Lan A To Z merana Tiga tahun ditinggal isteri


Suatu masa dahulu, namanya cukup popular. Digilai ramai anak gadis, Lan A To Z antara artis yang berjaya di era 90-an apabila kumpulan berkenaan meraih sukses dalam penjualan album dan pertunjukan pentas.

Kaya, mewah dan bergaya, Lan mampu menggapai apa saja yang diinginkan termasuklah mengahwini wanita kacukan yang cukup jelita, Marcella Casissi Shariff, bekas pramugari penerbangan Royal Brunei.

Pun begitu, itu cerita 11 tahun lalu. Hari ini, lelaki yang pernah digilai ramai itu semakin ‘layu’ dan dilupakan. Dia tidak lagi meraih populariti sama seperti 11 tahun lalu. Malangnya, Lan bukan sahaja kehilangan peminat dan populariti, sebaliknya turut kehilangan kekasih hatinya, Marcella.

Marcella memilih untuk kembali ke tanah kelahirannya di England dengan membawa bersama permata hati mereka, Puteri Nur Aqmar,10, Puteri Nur Syafiqah,9, dan Puteri Nur Farhana,3.

Pancaindera secara eksklusif menjejaki Lan, lelaki yang kini hanya punya impian. Ia, setelah tiga tahun ditinggalkan, masih ada ruang di hati lelaki berusia 41 tahun, bernama lengkap Norazlan Abdul Aziz ini untuk bermimpi bersatu semula dengan isteri dan anak-anaknya.

Sesaat pun tidak lupa

Dalam pertemuan kami pada petang Isnin lalu, Lan mengakui sesaat pun dia tidak pernah melupakan anak dan isterinya itu.

Tapi apalah daya, segalanya berlaku tanpa dijangkakan apabila isterinya membuat keputusan pulang ke England dan tinggal bersama ibunya di sana.

“Ia terjadi selepas saya mengalami kejatuhan dalam dunia muzik. Kesempitan hidup membuatkan saya hilang segala kemewahan dan sukar untuk menggembirakan hati anak-anak dan isteri.

“Akhirnya saya membenarkan isteri membawa anak-anak untuk tinggal bersama ibunya di Lancashire, England,” cerita Lan, membongkar rahsia saat awal perpisahannya dengan keluarga tersayang.

Tambah Lan detik hitam bermula pada tahun 2007 sewaktu dia menghadapi zaman kejatuhan. Ketika itu album tidak laku. Perniagaan yang dijalankan juga jatuh merudum.

Untuk menampung kehidupan keluarga, Lan terpaksa bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah kolej swasta.

Tetapi sayang, ia tidak bertahan lama kerana sebagai seorang ahli dalam dunia muzik, mana mungkin dapat menjalankan kerja-kerja pejabat.

“Kerana kesusahan hidup itu, rumah tangga saya diuji. Sebelum ini saya tak nafikan kami pernah hidup dalam keadaan yang mewah. Inilah akibatnya apabila kita menjadi artis, kesenangan itu tidak bertahan lama.

“Akhirnya ibu mertua saya datang dan dia macam kurang selesa dengan apa yang terjadi, seolah-olah saya tidak mampu untuk menyara keluarga kerana kesempitan hidup.

“Akhirnya dia mencadangkan untuk membawa Marcella ke England bersama tiga anak saya. Tanpa berfikir panjang, saya merelakan kerana saya tahu tahap kewangan saya pada ketika itu benar-benar menguji.

“Saya benarkan isteri dan anak-anak ke England tetapi saya harap ia tidak lama. Ingatkan dalam setahun sahaja tetapi sekarang sudah sampai tiga tahun.

“Ketika tahun pertama berpisah, jiwa saya macam orang gila. Tengok basikal anak, tengok baju anak dalam almari pun tak boleh.

“Walaupun saya selalu berhubung dengan mereka melalui telefon tapi benda tu semua tak ada erti kalau dia orang tak ada depan mata.

“Akhirnya saya buat keputusan keluar dari rumah saya di Rawang, saya suruh adik saya jaga rumah itu dan bawa diri ke Jakarta. Di sana saya bekerja dengan syarikat jualan langsung berbekalkan wang saku RM800.

“Selama setahun di Jakarta, saya belajar untuk menjadi seorang yang tabah serta mengawal perasaan rindu terhadap anak-anak dan isteri. Dan syukurlah, hati saya dapat diubati berkat kekuatan dan semangat tinggi saya itu.

“Selepas setahun di sana, akhirnya saya pulang dan membuka Simple Rock Studio di Damansara Damai, Selangor. Saya sewakan studio untuk budak-budak di kawasan sini bermain muzik.

“Saya juga ada beberapa artis baru dan sedang giat buat lagu untuk memulihkan kerjaya seni saya.

“Alhamdulillah... Rezeki saya ada di sini,” katanya.

Menurut Lan, seringkali dia terfikir adakah masih ada sayang di hati anak-anak terhadap dirinya sebagai bapa? Juga masihkah ada sayang seorang isteri yang didamba?

“Anak saya yang sulung, Puteri Nur Aqmar nampaknya suka kalau saya telefon. Dia mesra dengan saya. Tapi yang kedua dan ketiga tu, mungkin dia orang masih tak faham. Bila bercakap pun macam hendak tak nak saja.

“Saya tak salahkan mereka sebab mereka jauh. Bila sudah lama tak berjumpa, macam-macam boleh jadi.

“Sekarang pun kalau nak bercakap kena banyak guna bahasa Inggeris kerana mereka agak kurang fasih berbahasa Melayu.

“Cuma saya harap mereka tidak lupa mengucap dua kalimah syahadah dan mempunyai pegangan agama sebagai seorang Islam,” katanya.

Mahu mengubat rindu kepada anak- anaknya, Lan berhasrat untuk menemui mereka di England pada tahun ini.

Tetapi sekiranya kunjungan itu tidak disambut dengan baik oleh anak-anak dan isteri, dia berserah kepada takdir Allah.

Walaupun hatinya masih berteka-teki bagaimanakah perasaan si isteri dan anak-anaknya di masa depan, Lan tidak mahu persoalan itu mengganggu fikirannya.

Kalaulah mereka masih menerimanya dia bersyukur tetapi jika sebaliknya, apakan daya, dia hanya berserah kepada Yang Maha Esa.

“Saya faham, dekat di mata lagikan boleh berubah apatah lagi kalau jauh. Bila jarang bersua, terpisah sekian lama kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku,” ujarnya dalam nada sebak.

Iktibar kes Nurin Jazlin

Ketika hatinya berkecamuk dengan cerita sedih ditinggalkan, masyarakat Malaysia kecoh dengan kes kanak-kanak bernama Nurin Jazlin Jazimin, yang dibunuh kejam kira-kira tiga tahun lalu.

Hati siapa yang tidak sedih dengan peristiwa itu walaupun kisah malang tersebut berlaku pada orang lain.

Kerana amat merindui anaknya itu, Lan mengambil peluang menyertai sembahyang jenazah Allahyarham di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Ketika itu, satu kekuatan hadir dalam dirinya membuatkan perasaan sayu diatasi apabila dia melihat kuatnya semangat ayah kanak-kanak itu.

Ujar Lan, kalau ibu bapa arwah adik Nurin kelihatan tenang dengan dugaan apabila anak tercinta mati dibunuh, ujian dalam dirinya tidaklah sehebat itu.

“Kerana pengalaman itulah hati saya jadi kuat. Semangat saya bangun semula. Sebelum itu, saya tidak boleh melelapkan mata kerana anak-anak. Tapi bila difikir-fikirkan sehebat mana ujian hidup kita itu, ada orang yang lebih teruk dilanda masalah.

“Syukurlah kerana Allah menggerakkan hati dan perasaan untuk saya menziarahi jenazah adik Nurin yang akhirnya membuatkan saya mampu mengawal keadaan, dapat semangat semula,” katanya.

Tidak ceraikan isteri

Mengakui cinta terhadap isterinya tetap tidak berubah kerana dia seorang yang setia pada ikatan perkahwinan, Lan tidak pernah sekalipun terdetik untuk menceraikan Marcella walaupun jiwanya menderita ditinggalkan sekian lama.

Nyata kasih sayangnya masih tebal dan utuh buat wanita yang berjaya mencuri hati remajanya suatu ketika dulu. Rasa kasih itu tidak pernah padam sementelah wanita itu jugalah yang mengandung dan melahirkan ketiga-tiga zuriatnya.

Tetapi dalam masa yang sama, dia akur seandainya sekian lama tidak bertemu, barangkali cinta hati isterinya itu sudah pudar.

Ketika Marcella dan anak-anak tinggal di kota besar dan mewah, kudus cinta Lan barangkali sudah menjadi sejarah.

“Saya tahu saya kurang pada harta tetapi istimewanya saya ini ialah seorang yang setia terhadap isteri. Saya masih mengharap agar semua akan menjadi pulih seperti sediakala” katanya.

Ditakdirkan si isteri tidak mahu menerima Lan sebagai suami lagi, lelaki ini reda dengan ketentuan itu.

Tapi ujar Lan, kasih terhadap Marcella tetap utuh dan seandainya suatu hari nanti ketika usianya sudah lanjut, dia akan tetap menerima Marcella jika terbit cinta baru di hati wanita itu.

“Apa juga yang berlaku kepada kami selepas ini, cuma satu harapan saya. Semoga cinta Marcella dan anak-anak kepada Islam tidak akan pudar,” katanya menokhtahkan bicara.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url