Top Ad 728x90

, ,

Filem Malaysia gagal terap unsur Islam

Industri perfileman di Malaysia dikatakan masih gagal dalam menghasilkan karya yang mampu menerapkan unsur-unsur Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan.

Penulis novel popular, Ayat-ayat Cinta yang berasal dari Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy, berpendapat pembikin filem di negara ini masih tidak berani untuk menonjolkan seni Islam dan amalannya dalam karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding hasil dari negara jiran itu.

Beliau berkata apa yang paling penting adalah niat dan masyarakat semestinya akan melihat hasil dan ini semua bergantung kepada penulis itu sendiri.

"Malah, di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah ialah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid.

"Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana ," katanya ketika ditemui semasa program 'Hari Hiburan Islam' di Kota Bharu hari ini.

Siri itu turut diselitkan dengan rancangan bicara selebriti dan tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel terbaru beliau.

Habiburrahman, 34, terkenal dengan nama penanya Kang Abik. Beliau turut dikenali sebagai pendakwah, novelis dan penyair lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun lepas filem-filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-ayat Cinta (2004), Ketika Cinta Bertasbih (2007) yang diadaptasi daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa dan paling ramai ditonton oleh masyarakat republik itu.

Ini kerana, katanya filem tersebut menyentuh secara langsung kehidupan masyarakat di negara itu yang majoritinya menganut agama Islam.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan filem di Malaysia, beliau berkata kebanyakan penghasilnya mempunyai garapan yang baik tetapi dari segi idea dan tema masih kurang memberangsangkan.

"Saya merasa di Malaysia ia juga mendapat sambutan yang luar biasa. Cerita yang Islamik kalau kita tulis dengan kaedah yang baik maka akan dapat sambutan.

"Selain penggarapan, kematangan dan pemilihan idea perlu tetapi di sini ada penulis garapan bagus tapi ideanya tidak sesuai dengan masyarakat. Apa yang dikehendaki oleh masyarakat tidak ditampilkan sedangkan seorang sasterawan itu harus berinteraksi dengan masyarakat.

"Kalau orang haus kita kena bagi minum bukan bagi keropok. Macam mana sedap pun dia tidak akan ambil kerana apa yang dimahukan adalah minuman," katanya berfalsafah.

- Bernama

3 Comment:

  1. Assalamualaikum / Salam sejahtera,

    Saya tak setuju dengan pandangan tentang filem Malaysia gagal terap unsur Islam.Pada saya beliau melihat kepada perkembangan filem semasa yang kita tahu sekarang lebih banyak membangkitkan tema2 seram dan cinta. Namun tak semestinya filem Malaysia gagal terap unsur Islam kerana tak ada tunjuk orang Sembahyang atau pi masjid. Dalam sejarah perfileman pun banyak filem2 berunsur Islam Malaysia yang berjaya cuma orang seberang kurang tau. Contoh filem Tsufe Tsofia, Jasmin, Yasin, Perempuan Melayu Terakhir, Matinya Seorang Patriot, Anak Sarawak, Selubung, Gadis Bertudung Hitam, Puteri,Mama,Dendam dari Pusara,Fenomena dan lain2 yang sekarang ni agak jarang ditayangkan.

    Ehsasjdeed

    BalasPadam
  2. sebenarnya ada filem Malaysia yang berjaya menerapkan unsur2 Islam tetapi tidak digembar gemburkan

    BalasPadam
  3. ....maksud 'gagal' di sini mungkin dilihat dari segi bilangan filem2 berunsurkan agama & moral yang menjadi slot tayangan di kaca2 TV berbanding dgn filem2 bertemakan yg lain. Kemudian dilihat juga disudut pengarahan....berapa ramai pengarah filem atau produser filem2 kita yg mempunyai latar belakang agama...dan menjadikan cerita filem itu ( agama ) sebagai detik keinsafan dan perubahan diri berbanding utk mengaut keuntungan semata2....dan terakhir ia mungkin dilihat di sudut penerimaan & penghayatan di alam realiti oleh pelakon2 itu sendiri hasil dari watak2 yg mereka pegang....samada memberi kesan positif kpd mereka atau sekadar mencari makan.....segala2nya mungkin.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90