TaxSaya mudah pembayar cukai

Sebuah syarikat perisian komputer yang beroperasi di sini menawarkan satu perisian cukai, TaxSaya, secara percuma yang dapat membantu memudahkan pembayar cukai mengisi borang taksiran cukai pendapatan elektronik selain membantu mengira kadar cukai lebih tepat.

Pengarah Urusan EA-Link System (ELSB), Trevor Keegan, berkata perisian yang pertama kali dibangunkan di negara ini oleh ELSB itu dilengkapi panduan bagi membolehkan pembayar cukai mengurangkan pembayaran cukai berdasarkan undang-undang.

Beliau berkata, perisian itu juga akan membantu pengguna mengelakkan kesalahan seperti maklumat tidak lengkap.

Katanya, selepas mengisi maklumat yang diperlukan dalam TaxSaya, data berkenaan akan dihantar ke fail e-filing individu berkenaan.

Data berkenaan digunakan untuk mengisi e-filing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kebanyakan pembayar agak kabur dengan pembayaran cukai ini terutama bagaimana mereka boleh mengira cukai masing-masing dengan lebih tepat.

“Contohnya, berdasarkan kajian pada 2005, hanya 7.55 peratus pembayar cukai tahu bahawa rebat dibuat untuk bayaran bagi mendapatkan permit pekerja asing termasuk pembantu rumah,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. Beliau berkata, perisian itu juga mampu menyediakan laporan cukai seperti yang dilakukan ejen cukai.

“Secara asasnya, perisian ini sama seperti e-filling yang disediakan LHDN, namun ia mengandungi semua proses penghantaran butiran cukai bermula daripada mengenal pasti resit dan perolehan yang boleh menerima pengecualian cukai sehingga penghantaran borang BE,” katanya.

Beliau berkata, perisian itu juga mengambil pendekatan konsep 1Malaysia dengan menyediakan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Mandarin bagi memudahkan pembayar cukai.

Katanya, perisian itu dibangunkan oleh sekumpulan pakar tempatan dalam pembangunan perisian dan pembayaran cukai di negara ini.

Keegan berkata, pengguna TaxSaya juga boleh menggunakan forum yang disediakan untuk bertanyakan mengenai masalah berhubung aplikasi atau pembayaran cukai dan akan dijawab oleh sekumpulan pakar termasuk beliau sendiri.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url