Twitter lawan Facebook

Oleh JOHARDY IBRAHIM

Pelakon terkenal Hollywood, Ashton Kutcher adalah selebriti yang diiktiraf sebagai individu yang bertanggungjawab mempopularkan Twitter, satu alat media sosial yang ringkas dan padat (tidak melebihi 140 patah perkataan) pada April 2009.

Bermula dengan cabaran kepada stesen rangkaian berita global CNN, Kutcher (yang juga suami muda kepada Demi Moore), merupakan yang pertama meraih sejuta pengikut ketika itu dan kini sudah melebihi empat juta orang. Beliau menewaskan berita terkini CNN yang disalurkan menerusi Twitter pada 17 April. CNN hanya kurang 1,761 iaitu 998,239 pengikut.

Data yang dikumpul oleh Twitter sendiri mengakui bahawa seseorang pemegang akaun Twitter sebelum Kutcher hanya berlegar di sekitar 300,000 pengikut. Selepas Kutcher melepasi catatan sejuta, ia bukan lagi Gunung Everest. Cubalah belek berapa ramai pengikut Kim Kardashian atau Britney Spears.

Twitter dan Facebook adalah dua alat media sosial yang menjadi fenomena besar dalam dunia pada tahun lalu dan dijangka terus berkembang tahun ini. Gegarannya turut dirasai di Malaysia, walaupun secara kasarnya, jutaan rakyat kita lebih cenderung kepada Facebook berbanding Twitter.

Kedua-duanya menjadi pilihan atas pelbagai faktor. Antara alasan yang paling sinikal ialah 'memandangkan ia sebuah alat media sosial tercanggih pernah dicipta hari ini dan diguna secara meluas di Barat, malah alat popular selebriti terkenal seperti Kutcher, maka saya pun harus menyertainya'.

Agak malang semasa menyelidik untuk artikel ini di kalangan kenalan, tidak ramai yang fasih dalam Twitter. Ada yang mengaku mempunyai akaun tetapi tidak kerap menggunakannya. Ada yang mendakwa komunikasi melaluinya terasa kurang memuaskan sebab kena menaip ringkasan (ini mungkin mereka ini suka buat pernyataan ala-tesis) dan terdapat juga yang mengatakan bahawa ramai masih melihat kelebihan Facebook berbanding Twitter. Selain itu, ramai yang 'berumah tangga' atau melekat berjam-jam di Facebook, termasuk kesenangan bermain permainan dalam talian seperti FarmVille, Mafia Wars dan banyak lagi.

Menurut sebuah rangkaian pengiklanan dalam talian berasaskan carian iaitu Chitika, pengguna Twitter mahukan berita manakala pengguna Facebook lebih berminat kepada topik-topik semasa.

Pengarah penyelidikan Chitika, Daniel Ruby membuat perbandingan dengan mengkaji ke mana akhirnya yang dituju oleh pengguna Twitter apabila mereka menekan klik pada pautan dalam tweet. Kaedah sama digunakan kepada pengguna Facebook.

Dalam pandangan Ruby, Twitter sebenarnya disalah anggap sebagai rangkaian sosial. ''Ia sebenarnya adalah genre tersendiri dalam fenomena Internet,'' kata beliau. ''Saya menganggapnya sebagai suatu perutusan mesej secara langsung kepada audiens. Dan ia begitu terbuka.

''Apa yang data memberitahukan saya ialah pengguna Twitter mahu menjadi pertama untuk tahu mengenai apa sahaja. Dalam sejam atau dua jam, Twitter bergema, kemudiannya berlalu, lenyap sebelum diganti dengan yang baru,'' katanya.

Facebook pula, kata Ruby, dengan saiznya yang besar, adalah sebuah taman berpagar dinding yang dipenuhi rakan taulan. ''Apa yang saya tafsirkan daripada data ialah orang menyertai Facebook untuk mengetahui benda-benda menarik. Ia sedikit perlahan untuk mengetahui mengenai sesuatu tetapi maklumatnya mempunyai tarikan yang lebih tahan lama berbanding Twitter.

Secara umumnya, Twitter mungkin lebih menonjol tarikannya kepada individu di luar industri media. Penulis sendiri masih keberatan aktif dalam Twitter. Alasan mudah ialah ramai kenalan pun masih tidak mendekati Twitter dan ia mungkin dilakukan bila sudah mencapai tahap skala ekonomi yang sesuai. Lagi pun, penulis masih menghargai ketenangan mental di luar waktu pejabat. Seharian bergelumang dengan berita, rasanya tidak perlulah di padang futsal pun telefon berdering menyalurkan maklumat Twitter.

Namun jika anda sudah menjiwai Twitter, ia menjadi ketagihan. Ini kerana reaksi yang diterima adalah pantas dan ia berfungsi antara dunia e-mel, sms dan blog. Twitter menggalakkan 'pautan luar' ke mana sahaja, dan dalam konteks ini, adalah lebih bersifat analog berbanding enjin carian sebenar iaitu satu kaedah baru untuk menjejak orang dan kandungan dalam Internet.

Twitter diminati kebanyakannya oleh mereka yang gila teknologi, blogger, pemasar dalam talian dan sesiapa sahaja yang mempunyai sesuatu untuk dipromosikan akan mendapati Twitter sebagai sangat berguna. Termasuklah ideologi politik.

Dalam konteks pelakon Hollywood seperti Ashton Kutcher, ia sesuai. Ini kerana beliau sememangnya ramai peminat dan lagi setiap gerak-geri, pendapat atau perlakuan adalah bahan berita. Harap-harap artis-artis di Malaysia menyedari mengenai perkara ini dan bergerak mengikut peredaran zaman. Jadi untuk kita yang bukan selebriti, bagaimana pula?

Facebook pula membolehkan individu berkomunikasi dengan rakan-rakan sepanjang masa tanpa menggunakan telefon (diterjemahkan sebagai jimat kos!) selain berhubung kembali dengan rakan taulan yang lama terpisah dan membuat kawan baru. Oleh kerana kemudahan dalam Facebook yang banyak seperti e-mel, sembang, perkongsian gambar dan video, penulis sendiri semakin kurang menggunakan e-mel. Rasanya ramai yang bersependapat dengan penulis. Ini dibuktikan dengan pertumbuhan pesat pengguna Facebook yang kini ada lebih 350 juta pemegang akaun! Dan syarikat itu melabur AS$200 juta (RM680 juta) untuk menambah baik pusat datanya bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah dari sehari ke sehari itu.

Meskipun pengguna Facebook bertambah, mereka perlu membuat saringan dari semasa ke semasa. Ini terutama mereka yang gemar menggunakan bahasa kesat dalam pernyataan mereka. Atas apa alasan sekali pun, misalnya untuk melahirkan kemarahan, tiada siapa wajar dipaksa membaca perkataan kesat. Dan ada sesetengahnya gemar pula menulis benda sulit dan peribadi. ''Oh saya rasa nak buang air sekejap''. Pernyataan seperti ini, hanya tulisan keanak-anakan, bukan lawak, tidak membina minda dan wajar dipadamkan daripada senarai rakan.

Rumusannya, kedua-dua Twitter dan Facebook hanyalah alat untuk berkomunikasi. Kedua-duanya akan terus melalui proses evolusi dan bercambah tatkala pengguna menemui kaedah baru untuk meraih nilai darinya.

Para pengkaji alat media sosial ini berbelah-bahagi mengenai masa depan Twitter dan Facebook. Namun, rata-ratanya bersependapat bahawa kaedah untuk mereka berdua bertahan ialah menerusi model perniagaan yang jitu. Bila hasil masuk (menerusi iklan), dana berkenaan boleh dilaburkan semula bagi meningkatkan kualiti atau perkhidmatan yang ditawarkan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url