SPRM pamer nama pesalah
Sehingga semalam, laman www.sprm.gov.my memaparkan 51 nama pesalah rasuah dari seluruh negara serta butir terperinci seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, kerjaya, pertuduhan serta hukuman yang diterima yang boleh diakses oleh orang ramai.
Ketika menjelaskan langkah terbaru itu, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha terbaru SPRM untuk memerangi rasuah di negara ini dengan berkongsi maklumat dengan orang awam.
“SPRM tidak akan mengamalkan pilih kasih dan akan memaparkan nama semua pesalah yang disabitkan oleh mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Orang ramai boleh menyemak nama sama ada individu tertentu pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah atau tidak dengan memasukkan nombor kad pengenalan mereka di ruang carian laman web SPRM.
Mengulas lanjut, Shukri berkata SPRM juga akan menaik taraf laman webnya bagi menjadikannya lebih mesra pengguna, sekali gus membantu meningkat usaha memerangi gejala rasuah di negara ini.
Shukri berkata, pihaknya akan memaparkan 'senarai individu dikehendaki' di laman web SPRM bagi membantu siasatan lanjut kes rasuah dalam tempoh terdekat.
- BERITA HARIAN