Peranan wanita bangunkan ummah tetap penting

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

ALLAH menjadikan manusia berpasangan, maka sewajarnya lelaki dan perempuan berganding bahu melaksanakan tanggungjawab serta usaha membangunkan kehidupan kerana masing-masing memiliki kemampuan memberi sumbangan demi kebaikan hidup semua.

Firman Allah yang bermaksud: Dan sebahagian daripada tanda kebesaran Allah ialah menjadikan bagi kamu pasangan supaya kamu hidup tenang dan dapat memupuk rasa kasih sayang antara satu sama lain. (Surah ar-Rum, ayat 21).

Melihat besarnya peranan manusia sebagai khalifah memakmurkan bumi Allah, bukan saja lelaki tetapi wanita turut sama berperanan mencapai misi dan visi membina kemajuan serta pembangunan ummah.

Lantaran itu, wanita turut menceburi pelbagai bidang mencabar yang sebelum ini dimonopoli lelaki seperti juruterbang, polis, tentera, ahli bomba, pemandu kenderaan awam dan bidang profesional lain yang mencabar kemampuan golongan hawa.

Tindakan memilih kerjaya seperti itu bukan bertujuan untuk menandingi atau bersaing dengan lelaki, tetapi bersama berjuang membangunkan diri, bangsa dan negara.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah orang yang memuliakan wanita itu kecuali orang yang mulia dan tidaklah menghina wanita itu kecuali orang yang hina pula. (Hadis riwayat Ibnu Asyakir)

Begitu juga dengan lelaki, kini tidak timbul lagi fitnah liar apabila ramai yang menceburi bidang selama ini dikuasai wanita seperti jahit menjahit, andaman dan masakan.
Kedatangan Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman antara lain bertujuan mengembalikan semula peranan wanita sebagai kelompok begitu bermakna dalam menyumbangkan bakti untuk pembangunan ummah.

Jelas Baginda SAW dalam sabda yang bermaksud: Tiga perkara yang dapat memberi kebahagiaan anak Adam ialah wanita yang baik, tempat tinggal baik dan selesa dan kenderaan yang selamat. Tiga perkara boleh merosakkan hidup anak Adam ialah wanita yang jahat, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan tidak sempurna.

Wanita turut menyumbang membangunkan ummah dan dalam perkara membabitkan pembangunan rohani, wanita tidak dikecualikan daripada memenuhi tanggungjawab diri kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan ahli masyarakat.

Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dalam melakukan ibadat kerana apa yang wajib dan sunat bagi lelaki itulah juga hakikatnya kepada wanita. Begitulah terhadap perkara yang harus, haram dan makruh.

Allah SWT menerangkan hal ini dalam sabda yang bermaksud: Barang siapa yang beramal salih daripada lelaki dan wanita dan beriman kepada Allah, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga Allah dan tidak akan dianiayai sedikit pun (tidak akan dikurangkan balasan pahalanya). (Surah an-Nisa, ayat 124).

Namun, dalam perkara tertentu antaranya menjadi menjadi saksi, wali dan imam, tidak dipertanggungjawabkan kepada wanita. Bagaimanapun, ulama bersetuju bahawa kebanyakan seruan adalah untuk lelaki dan perempuan.

Wanita memainkan peranan cukup besar dalam pembangunan keluarga. Kebahagiaan rumah tangga adalah berkat kesungguhan dan kekuatan ikatan terjalin antara isteri, suami serta anak sebagai amanah Allah.

Seorang suami tidak akan mampu memikul tugas menjaga dan mendidik anak tanpa bantuan isteri. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Kahwinilah wanita itu kerana mereka akan mendatangkan harta kepada kamu.

Selain memberi sokongan moral kepada suami meneruskan sesuatu kerjaya menjadi punca rezeki keluarga, isteri turut berperanan menjadi teman dan sahabat paling akrab kepada anak. Sebahagian besar isteri turut menjadi tulang belakang bersama menghasilkan pendapatan keluarga.

Wanita sentiasa menjadi pelengkap dalam apa juga usaha dirangka dan dilaksanakan. Ini membawa makna dalam banyak perkara memerlukan tenaga atau pembabitan lelaki, kudrat wanita sentiasa diperlukan bagi memenuhi ruang kosong supaya setiap tindakan menjadi padu.

Pada zaman Rasulullah SAW, wanita terutama isteri Baginda kerap kali menjadi jurucakap atau wakil untuk menyampaikan hukum Allah sama ada kepada kaum lelaki dan wanita. Di samping itu, mereka membantu tentera di medan perang.

Rabiah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kami ikut serta dalam peperangan bersama Nabi Muhammad, kami memberi minum kepada satu kaum dan kami berkhidmat kepada mereka dan kami membawa pesakit dan orang terkorban ke Madinah. (Hadir riwayat Bukhari)

Ketika hijrah, Nabi Muhammad SAW bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur daripada pihak kafir Quraisy, Asma binti Abu Bakar menghantar bekalan makanan, menjaga keamanan Rasulullah dan bapanya serta menjadi perisik bagi mengetahui rancangan jahat Quraisy.

Begitulah juga mutakhir ini, kaum wanita memainkan peranan sama penting dengan lelaki melaksanakan apa juga kerja demi pembangunan diri dan bangsa seluruhnya.

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Muslim lelaki dan wanita, mukmin lelaki dan wanita, lelaki yang taat dan wanita yang taat, lelaki yang benar dan perempuan yang benar, lelaki yang sabar dan wanita yang sabar, lelaki yang khusyuk dan wanita yang khusyuk, lelaki yang bersedekah dan wanita yang bersedekah, lelaki yang berpuasa dan wanita yang berpuasa, lelaki yang memelihara kehormatan dan wanita yang menjaga kehormatan diri, lelaki yang berzikir dan perempuan yang berzikir mengingati Allah akan disediakan mereka keampunan dan pahala yang banyak. (Surah al-Ahzab, ayat 35)

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url