ABPBH 2009 - Mantap, penuh bertenaga


Segmen persembahan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 antara yang terbaik pernah disajikan kepada penonton.

Ia bukti kepekaan Berita Harian selaku penganjur selain mendapat kerjasama Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi).

Bukan saja mengangkat tema Cetusan Warna hingga membuatkan Arena Of Stars, Genting Highlands penuh dengan kepelbagaian warna, segenap ruang dewan itu turut bangkit dengan semangat artis baru dan lama yang membuat persembahan melengkapkan lagi majlis berprestij yang memasuki edisi ke-23 itu.

Memang acara yang ditonton secara langsung di TV3 dan boleh didengari di frekuensi stesen radio Hot FM ini terlebih masa hampir setengah jam. Acara yang bermula 9 malam itu dijadualkan berakhir 11.30 tengah malam. Namun, di saat jam hampir mencecah 12 tengah malam, penonton dalam arena itu masih melekat di kerusi.

Ia berbalik kepada penangan persembahan kemuncak membabitkan legenda rock, Wings yang disatukan dengan vokalis utamanya, Awie bersama Jaclyn Victor dan Artis Baru Lelaki Popular (ABPBH) 2009, Black menambah kehangatan pada malam itu. Gabungan tiga trio label seni menerusi lagu Sejati, Peronda Jaket Biru dan Opera Hidup cukup berbisa dan menghangat suasana kemuncak ABPBH kali ini.

Terdahulu di awal acara, penonton di bawa menyingkap persembahan yang menemukan Faizal Tahir dan Duo Kumpulan Popular ABPBH 2009, Bunkface buat julung kalinya. Ternyata idea mereka bersatu menyanyikan lagu popular Bunkface sendiri iaitu Revolusi meraih sorakan gemuruh penonton di situ.

Momentun persembahan tidak terhenti di situ, malah suasana gamat di Arena Of Stars terus dipukau dengan paduan One Nation Emcees (One) dan seniman veteran, Datuk M Daud Kilau menyuntik angin baru tatkala mereka menyanyikan dua lagu yang diadun khas, Raja Gelek dan Cik Mek Molek.
Seterusnya, Azlan & The Typewriter mengambil giliran mempersembahkan single, Kelibat Si Penyair. Segmen penghargaan membawakan rangkaian lagu popular ciptaan KRU diambil tanggungjawabnya oleh artis generasi baru, Akim, Aril, Dafi dan Hafiz menyanyikan lagu Fanatik.

Mencuri perhatian dalam segmen yang sama ialah kelibat Marsha, Ainul Aishah, Diana Danielle dan Farlyana (bakat yang digilap daripada pertandingan Bintang Idola Berita Harian 2008) menyanyikan lagu Kini dendangan Feminin. Keempat-empat gadis manja ini kemudiannya bersatu dengan empat artis lelaki tadi menyanyikan lagu Awas.

Daripada maklum balas yang diketahui, ada yang menyifatkan segmen itu sedikit mencacatkan aturan persembahan. Namun, harus diingat, segmen terbabit bukan cenderung memperlihatkan kekuatan vokal. Sebaliknya sekadar mahu menyegarkan kembali ingatan kepada legasi yang pernah dihidupkan KRU dan Feminin.

Dalam keghairahan penonton disajikan dengan ekstravaganza muzik cara ABPBH, mereka yang pergi menyahut seruan Ilahi tetap diingati. Sebagai contoh sewaktu kategori Penyampai Radio Lelaki Popular diumumkan, Aznil sewaktu kemenangannya dalam kategori itu memohon semua membacakan al-Fatihah kepada untuk Din Beramboi yang meninggal dunia pada 2 April lalu.

Malah lagu Kau Pergi Jua yang dinyanyikan kumpulan Rabbani, Munif (Hijjaz) dan Nazrey Johani didendangkan sebagai mengenang pemergian Allahyarham Ustaz Asri tahun lalu. Menariknya lagu dendangan asal Adam Ahmad itu juga diubah lirik bersesuaian dengan erti persahabatan.

Ternyata ada emosi penonton yang bergetaran hingga bergenang air mata, ketika nama Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri disebut. Hal yang sama terjadi kala mengingati kembali nama Ustaz Asri.

Enggan terus membiarkan perasaan melankolik itu terus bersarang, Adam dan Stacy bergabung mendendangkan lagu duet popular mereka Menggegar Dunia. Menariknya gandingan mereka seperti mengiyakan bait lirik lagu itu berbunyi Adam, Stacy... bergabung meletup. Tarian mereka diiringi penari penuh bertenaga dan mantap.

Sebagai simbolik bagi segmen Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima Datuk Khatijah Ibrahim, Dayang Nurfaizah dan Alyah diberi kesempatan berharga menyanyikan dua buah lagu nostalgia nyanyiannya iaitu Ku Pendam Sebuah Duka dan Doa Buat Kekasih. Malah untuk lagu kedua, beliau turut menyanyi sama.

Syabas Raja Azura dan Sharifah Shahira

Sebagai rumusan, barisan pemuzik orkestra di bawah pimpinan Ramli MS wajar dipuji. Semua tampak sempurna. Tidak dilupakan gandingan mantap selebriti popular, Raja Azura dan Sharifah Shahirah sebagai pasangan pengacara.

Selain cantik melaram busana rekaan Calvin Thoo, pasangan pengacara ini dilihat bijak mengimbangi peranan mereka. Tidak meleret-leret malah skrip yang dibikin khas Pengarang Hiburan Metro, Roslen Fadzil juga tidak menjadi penghalang untuk mereka melakukan adlib iaitu tokok tambah secara spontan mengikut kesesuaian dan suasana dalam arena.

Ada saja modal usikan yang pantas terbit dalam minda mereka hingga membuatkan penonton tersenyum lebar. Raja Azura juga tidak terlalu menjerit-jerit seperti sebelum ini. Teguran diambil sebagai panduan terbaik untuk Kak Engku mempertingkatkan persembahannya sebagai pengacara. Hakikatnya, pasangan pengacara ini baru saja kehilangan teman baik, Allahyarham Din Beramboi. Malahan, Kak Engku sendiri turut kehilangan ibu mentuanya, Puan Sri Azizah Abdul Hamid. Syabas buat mereka yang tetap komited dengan mandat besar ini biarpun berdepan dengan situasi memilukan.

Catat sejarah

Sejarah terus dilakar penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza apabila dia terus mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk kali ke-13 berturut-turut dan kembali merampas gelaran Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali, sekali gus mencatat rekod peribadi buat penyanyi jelita ini.

Bahkan rekod ini kelihatan seperti sukar untuk diatasi oleh mana-mana artis tanah air dalam.

Dengan memperoleh undian peminat sebanyak 225,300 jumlah undian, Siti dengan mudah mengetepikan pemenang tahun lalu, Nabil yang membawa pulang trofi anugerah Artis Komedi Popular. Malah, Siti juga mengetepikan saingan terdekatnya, Aizat yang turut disebut-sebut sebagai calon yang layak untuk menggenggam anugerah utama itu.

Selepas lima tahun anugerah itu bertukar tangan dan hanya menjadi milik artis lelaki, ibarat sirih pulang ke gagang, trofi yang menjadi idaman ramai itu akhirnya kembali menjadi milik penyanyi yang baru saja melancarkan produk kecantikannya sendiri berjenama SimplySiti. Usah terkejut dan tak perlu nak mempertikaikan keputusan yang sudah diumumkan itu kerana gelaran Bintang Paling Popular itu memang layak untuknya.

Bagi sesetengah pihak yang iri hati dengan kemenangan penyanyi ini, tentu dengan mudah menganggap trofi Bintang Paling Popular itu diberikan memandangkan Siti pernah menyuarakan hasratnya untuk berundur dari menyertai anugerah ini pada masa akan datang. Seakan memahami maksud yang tersirat, Siti menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

“Memang Siti pernah menyuarakan hasrat untuk tidak mahu lagi bertanding dalam anugerah ini pada masa akan datang. Tapi itu tidak bermakna, disebabkan keputusan itu, penganjur sengaja memberikan anugerah itu kepada Siti.

“Ini semua adalah usaha gigih dan kerja keras peminat yang tak jemu-jemu menyokong kerjaya saya. Mungkin disebabkan ini adalah tahun terakhir saya mahu dicalonkan membuatkan mereka ‘all out’ untuk mengundi Siti.
“Mengenai keputusan untuk tidak mahu lagi dicalonkan pada masa akan datang, memang Siti sudah nekad. Siti sudah pun memberitahu peminat Siti yang ini adalah kali terakhir Siti mahu dicalonkan dan nampaknya ada yang memahami dan bersedia menerima apa saja keputusan yang Siti buat. Namun tak kurang juga yang mempertikaikan keputusan itu.

“Apapun, tak perlu khuatir. Siti masih tetap menyokong penganjuran ABPBH sampai bila-bila. Banyak kenangan Siti dengan ABPBH dan acara ini juga memberi banyak pengajaran dan pengalaman berharga buat Siti dalam meniti perjalanan sebagai seorang anak seni. Siti masih boleh menjadi penyampai, membuat persembahan dan tetap hadir untuk memberi sokongan. Cuma bukan sebagai peserta yang bertanding. Itu saja,” ujar Siti ketika ditemui pada majlis pasca parti ABPBH 2009 yang berlangsung di Coffee Terrace, Hotel Genting, Genting Highlands, awal pagi semalam.

Sebagai Bintang Paling Popular, Siti membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM328,000 termasuk hadiah barang kemas Habib, Nissan X-Trail 2.0L, Perabot Empire Classic, Pakej Penginapan Mewah di Head Of State Suite Palace Of The Golden Horses.

Mahu tumpu bisnes

BUKAN kerana merajuk ataupun bimbang jatuh ketika nama sedang memuncak, tetapi keputusan untuk menarik diri dari dicalonkan dalam ABPBH dibuat kerana si empunya diri mahu berehat dan menumpukan perhatian terhadap perniagaan kecantikan yang baru saja ditubuhkan. “Apa yang Siti buat ini bukanlah disebabkan Siti merajuk atau kecewa dengan cakap-cakap mereka yang tak puas hati dengan apa yang Siti kecapi selama ini. Kalau itulah sebabnya, sudah lama Siti tarik diri.

“Rasanya sudah tiba masanya untuk Siti berehat selain memberi lebih fokus kepada perniagaan produk kecantikan saya iaitu SimplySiti yang baru saja dilancarkan baru-baru ini.

“Bagaimanapun, pertandingan lain seperti Anugerah Industri Muzik, Siti tetap sertai kerana ia mempertandingkan hasil kerja orang lain juga seperti penulis lirik, gubahan muzik dan bukannya kerana Siti semata-mata,” kata Siti memperjelaskan situasi sebenar.

Tujuh kali bergelar Bintang Paling Popular serta 13 kali membawa pulang anugerah Penyanyi Wanita Popular, tentunya ada rahsia yang boleh dikongsi Siti sebagai ilmu buat mana-mana selebriti yang berkeinginan untuk menjadi bertuah sepertinya.

“Apa yang penting dalam bidang ini adalah sentiasa bersabar, jangan cepat melenting dan melatah, sentiasa gigih berusaha dan jaga kelakuan kerana peminat kita menilai kita dari sudut itu,”cerita Siti menitip pesanan berguna.

Terima kasih pilih kami

Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular)

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada peminat kerana memberi peluang kali ketujuh untuk saya menjulang trofi ini. Saya akan terus memberi persaingan kepada pesaing baru dan tidak akan mengalah. Saya teringin juga untuk melihat orang lain pula naik ke pentas mengambil trofi ini. Bezanya anugerah ini dengan anugerah lain kerana ia umpama bayangan kepada kualiti kerja yang diiktiraf oleh peminat.

Fara Fauzana (Pengacara TV Wanita Popular & Penyampai Radio Wanita Popular)

“Saya tidak berharap, jauh sekali untuk memegang sekali lagi trofi tahun ini disebabkan sistem pengundian yang berbeza tahun ini. Saya selalu memberitahu peminat, tak kisahlah sekiranya tidak menang di ABPBH yang penting menang di hati mereka. Kemenangan ini mungkin satu kebetulan kerana saya muncul di radio dan televisyen, mungkin faktor itu membantu undian peminat untuk saya.

Faizal Ismail (Penyampai Radio Lelaki Popular)

“Saya tidak menjangka mampu mempertahankan kedudukan ini untuk kali ketiga kerana tak fikir langsung soal kalah atau menang. Malah saya melihat persaingan antara stesen radio ketika ini sangat sengit. Banyak stesen radio berlumba-lumba memasang strategi memantapkan stesen masing-masing. Justeru saya menyangka anugerah ini mungkin miliki orang lain, (tapi) kalau bukan bersaing dengan penyampai dari stesen lain, persaingan juga boleh terjadi di dalam Hot FM sendiri kerana saya melihat AG dan Kieran juga mempunyai potensi.

Black (Artis Baru Lelaki Popular)
“Ini mungkin rezeki Black. Black amat bersyukur kerana diterima peminat. Apa yang Black pegang adalah untuk mengekalkan disiplin dan hanya menunjukkan bakat saja. Sekarang Black sedar bahawa rupa paras bukan ukuran untuk berjaya. Black ingin merakamkan ucapan terima kasih buat Mummy (Mas Idayu) kerana jika tidak kerana dia, Black tidak berada di sini. Black berjanji akan cuba mengekalkan sifat merendah diri.”

Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular)

“Kami berasa sangat sunyi, sepi dan terharu. Biasanya setiap tahun, Allahyarham Ustaz Asri adalah orang yang paling bersungguh ingin menghadiri ABPBH kerana arwah melihat penganjuran anugerah ini sebagai penghubung silaturahim antara rakan artis. Kami bersyukur tidak terhingga kerana peminat masih memilih Rabbani untuk tahun yang kesembilan berturut-turut. Kami percaya peminat mengundi kerana mengenang perjuangan arwah dan kami hanya meneruskan perjuangannya.

Bunkface (Penyanyi Duo/ Kumpulan Popular)

“Alhamdulillah kami bersyukur dengan kemenangan sulung di ABPBH 2009. Kemenangan ini untuk peminat yang menyokong kami. Harapnya sokongan peminat takkan terhenti di sini dan kami akan terus mengeluarkan produk berkualiti pada masa depan.
“Insya-Allah kami akan terbabit dengan konsert di Tasik Timah Taso, Perlis pada 10 Mei ini. Jadi kepada peminat di sebelah Utara jangan lupa untuk tunggu kehadiran Bunkface tak lama lagi. Kami akan mulakan dari Utara dan diikuti lokasi lain tak lama lagi,”

Remy Ishak (Pelakon TV Lelaki Popular)

“Saya tak menjangka langsung kemenangan ini kerana menyifatkan potensi itu lebih menyerlah untuk Aaron Aziz atau Fahrin Ahmad. Apa-apapun terima kasih kepada rakan media yang banyak membantu. Paling utama dan terbesar ialah peminat. Tanpa peminat tak mungkin akan terus tegar berada di sini. Saya agak gementar dikelilingi orang popular dan yang pernah popular. Apa yang boleh saya katakan anugerah ini menjadi semangat baru untuk saya terus berkongsi bakat.”

Tiz Zaqyah (Pelakon TV Wanita Popular)

“Saya tak meletakkan harapan tinggi untuk kategori ini. Paling kuat pun, saya mungkin ada peluang untuk Artis Baru Wanita Popular. Anugerah ini bukan alasan untuk saya menjadi lupa diri. Saya sendiri tak sangka kali pertama saja dipertandingkan, saya berpeluang menggondol anugerah ini. Ia amat bermakna sekali.”

Que Haidar (Pelakon Filem Lelaki Popular)

“Melihatkan persaingan, semuanya hebat belaka. Tapi saya bersyukur ke hadrat Ilahi dan ini semua rezeki anak. Sebelum menerima anugerah ini, saya ada berjumpa kawan dan ada di antara mereka yang melihat saya masih ada ruang untuk menang kategori. Ikutkan ramalan, saya rasa Aaron Aziz lebih kuat popularitinya. Bagaimanapun, saya menerima kejayaan ini dengan hati terbuka. Saya sendiri tidak mempunyai alasan konkrit kenapa saya masih dipilih. Semuanya di luar kawalan saya. Terima kasih semua,”

* Liyana Jasmay (Pelakon Filem Wanita Popular)

“Kelu untuk saya berkata-kata di atas pentas hingga saya terlupa nak cakap terima kasih kepada Berita Harian. Hakikatnya saya dan Scha ada bertaruh sambil berseloroh, kalau Scha tak menang, maka saya pun tak akan menang. Tapi Alhamdulillah ia jadi milik saya tanpa disangka. Insya-Allah, saya merancang untuk membuat perjumpaan dengan peminat.”

Nabli (Artis Komedi Lelaki Popular)

“Ketika datang ke majlis ini, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang. Saya hanya mahu bergembira. Lagipun saya memang menjangkakan Zizan yang akan menang kerana dia memang menyerlah tahun ini. Tapi tak sangka pula rezeki berpihak kepada saya.
“Kesempatan ini juga saya nak ucapkan terima kasih kepada pengurus saya, Latiff Ahmad. Setiap kali saya naik pentas, mesti saya terlupa nak ucapkan terima kasih pada dia. Dia memang seorang pengurus yang baik dan banyak membantu saya.”

Noorkhiriah (Artis Komedi Wanita Popular)

“Ini kali kedua berturut-turut saya menang kategori ini. Saya tak sangka menang lagi. Biasanya hanya mereka yang kerap keluar majalah dan surat khabar saja yang berpotensi menang dan saya sendiri memang jarang mendapat publisiti meluas. Terima kasih pada yang mengundi saya. Kalau boleh nak jumpa dengan mereka yang mengundi saya dan mengucapkan terima kasih pada mereka.”

Aizat (Penyanyi Lelaki Popular)

‘Aizat akui terkejut dengan kemenangan ini kerana saingan memang sengit terutama dari Mawi dan Faizal Tahir. Tak sangka juga yang Aizat ada pengundi. Apapun, kemenangan ini Aizat anggap sebagai satu penghargaan terhadap hasil usaha selama ini. Mana-mana peminat yang masih belum menjadi kenalan di laman Facebook, boleh lah buat demikian di laman peminat Aizat.

“Aizat pun baru lepas mengemaskini laman my space. Aizat harap dapat berkomunikasi dengan peminat Aizat di sana juga.”

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url