesuatu peristiwa besar, laman-laman web alternatif terpaksa menampung pembaca yang begitu ramai.

Kelumpuhan BN dalam memonopoli maklumat menyebabkan berlakunya gejala yang digelar "tsunami politik" pada 8 Mac 2008. Keberkesanan internet terbukti apabila BN kalah di hampir kesemua kawasan bandar di Semenanjung Malaysia dan hanya bergantung kepada undi penduduk luar bandar.

Jika tiada bantuan kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak, sudah pasti BN akan turut terkubur dalam pilihan raya umum lalu.

Cabaran baru Malaysiakini

Perkembangan teknologi maklumat telah menyebabkan lahirnya banyak medium baru di internet untuk menyampaikan maklumat seperti blog, Facebook dan Twitter.

Medium baru ini lebih mudah dan mesra untuk digunakan. Jika dahulu, pemerintah Malaysia hanya berhadapan dengan laman web, kini mereka terpaksa juga berlawan dengan blog, Facebook dan Twitter.

Ramai juga pemimpin BN yang terpaksa membuka blog, Facebook dan Twitter masing-masing untuk turut serta dalam “perang gerilla siber” yang begitu hebat di Malaysia.

Perkembangan teknologi ini turut memberikan cabaran baru kepada Malaysiakini. Teknologi-teknologi ini perlu turut digunakan oleh akhbar web itu untuk terus memainkan peranan sebagai penyampai maklumat.

Selagi Malaysiakini memainkan peranan sebagai media independen dan terus-menerus memberikan laporan yang bebas dan seimbang, ia akan terus hidup dan disokong oleh rakyat.

Tambahan lagi ketika Malaysia dikatakan menuju ke arah sistem dua parti - apabila BN mempunyai pesaing dalam politik iaitu Pakatan Rakyat. Cabaran pada masa akan datang pasti semakin hebat.

Persaingan politik yang hebat di antara BN dan Pakatan menjadikan peranan Malaysiakini semakin besar – ia harus terus memainkan peranan sebagai media independen tanpa memihak kepada mana-mana parti politik untuk terus dipercayai oleh rakyat.

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-10 kepada semua warga Malaysikini. Semoga perjuangan kalian sebagai media bebas akan berterusan.

Perjuangan ini tidak akan sia-sia. Hasilnya boleh dilihat hari ini apabila warga Malaysia menjadi lebih cerdik dan bijak politik berbanding pada waktu maklumat hanya dimonopoli oleh satu pihak.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url