Biar kita digelar penyibuk
(Borak Pak Nil)
ASSALAMUALAIKUM. Alhamdulillah, melangkah juga kita ke hari ketiga tahun 2010. Rasanya baru semalam kita sibuk meraikan alaf baru apabila kita bergerak ke abad ke-21. Sedar tak sedar 10 tahun sudah kita lewati.
Mengikut ukuran ini seseorang boleh nampak sehingga ke garis nipis pada kejauhan jarak 20 kaki. Ini ukuran penglihatan manusia yang dianggap sempurna tanpa mendapat apa-apa bantuan seperti cermin mata atau seumpamanya.
Begitu juga penggunaan istilah ini terhadap cita-cita negara. Seharusnya kita sudah jelas ke mana arah permodenan negara yang ingin kita bawa. Persoalannya, betulkah kita sudah jelas?
Jika permodenan yang kita kejar menjelang tahun keramat itu, sanggupkah kita gadaikan nilai kemanusiaan? Adakah acuan permodenan itu yang kita kejar selama ini?
Kita beruntung sebab ada banyak contoh negara yang maju terlebih dulu dan terlebih awal daripada kita. Seharusnya kesilapan mereka kita ambil kira dalam landasan kita mengejar permodenan supaya kita tidak melakukan kesilapan sama.
Sejak Wawasan 2020 mula diperkenalkan pada lewat 1990, kita turut diunjurkan untuk mengimbangi permodenan dengan nilai insaniah tinggi.
Harapannya supaya kita jadi masyarakat moden berbudi pekerti tinggi dan penyayang ketika itu nanti. Kini 20 tahun sudah berlalu dan tinggal 10 tahun saja lagi pelan permodenan ini sampai ke garisan tamat. Sudah bolehkah kita nampak bunga-bunga pencapaian seperti diidamkan oleh penciptanya?
Moden, mungkin kita boleh akui kita bergerak ke arah itu, tetapi ‘moden yang diimbangi dengan nilai insaniah tinggi’, belum pasti lagi.
Paknil bercakap daripada pandangan mata Paknil saja. Paknil mungkin silap. Daripada pemikiran yang tidak tajam ini, jika kita rasa kita hampir berjaya mencapai matlamat Wawasan 2020, kenapa kita masih setiap hari didedahkan dengan berita jenayah primitif?
Maaf, Paknil terpaksa memperkenalkan penjenamaan baru pada jenayah yang berlaku pada hari ini iaitu ‘jenayah primitif.’ Ini kerana bangsa primitif yang tidak beragama dan bertamadun saja yang melakukan jenayah yang tidak berkeperimanusiaan.
Sana-sini hari ini kita digegarkan dengan berita jenayah terhadap kanak-kanak. Golongan yang sepatutnya mendapat perlindungan sepenuhnya daripada masyarakat. Namun di negara ini hak mereka untuk hidup kian dicabar oleh ‘binatang’ bertopengkan manusia.
Kes dera anak, buang anak, gugur anak, jual anak, penderaan seksual, pembunuhan kejam, dicabul dan dirogol makin menjadi-jadi. Terbaru adalah kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan yang mayatnya dicampak ke kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Jalan Semarak di ibu negara.
Laporan bedah siasat terhadap mangsa yang memiliki kulit gelap dan kening tebal itu menemui kesan koyakan di bahagian sulitnya akibat disumbat dengan objek tumpul. Mangsa dipercayai dirogol sebelum dijerut dengan menggunakan tuala kecil sehingga mati.
Ketika ditemui, ada kesan jerut dengan kain di leher mangsa yang hanya memakai baju tidur tanpa seluar dalam.
Ya Allah! Berat betul jari Paknil hendak menaip fakta pembunuhan itu dan seketika ini juga bergenang air mata Paknil tatkala mengenangkan nasib anak malang ini. Jika Paknil yang hanya menaip dan anda yang hanya membaca cerita ini sudah terbit rasa sebak, Paknil tertanya sendiri, “Apakah agaknya rasa yang ada dalam hati dan fikiran binatang yang melakukan kekejaman ini?”
Seharusnya Paknil minta maaf pada makhluk ciptaan Tuhan yang kita panggil binatang kerana menyamakan mereka dengan penjenayah tidak berhati perut ini. Sedangkan binatang juga tahu melindungi anak. Jadi, apakah pula gelaran yang patut kita beri pada mereka ini?
Kita lupakan seketika perlakuan pesakit mental itu dan kita pandang pula dalam diri kita. Adakah kita sememangnya bersedia melakukan tugas kita melindungi kanak-kanak? Cukupkah tanggungjawab kita setakat bersama meratapi nasib mangsa jenayah kanak-kanak dan keluarganya?
Paknil percaya jumlah kita yang sihat mental ini jauh lebih ramai daripada jumlah pesakit mental yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa pelepas pelakuan buas mereka. Dengan ini, Paknil yakin kita ramai-ramai boleh membanteras jenayah kanak-kanak.
Kita kena tahu tanggungjawab kita untuk jadi ‘penyibuk’ pada tempat dan keadaan betul. Istilah ‘jangan jaga tepi kain orang’ sudah boleh kita tolak ke tepi apabila menangani masalah berhubung kanak-kanak.
Biar kita digelar ‘penyibuk’ jika perangai menyibuk itu dapat menyelamatkan banyak nyawa daripada terkorban. Kita jenguk rumah jiran kita, jika nampak ada tanda lebam di badan anak jiran itu. Bawa-bawalah ‘mengorek’ cerita rumah tangga jiran daripada anak itu jika perlu.
Pasangkan telinga pada dinding rumah jiran. Bukan untuk mendengar cerita rumah tangga mereka, tetapi jeritan anak yang dibelasah tanpa rasa salah oleh penjaga mereka. Mustahil anak itu tidak menjerit kesakitan jika didera sedemikian rupa.
Intai di balik langsir rumah kita untuk melihat seandainya anak jiran kita mula ditegur orang yang kita tidak kenali dan asing di kawasan itu. Tidak akan tumbuh ketumbit di mata jika kita intai untuk tujuan pengawasan.
Ringankan mulut meleter atau menyindir anak jiran jika kita lihat ada perlakuan mereka yang tidak senonoh. Kadangkala mulut kita dapat menggantikan mulut ibu bapa mereka yang jarang di rumah kerana kesibukan bekerja.
Kita kena buangkan rasa bersalah melakukan kerja ‘menyibuk’ ini sebab hidup di zaman moden kini lebih tertumpu hidup sendiri. Apabila kita tatang hidup sebegini, campur tangan ibu bapa dan adik-beradik pun kita tolak tepi. Maka itu, kita pernah terdengar datuk menangis kematian cucu di depan mata gara-gara tidak berani menegur anak sendiri.
Paknil rasa tugas menjaga keselamatan adalah tanggungjawab kita dan polis hanya membantu. Jika kita bersikap sendiri-sendiri seperti enau dalam belukar, lepaskan pucuk masing-masing, ini bermakna kita gagal menjaga keselamatan tetangga kita.
Kita boleh nampak kanak-kanak didera di depan mata tapi buat tak tahu sebab pada pemikiran kita itu kerja polis. Bayangkan jika 22 juta rakyat Malaysia bertindak membantu polis berbanding beberapa ratusan ribu polis yang ada, Paknil yakin masalah ini dapat dikawal.
Kita harus menjadi kawan polis supaya penjahat takut dengan kita dan jika mereka nak buat apa pun, mereka akan fikir “Alamak, ada orang di situ, tak boleh buat...”
Sekarang ini ada orang dekat situ pun mereka berani lakukan jenayah secara terang-terangan. Ini harus kita pikul bersama sebab jika kita bertindak secara kolektif, mungkin kita dapat hindarkan seperti kes adik Aaliyah Aiman Hussin, Nurin Jazlin Jazimin, Sharlinie Mohd Nashar dan Muhamad Asmawi Jalaludin dan ramai lagi daripada berulang.
Kita kena sedar, kita kini bukan lagi berjirankan masyarakat serumpun dengan kita. Jiran kita kini diwarnai dengan kehadiran rakyat dari negara asing.
Budaya mereka tidak sama dengan budaya kita. Perlakuan di negara mereka mungkin terbawa-bawa sehingga ke sini dan amalan mereka sangat berbeza dengan kepercayaan kita. Oleh itu pengawasan dari mata kasar kita harus dilatih supaya cekap menangkap perlakuan mencurigakan.
Ya, memang sukar untuk kita mengenali pesakit mental kerana tidak tertulis di dahi mereka bahawa mereka penjenayah kanak-kanak, tetapi jika nombor telefon talian bantuan kanak-kanak pun kita tidak boleh ingat, bertambah malanglah anak-anak Malaysia. Talian Nur: 15999
- HARIAN METRO

