Peguam korban terbaru H1N1

Seorang peguam lelaki berumur 42 tahun dari Johor Bahru disahkan mangsa pertama jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1) yang meninggal dunia tahun ini.

Lelaki tersebut yang mengalami masalah obes merupakan mangsa ke-78 yang meninggal dunia selepas Kementerian Kesihatan menolak punca kematian Maimunah Dimah, 54, dan anaknya, Sumarni Mat Nor, 30, di Melaka pada 31 Mac dan 2 April lalu mempunyai kaitan langsung dengan H1N1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd. Ismail Merican berkata, walaupun dua beranak itu positif H1N1 tetapi kematian mereka bukan berpunca secara langsung oleh virus itu.

“Punca kematian dua mangsa dari Melaka itu bukan disebabkan secara langsung oleh H1N1 tetapi disebabkan faktor sekunder lain.

“Ini bermakna peguam lelaki yang meninggal dunia di Johor Bahru semalam merupakan mangsa pertama yang meninggal dunia akibat H1N1 pada tahun ini, H1N1 setakat ini telah meragut 78 nyawa sejak ia merebak tahun lalu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai H1N1 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Maimunah dan anaknya Sumarni yang berasal dari Jasin, Melaka sebagai mangsa pertama dan kedua H1N1 yang meninggal dunia tahun ini.

Mengulas tentang peguam yang meninggal dunia akibat H1N1 itu, Mohd. Ismail berkata, lelaki itu menunjukkan tanda-tanda jangkitan influenza seawal 27 Mac dan mula mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Johor Bahru pada 4 April lalu.

“Dia yang mempunyai masalah obes turut mengalami komplikasi lain termasuk kegagalan ginjal akut dan jangkitan kuman.

“Mangsa yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) bertambah tenat dan meninggal dunia semalam akibat pneumonia H1N1 dan sindrom sukar bernafas akut,” katanya.

Mengenai situasi semasa jangkitan H1N1, Mohd. Ismail berkata, sebanyak 678 orang sedang menerima rawatan di wad seluruh negara dengan lima daripada mereka berada di wad ICU.

“Penularan H1N1 masih aktif di Malaysia dan seluruh dunia, memang terdapat peningkatan dalam jangkitan H1N1 dan kita akan menyebarkan maklumat ini secara telus.

“Berikutan perkembangan ini, kerajaan mengadakan semula Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai H1N1 yang melibatkan pelbagai agensi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan berlaku gelombang kedua dalam jangkitan H1N1 di negara ini.

“Gelombang kedua berlaku apabila terjadi perubahan pada jangkitan di mana virus tidak lagi bertindak balas terhadap ubat antiviral sedia ada serta mewujudkan komplikasi baru, keadaan ini bagaimanapun tidak berlaku.

“Kementerian Kesihatan bagaimanapun terus memantau sama ada berlaku peningkatan jumlah pesakit atau berlaku perubahan pada virus,” katanya.

Mengenai kejadian kluster di sekolah pula, Mohd. Ismail berkata, pengetua mempunyai kuasa untuk menutup sekolah yang berlaku jangkitan kluster selepas mengambil kira jumlah guru dan murid yang ada.

“Penutupan sekolah dilakukan apabila tinggal sedikit murid atau cikgu yang dapat hadir ke sekolah,” katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url