Berhenti memperlekeh SPRM

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Dalam usia baru setahun jagung, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah berjaya mengheret ramai individu ke mahkamah membabitkan kes pertuduhan rasuah. Ketika baru kira-kira sebulan beroperasi juga, suruhanjaya itu membuktikan kemampuan apabila mengheret beberapa orang pesalah rasuah melibatkan kategori berbeza.

Mereka masing-masing Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan, seorang penghulu, Ketua Perhubungan Teknikal Kumpulan Hartanah Selangor Berhad serta pegawai kanan kastam. Sejak itu, SPRM tidak lagi menoleh ke belakang dalam memburu individu-individu yang terbabit dalam kegiatan rasuah. Kes-kes lain yang turut mendapat perhatian sepanjang tahun lalu adalah kes pendakwaan ke atas beberapa individu bersabit tuduhan pecah amanah dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Malangnya, semakin SPRM berjaya membongkar kes rasuah dan menghadapkan lebih ramai individu ke muka pengadilan, semakin kuat pula tohmahan serta penghinaan yang dilemparkan. Sepanjang penulis meneliti terjemahan akhbar-akhbar Cina misalnya, banyak kritikan terhadap SPRM dibuat secara tidak adil. Penulis tidak mempersoalkan kecenderungan ideologi akhbar itu yang sangat ketara tidak sehaluan dengan kerajaan mahupun SPRM.

Tetapi itu bukanlah lesen untuk membuat kritikan yang jika diteliti nadanya lebih kepada tuduhan yang tidak berasas. Lebih tepat, pandangan mereka seumpama memperlekehkan bidang kuasa SPRM. Itu belum lagi dikira dengan segala macam tuduhan dan hinaan yang dilemparkan menerusi laman sesawang dan blog.

Tanpa tapisan daripada mana-mana pihak, laman sesawang yang kononnya berfungsi sebagai portal berita memainkan isu berkenaan SPRM dan membukanya kepada pandangan orang ramai. Malangnya, hanya pandangan yang mengutuk sahaja dipaparkan manakala pandangan yang positif pula ditapis. Jika begitu, apa motif sebenar pengendali portal berita seperti ini?

Jika mahu berlaku adil, mengapa perbincangan itu tidak diberi ruang sewajarnya dari sudut pro dan kontra? Biar masyarakat siber membuat penilaian sendiri berdasarkan pandangan yang telus serta saksama dan bukannya dipaksa menerima ideologi berat sebelah pengendali portal tersebut. Ini juga sebenarnya satu bentuk kezaliman tersembunyi tidak hanya kepada SPRM atau pihak yang dijadikan isu, sebaliknya juga kepada pembaca portal berita tersebut. Begitu juga dengan laman-laman sesawang peribadi atau blog yang benar-benar menggunakan kebebasan siber yang diberikan kepada mereka untuk membuat penilaian sendiri berhubung bidang kuasa SPRM.

Sekali lagi, asas-asas yang rasional dan logik tidak terpakai kepada pemilik laman blog seperti ini. Sebaliknya mereka menggunakan platform emosi yang berlebihan untuk melampiaskan rasa marah dan tidak puas hati. Akhirnya, terkeluarlah perkataan-perkataan yang tidak sewajarnya seperti 'anjing', 'lembu suruhan' dan banyak lagi istilah yang sesiapa pun sebenarnya tidak sanggup untuk mendengar, jauh sekali menerima ejekan seperti itu. Pemilik-pemilik blog itu juga mendesak SPRM supaya bertindak profesional, sedangkan mereka sendiri menunjukkan sikap dan penerimaan pada tingkat rasional yang terendah.

Mereka ini jugalah sebenarnya yang bersorak apabila SPRM terpaksa berdepan dengan mahkamah bagi membolehkan badan itu menyoal siasat saksi kes tanpa had masa. Sedangkan umum mengetahui bahawa implikasi daripada sekatan itu hanya akan melambatkan proses siasatan. Bayangkan dengan had masa itu, saksi berkenaan boleh merancang pelbagai perkara seperti menghapuskan bukti, melarikan diri, merancang jawapan dan sebagainya.

Mujur akhirnya mahkamah berpihak kepada SPRM meskipun keputusan itu akhirnya menjadi satu lagi bahan kutukan terhadap SPRM. Tuduhan bahawa SPRM adalah balaci BN juga tidak lagi menjadi pelik hari ini. Ia sebenarnya adalah strategi untuk menjejaskan kredibiliti badan itu sewaktu masih bergelar Badan Pencegah Rasuah (BPR) lagi.

Semuanya kerana SPRM didakwa membuat siasatan yang selektif iaitu hanya mengejar ikan bilis dan menutup mata terhadap ikan jerung atau pegawai-pegawai kanan kerajaan. Tuduhan itu sebenarnya boleh disangkal kerana beberapa individu penting yang berada di sebalik pejabat kerajaan juga tidak terlepas daripada salah guna kuasa. Begitu juga dengan tuduhan SPRM hanya mengejar pembangkang kerana beberapa pemimpin BN juga pernah dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah.

Semuanya berbalik kepada kes dan bukti yang kukuh dan SPRM akan menjalankan tanggungjawab mereka tanpa membezakan latar belakang ideologi politik atau faktor-faktor lain.

Kejayaan SPRM itu jugalah sebenarnya yang menyebabkan laungan 'SPRM balaci BN' semakin kuat kedengaran kerana pihak-pihak ini bimbang kejayaan SPRM diterima baik oleh masyarakat. Apatah lagi dalam usia SPRM yang baru mencecah setahun pada 1 Januari 2010, taring dan komitmen memerangi rasuah seperti yang ditunjukkan SPRM mula mendatangkan ketakutan kepada pihak-pihak yang selama ini bebas mengamalkan rasuah.

Memang tidak dinafikan ada beberapa perkara yang tidak seharusnya berlaku kepada SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock yang masih lagi menjadi misteri sehingga kini misalnya, benar-benar memalit noda hitam kepada kredibiliti SPRM. Sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa nasib malang yang menimpa Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu tidak sepatutnya berlaku. Tetapi kita perlu jelas dalam perkara ini bahawa pelbagai kemungkinan boleh terjadi sehingga membawa kepada kematian Beng Hock dan biarlah SPRM dan polis selesai menjalankan siasatan.

Sehingga itu, usahlah kita membuat pelbagai teori dan spekulasi kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Perlu juga untuk difahami dalam kes Beng Hock ini seperti yang berulang kali ditegaskan polis, bahawa mendiang lebih diperlukan untuk hidup dan bukan sebaliknya.

Percayalah, jika SPRM diberikan ruang dan keyakinan yang sewajarnya untuk melaksanakan amanah seperti yang diberikan, rasuah yang menjadi penyakit dalam masyarakat kita dapat dihapuskan.

Kutukan, cacian dan penghinaan secara berterusan terhadap SPRM hanya akan melemahkan semangat pegawai-pegawai yang diberikan tanggungjawab. Secara berstrategi dan jika dibiarkan pula, perkara negatif yang dilemparkan kepada SPRM akan melekat dan diterima oleh orang ramai dan tidak lagi menjadi persepsi.

Ketika itu, usaha kerajaan memartabatkan SPRM sebagai sebuah badan berintegriti dan berkredibiliti hanya akan menjadi sia-sia. Sedangkan SPRM ketika ini dilihat berada pada landasan yang tepat untuk menghapuskan amalan rasuah dengan peruntukan kuasa yang ada.

Adalah sangat malang seandainya kredibiliti dan keyakinan yang sedang meningkat naik itu dicantas oleh suara-suara pihak yang jelas mempunyai agenda buruk. Barangkali, SPRM dan polis perlu bertindak lebih tegas terhadap pihak-pihak yang melemparkan penghinaan tidak berasas dan menjurus kepada fitnah.

Mereka ini tidak boleh lagi dibiarkan menggunakan kebebasan bersuara sama ada menerusi media cetak atau media siber untuk mempengaruhi pemikiran pembaca secara salah. Tidak ada gunanya SPRM bertungkus-lumus siang dan malam mengejar pesalah rasuah di seluruh negara sekiranya pada akhirnya, tohmahan dan penghinaan yang diterima.

Adalah diharapkan perkara ini turut menjadi perhatian penting SPRM sepanjang tahun-tahun mendatang lebih-lebih lagi di bawah Ketua Pesuruhjayanya yang baru iaitu Datuk Abu Kassim Mohamed yang menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Setahun yang lalu yang boleh dirumuskan sebagai sangat getir dan penuh cabaran, memerlukan kekuatan yang berganda daripada Abu Kassim serta seluruh pasukan beliau. Apatah lagi boleh dijangka, cabaran-cabaran mendatang tidak sedikit pun berkurang daripada apa yang ditempuhi sebelum ini, malah pastinya lebih hebat lagi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url