Isu Islam di Malaysia, Indonesia berbeza

Penentangan masyarakat Islam di negara ini terhadap penggunaan kalimah Allah oleh institusi gereja menggambarkan keadaan sosiologi Malaysia amat berbeza dengan persekitaran budaya di Indonesia.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia di negara ini, Khairuddin Harahap berkata, perbezaan utama kedua-dua negara terletak pada asas penubuhan masing-masing yang menyaksikan kelainan dalam hal toleransi beragama masyarakat Indonesia dan Malaysia.

Di Indonesia, jelasnya, perkara pertama yang disebut dalam asas penubuhan negara itu iaitu Pancasila ialah prinsip ‘Ketuhanan Yang Maha Esa’ sementara dalam prinsip Rukun Negara Malaysia, perkara utamanya ialah ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’.

Justeru, katanya, penggunaan kalimah Allah diterima semua penganut agama utama di Indonesia namun di Malaysia penggunaannya terhad kepada umat Islam selama ini.

‘‘Di Malaysia penggunaan Allah seperti sudah khusus kepada penganut agama Islam tetapi di Indonesia apabila Tuhan diertikan sebagai maha esa, ia membuka pelbagai pemahaman di kalangan masyarakat Islam dan Kristian.

‘‘Ini kerana dalam Kristian, Allah boleh melambangkan tiga entiti walaupun secara dasarnya hanya hadir satu. Dalam Islam pula, Allah itu satu iaitu tidak dilahirkan serta tidak melahirkan,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Khairuddin yang telah 28 tahun menetap di Malaysia berkata, perbezaan paling utama di antara struktur kenegaraan kedua-dua negara ialah di Malaysia, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi sementara di Indonesia tiada pengiktirafan sebegitu dibuat ke atas Islam.

‘‘Jadi, toleransi beragama itu agak berlainan di Indonesia berbeza toleransi beragama di sini. Saya amat mengerti kenapa masyarakat Islam Malaysia membantah penggunaan kalimah Allah oleh agama lain,’’ jelasnya.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url