28,188 dapat semua A, Terengganu cemerlang PMR 2009

Nilai Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan itu juga bertambah baik tahun ini iaitu 2.78 berbanding 2.83 tahun lalu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Prestasi calon luar bandar juga semakin baik apabila 4,775 berjaya memperoleh semua A berbanding 4,345 tahun lalu, manakala 87,936 melepasi tahap minimum gred A, B, C dan D.
Nilai GPN bagi calon luar bandar juga bertambah baik daripada 3.02 tahun lalu kepada 2.97 tahun ini.
Calon bandar yang mendapat semua A juga meningkat kepada 22,901, berbanding 21,576 tahun lalu, manakala GPN bertambah baik daripada 2.72 kepada 2.68 tahun ini. Alimuddin berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar juga semakin rapat berdasarkan penguncupan nilai beza GPN antara kedua-dua kumpulan, iaitu 0.3 pada tahun lalu kepada 0.29 tahun ini.
"Bagaimanapun, daripada segi pencapaian semua A, jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar meningkat daripada 5.11 peratus kepada 5.22 peratus," katanya.
Antara 10 sekolah harian terbaik termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor: SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu: SMK Sultan Badlishah, Kulim dan SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK Derma, Kangar.
Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan SM Sains Tengku Abdullah, Raub.
Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz, Kuala Berang; Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.
PMR tahun ini juga menyaksikan kumpulan pertama 156 calon mengambil subjek Pendidikan Kesenian di dua sekolah iaitu Sekolah Seni Johor Baharu (SSeJB) dan SSe Kuching. Subjek kesenian yang diambil ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.
Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi apabila 35 calon atau 22.4 peratus mendapat peringkat tertinggi Band 4.
"Seramai 12 calon SSe pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran teras," katanya.
Selain itu, tujuh pelajar istimewa disenaraikan calon terbaik iaitu empat mendapat 7A, dua 8A dan seorang 9A.
Alimuddin juga berkata, ada peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam jumlah pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik, manakala bagi mata pelajaran Sains daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.
Bagaimanapun, katanya, berlaku penurunan tidak ketara kepada prestasi mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI).
"Peratus berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 kepada 25.6 tahun ini dan BI daripada 16.4 peratus kepada 16.1," katanya.
Terengganu mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dengan mencatatkan gred purata negeri 2.60, lebih baik daripada gred purata nasional pada 2.78.
Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong, berkata daripada 22,954 calon yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, 7.1 peratus atau seramai 1,630 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran manakala pencapaian minimum D atau lulus meningkat sebanyak satu peratus daripada 62.4 peratus tahun lalu kepada 63.4 peratus tahun ini.
Selain itu, katanya, tiga pelajar kurang upaya (OKU) turut mencatatkan keputusan cemerlang antaranya Mohd Fariz Hafizi Mohd Sepai dari SMK Sultan Sulaiman yang cacat penglihatan mencatatkan keputusan 7A 1B, Hani Nadhrah Muhamad Taufik dari SMK Padang Negara, Kuala Terengganu yang cacat fizikal (6A 2B) dan Muhamad Syukri Abdullah yang bermasalah pembelajaran dari SMK Tok Dor, Besut mendapat 5A 3B.
Sementara itu, 10 sekolah di Kelantan, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad Maher; Maktab Sultan Ismail; SMK Zainab; SMKA Naim Lil Banat dan SMK Kubang Bemban, mencatatkan kelulusan 100 peratus.
Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, sebanyak 16 sekolah di seluruh Pahang mencatatkan keputusan cemerlang dengan lulus 100 peratus, meningkat berbanding 13 sekolah tahun lalu.
Ketua Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Perak, Abdul Ghani Mohamad Niza berkata, seramai 2,746 pelajar atau 6.44 peratus berjaya mencatatkan keputusan semua A, meningkat berbanding 2,591 pelajar atau 6.11 peratus tahun lalu.
Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad, berkata daripada 145 calon memperoleh 9A, 1,366 calon (8A) dan 465 calon (7A) dalam PMR manakala 1,369 calon di Kedah mencapai 8A.
- BERITA HARIAN