Hari Palang Merah - Nilai kemanusiaan tidak diabaikan

Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah disambut di seluruh dunia pada setiap 8 Mei. Pada sambutan ini, anggota Palang Merah antarabangsa dan pergerakan Bulan Sabit Merah di seluruh dunia meraikan bermulanya kesedaran mengenai nilai kemanusiaan. Tarikh ini dipilih kerana ia merupakan tarikh lahir pengasas Palang Merah, Henry Dunant yang dilahirkan di Switzerland pada 8 Mei 1828.

Pada mulanya beliau membantu tentera yang cedera dalam Perang Solferino di Itali. Pengalaman beliau membantu tentera berkenaan dicatatkan dalam buku bertajuk Memori Solferino yang menjadi pemangkin kepada penubuhan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada tahun 1863. Pada tahun 1864, Konvensyen Geneva dipersetujui berdasarkan idea berkenaan.

Kini, Pergerakan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah wujud di hampir kesemua negara dengan kira-kira 100 juta ahli dan sukarelawan. Pergerakan berkenaan berpandukan tujuh prinsip asas iaitu kemanusiaan, tidak berpihak, neutral, bebas, khidmat sukarela, perpaduan dan universal.

Objektif utama aktiviti Palang Merah dan Bulan Sabit Merah ialah mengurangkan dan mengelakkan kesengsaraan manusia, menghapuskan diskriminasi dan melindungi nilai kemanusiaan. Dalam membantu mangsa konflik bersenjata, ICRC mengutamakan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pada tahun ini, operasi kemanusiaan terbesar ICRC adalah di negara konflik Afghanistan. ICRC memulakan operasinya di negara tersebut pada tahun 1979 iaitu ketika era Perang Soviet. Aktiviti ICRC bermula dengan bantuan perubatan dan pembedahan kepada penduduk Pakistan yang cedera dalam pertempuran.

ICRC yang beribu pejabat di Kabul sentiasa menghulurkan bantuan kepada penduduk negara berkenaan ketika negara tersebut berhadapan dengan perang saudara diikuti dengan pengambilalihan kuasa oleh puak Taliban pada tahun 1996.

Pemerintahan rejim Taliban ditumpaskan pada tahun 2001 apabila Amerika Syarikat (AS) menyerang negara tersebut. Konflik yang berlaku di negara berkenaan dari semasa ke semasa menjadikan Afghanistan operasi terbesar ICRC dengan lebih 1,600 pekerja warga Afghanistan dan 160 petugas asing pada hari ini.

Selain bantuan kemanusiaan, ICRC turut mendirikan pusat ortopedik bagi membantu mereka yang cedera dan hilang upaya untuk mendapat kaki palsu dan sebagainya. Terdapat enam pusat ortopedik yang dikendalikan oleh ICRC di negara tersebut pada masa ini.

Turut dilaksanakan ialah program bekalan air bersih kepada penduduk dan bantuan kewangan kepada warga Afghanistan untuk memulakan hidup baru seperti perniagaan kecil-kecilan dan sebagainya setelah kehilangan sumber rezeki akibat konflik yang berlaku.

Delegasi ICRC di Kabul, Rudina Turhani berkata, ICRC sentiasa mengadakan dialog dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik di Afghanistan termasuk tentera Afghanistan, tentera yang mewakili pertubuhan antarabangsa dan puak bersenjata bagi meningkatkan kesedaran mengenai undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

''Dialog yang diadakan adalah di semua peringkat seperti di peringkat wilayah, daerah dan kampung-kampung. Apabila seorang pejuang atau orang awam cedera, mereka perlu diberikan bantuan perubatan tanpa mengira ideologi politik mangsa berkenaan.

''ICRC khuatir dengan pembunuhan, tangkapan, penculikan dan gangguan ke atas pekerja perubatan ketika mereka menjalankan tugas dalam beberapa tahun kebelakangan ini. ICRC turut merayu dan mengingatkan semua pihak supaya menghormati kakitangan perubatan," jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rudina, 32, yang berasal dari Albania berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri mesyuarat ICRC peringkat serantau.

Tambah Rudina, ICRC memainkan peranan mengadakan rundingan dengan pihak yang berkenaan dalam menguruskan keselamatan perjalanan kakitangan Jabatan Kesihatan Afghanistan untuk memberikan suntikan perlindungan polio dan vaksin kepada kanak-kanak di wilayah yang bergolak.

''Kedua-dua kawasan berkenaan agak sukar dimasuki kerana tahap keselamatan yang tidak menentu.

"Sebagai sebuah organisasi yang neutral, ICRC pernah diminta menjadi orang tengah dalam pembebasan 21 orang tahanan warga Korea Selatan pada 2007. ICRC kini sudah melawat 136 tempat tahanan di seluruh Afghanistan.

''Sejak konflik terbaru di Afghanistan bermula pada 2001, seramai 16,000 warga Afghanistan sudah didaftarkan. November tahun lalu, ICRC berjaya menjalankan lawatan pertama ke atas tahanan oleh puak Taliban," katanya.

Jelas Rudina, situasi yang semakin meruncing di Afghanistan bukan sahaja membahayakan nyawa orang awam tetapi turut mengancam keselamatan anggota ICRC.

''Justeru, ICRC mengadakan dialog dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik tersebut, tidak kiralah pasukan mewakili badan antarabangsa, pihak keselamatan Afghanistan atau kumpulan bersenjata yang lain.

''Dengan cara ini, ICRC dapat meningkatkan tahap keselamatan dan berpeluang mengadakan lawatan di kawasan-kawasan yang kritikal," katanya.

Ditanya mengenai kehidupannya di Kabul, Rudina menjelaskan, beliau tinggal begitu hampir dengan ibu pejabat ICRC dan rutinnya hanya berjalan kaki kurang dari 10 minit dari kediaman ke tempat kerja, restoran dan gimnasium untuk berekreasi setiap hari.

'' Ada warga Afghanistan yang bertugas di ICRC terpaksa mengambil masa perjalanan tiga jam untuk sampai ke pejabat kerana sekatan pemeriksaan yang banyak. Kami tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menghadapi semua cabaran tersebut untuk memastikan nilai kemanusiaan tidak diabaikan dalam sebuah negara bergolak," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url