TM perluas liputan UniFi mulai Julai 2010

Telekom Malaysia Bhd (TM) akan mengembangkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi UniFi di 18 lagi ibu sawatnya menjelang Julai ini bagi membolehkan perkhidmatan itu dinikmati di lebih banyak kawasan di Lembah Klang dan diperluaskan ke Johor, Kedah, Pulau Pinang dan wilayah MSC.

Pakej jalur lebar UniFi terdiri daripada perkhidmatan internet berkelajuan tinggi; siaran televisyen dan video menerusi internet protokol (IPTV) serta telefon internet. Ia ditawarkan pada harga bermula RM149 sebulan.

Ketika ini, perkhidmatan di bawah inisiatif Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) yang dilancarkan 24 Mac lalu itu hanya disediakan di empat ibu sawat TM iaitu di Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar di Kuala Lumpur.

Ketua Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata penambahan 18 lagi ibu sawat UniFi itu membolehkan syarikat mencapai sasaran melengkapkan 750,000 premis dengan UniFi menjelang akhir tahun ini dan 1.3 juta pada 2012.

Beliau berkata, setakat ini, TM sudah mempunyai kira-kira 1,700 pelanggan UniFi manakala kira-kira 10,000 lagi sedang menunggu pemasangan.

“Ini meletakkan kami pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jumlah pelanggan seperti yang dirancang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan TM di Kuala Lumpur, semalam.
Turut sama pada sidang media itu ialah pengerusi TM yang baru, Datuk Dr Halim Shafie dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman.

Zamzamzairani berkata, kawasan baru di Lembah Klang bakal menikmati perkhidmatan UniFi pada Julai ini ialah Bukit Kemuning, Lapangan Terbang Subang, Selat Klang Utara, Sungai Buloh, Melawati, Wangsa Maju, Kepong, Teluk Panglima Garang, Damansara dan Duta.

Kawasan di luar Lembah Klang pula termasuklah Cyberjaya, Putrajaya, Permas dan Senai di Johor, Bukit Te-ngah dan Bayan Baru di Pulau Pinang serta Kulim Hi-Tech Park di Kedah, katanya.

“Berikutan perkembangan yang memberangsangkan ini, TM giat meningkatkan keupayaan dalamannya bagi memenuhi jumlah permintaan terhadap UniFi dengan jumlah kakitangan pemasangan kini ditingkatkan kepada 260 orang daripada 107 pada Mac.

“Buat masa ini, purata tempoh pemasangan adalah kira-kira 10 hari dari tarikh pesanan,” katanya.

Sementara itu, Halim berkata, pada AGM semalam, pemegang saham TM meluluskan cadangan pembayaran dividen akhir 13 sen ditolak cukai 25 peratus yang berjumlah RM348.8 juta kepada pemegang sahamnya.

“Apabila dicampurkan dengan dividen 10 sen dikecualikan cukai berjumlah RM357.7 juta dibayar pada September lalu, jumlah pembayaran dividen kumpulan kepada pemegang saham adalah sebanyak RM706.5 juta atau dividen bersih 19.75 sen sesaham,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url