NKRA jenayah menurun
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagi Jenayah Indeks dalam tempoh itu, sebanyak 59,661 kes dilaporkan berlaku berbanding 70,481 kes pada tahun lalu.
Katanya, ia bermakna berlaku penurunan yang membanggakan sebanyak 10,820 kes.
“Bagi kes jenayah jalanan pula, bagi tempoh Januari hingga April 2010 terdapat 8,209 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 13,391.
“Ini bermakna sudah berlaku penurunan sebanyak 5,182 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan keberkesanan program Rakan Cop terhadap pengurangan kadar jenayah dan peratusan pengurangan jenayah melalui program itu berbanding keahliannya.
Mengenai program Rakan Cop, Abu Seman berkata sejak penubuhannya pada 2004 sehingga 15 April lalu, seramai 336,363 orang telah mendaftar sebagai ahli.
Katanya, sejumlah 1.7 juta maklumat berkaitan jenayah dan ketenteraman awam pula telah disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh ahli Rakan Cop melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Rakan Cop merupakan salah satu daripada inisiatif NKRA Mengurangkan Jenayah dengan sasaran mengurangkan Jenayah Indeks sebanyak 5 peratus dan Jenayah Jalanan sebanyak 20 peratus menjelang 2010.
“Kesemua inisiatif NKRA Mengurangkan Jenayah termasuk Rakan Cop sama ada yang telah, sedang dan akan dilaksanakan adalah saling berkaitan dan secara kolektifnya menyumbang kepada pengurangan jenayah,” tegasnya.
- UTUSAN

