Pemuda tampan tukaran Nabi

Bapa saudara kesayangan Nabi Muhammad SAW, Abu Talib semakin gugup apabila para pembesar Quraisy mula tampil di hadapannya untuk membuat perhitungan.

"Wahai Abu Talib, sesungguhnya engkau seorang tua sangat terhormat kerana mempunyai kedudukan di kalangan kami.

"Telah berkali-kali sebelum ini kami meminta engkau supaya menghalang anak saudaramu itu daripada membuat seruan tetapi engkau tidak pernah menghalang si Muhammad.

"Pada hari ini kami sudah tidak tahan lagi membiarkan nenek moyang kami dicaci-cerca, akal fikiran kami diperbodoh-bodohkan dan tuhan-tuhan kami diaibkan, melainkan engkau sanggup menghalangnya atau kalau tidak, biarkan kami selesaikan sehingga binasa salah satu daripada dua pihak," tegas mereka terhadap Abu Talib.

Sehingga begitu sekali amaran yang disampaikan kepada Abu Talib malah sanggup sama ada mereka binasa atau Nabi Muhammad itu sendiri berjaya 'dibinasakan'!

Mereka tidak sahaja semakin tertekan akibat pengaruh Islam yang semakin mengikis amalan penyembahan terhadap patung-patung berhala bersama dengan korban-korbannya.

Malah menambahkan lagi keperitan kerana bagaikan satu tamparan yang kuat pula apabila seorang lagi tokoh terkemuka kalangan Quraisy yang selama ini turut bengis terhadap Islam, akhirnya memeluk Islam. Iaitu Umar Al Khattab yang selama ini begitu disegani dan digeruni di kalangan lawan dan kawan kerana kekuatan dan keberaniannya dalam melakukan apa sahaja.

Abu Talib hanya mampu meng angguk-anggukan kepala dan meminta mereka yang berhimpun itu supaya pulang dengan memberi jaminan bahawa segala amaran pemimpin Quraisy akan beliau sampaikan sendiri kepada Nabi Muhammad. Walaupun berat namun beliau tetap mengajukan permintaan kafir Quraisy itu kepada anak saudaranya itu.

"Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kaummu telah datang kepadaku. Mereka mengatakan (begini, begini) maka tolonglah selamatkan diriku dan dirimu, janganlah engkau bebankan kepadaku urusan yang aku sendiri tidak berdaya untuk menguruskannya!" kata Abu Talib yang segera menemui Nabi Muhammad selepas pertemuan dengan kaum kafir Quraisy itu.

Mendengarkan itu, Nabi Muhammad pun menyangka bahawa bapa saudaranya itu sudah enggan untuk melindunginya serta tidak berupaya lagi untuk membantunya.

Lantas baginda pun berkata: "Wahai bapa saudaraku! Demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, sehinggalah Allah menzahirkan kemenangannya atau aku terkorban di jalan-NYA, nescaya aku tidak akan sama sekali meninggalkannya!"

Mendengarkan ketegasan anak saudaranya itu, Abu Talib pun berkata tanpa ragu-ragu; "Wahai anak saudaraku, katalah apa yang kamu suka, demi Allah, aku tidak akan menyerahkan engkau kepada sesiapa pun selama-lamanya."

Abu Talib kemudiannya bersyair;

"Demi Allah, mereka semua tidak akan dapat mencapaimu,

Kecuali setelah aku bersemadi di dalam tanah.

Jalankanlah urusanmu, tidak ada celanya terhadap kamu

Gembira dan tenteramkanlah dirimu!"

Kafir Quraisy terus dilanda kehampaan apabila harapan yang menggunung bagaikan runtuh berkecai apabila melihatkan anak saudara Abu Talib itu tidak memperlihatkan tanda-tanda untuk berhenti daripada meneruskan dakwah dan seruan terhadap Islam.

Malah semakin kuat apabila kekuatan dan pengaruh Umar Al Khattab telah memberikan kesan yang cukup baik kepada perkembangan Islam yang semakin mendapat tempat di hati para penduduk Mekah dan persekitarannya.

Mereka begitu cemburu apabila Nabi Muhammad mula dikelilingi para sahabat besar seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab sehinggalah Bilal Rabah yang menjadi satu pakej atau pasukan yang mantap dalam usaha menyebarkan Islam itu.

Namun mereka akhirnya terpaksa menerima juga hakikat bahawa Abu Talib tidak akan menganjakkan kesetiaannya dan perlindungannya terhadap Nabi Muhammad. Malah akan sanggup berpatah arang berkerat rotan dengan mereka hanya kerana anak saudara kesayangannya itu.

Namun tahukah anda apakah langkah terdesak yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy bagi menangani masalah mereka terhadap Nabi Muhammad itu?

Mereka benar-benar terdesak namun dianggap apa yang mereka lakukan ini adalah satu cara yang paling bijak apabila mereka membawakan kepada Abu Talib seorang pemuda yang bernama Ammarah bin Al Walid bin Al Mughirah untuk ditukarkan kepada anak saudaranya itu.

"Wahai Abu Talib, sesungguhnya anak muda ini adalah yang paling mulia dan paling tampan di kalangan kami kaum Quraish.

"Ambillah dia, nanti kamu dapat menggunakan kebijaksanaan dan mendapat bantuan daripada anak muda ini.

"Jadikanlah dia seperti anak kamu dan untuk ini semua kamu hanya perlu untuk menyerahkan anak saudara kamu itu kepada kami kerana dia telah bercanggah dengan agama nenek moyang serta memecah belahkan perpaduan kaum kamu dan memperbodohkan mereka.

"Biarkan kami membunuhnya kerana Ammarah ini adalah jauh lebih baik dari apa juga segi berbanding anak saudara mu itu namun kami sanggup memberikannya kepada kamu," kata wakil dari pihak Quraisy itu.

Abu Talib begitu tersentak lalu berkata dengan nada suara yang marah: "Demi Allah, alangkah buruknya tawaran kamu ini. Adakah kamu hendak memberikan kepadaku anak kamu supaya aku memberinya makan bagi pihak kamu, kemudian aku serahkan anakku supaya kamu membunuhnya? Demi Allah perkara yang bodoh seperti ini tidak akan berlaku!"

Maka gagal lagi satu usaha daripada kafir Quraisy ini buat sekian kalinya.

Namun pernahkah anda mendengar Kisah Gharaniq? Mungkin ia sukar untuk difahami apabila dikatakan pernah suatu masa Nabi Muhammad dapat menerima perbuatan kaumnya yang menyembah berhala itu.

Ini apabila pemimpin-pemimpin Quraisy dikatakan pernah menemui Nabi Muhammad sendiri untuk berdamai!

Dalam masa yang sama baginda juga dikatakan mempunyai harapan yang sama untuk berdamai dengan puak Quraisy kerana baginda tidak mahu puak itu semakin menjauhkan diri mereka daripada baginda hanya kerana perbezaan kepercayaan bertuhan itu.

Puak kafir Quraisy itu mengusulkan kepada baginda supaya menyingkirkan segala perbezaan yang ada agar semua pihak boleh mengakui tuhan masing-masing.

Mereka dengan tuhan berhala masing-masing dan meminta supaya Nabi Muhammad tidak menganggu tuhan mereka itu dan baginda dengan Tuhan yang baginda percayai, yang mereka jamin tidak akan ganggu juga.

Secara tidak langsung baginda sebenarnya perlu mengakui amalan menyembah berhala itu adalah benar, bukan sesuatu yang syirik dan satu kepercayaan bertuhan yang utuh.

Akibat pertemuan inilah dikatakan turunnya Surah al-Kafirun (Orang Kafir) kepada baginda.

Namun dikatakan baginda masih berharap agar dapat berdamai dengan kaum itu dan terus berharap agar adanya ayat-ayat al-Quran, sebagai wahyu daripada Allah yang akan mengurangkan jarak antara baginda dan kaumnya itu.

Gharaniq adalah jamak dari perkataan Gharnuq atau Gharniq yang bermakna sejenis burung air atau seorang remaja lelaki yang tampan.

Lalu apakah kaitannya seterusnya Kisah Gharaniq ini dengan wahyu tuhan yang dikatakan ditunggu-tunggu oleh baginda itu?! Benarkah akibat peristiwa Gharaniq ini menjadi sebab utama kepada umat Islam yang melarikan diri ke Habsyah akhirnya pulang semula ke Mekah setelah berada tiga bulan yang 'selamat' di sana? Ikuti kisah selanjutnya mengenai Gharaniq yang menjadi perdebatan antara tokoh ilmuwan Islam dan para orientalis pada keluaran seterusnya!

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url